Bintang Muda Kebangsaan Antara Pemain Baharu Yang Diintai Kedah

Kedah Darul Aman (Kedah) dilaporkan kini secara senyap sedang giat berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Super 2023.

Tampil dengan dua bintang import baharu diperkenalkan iaitu Ifedayo Olusegun serta Moses Atede, dilaporkan kini sasaran Sang Kenari seterusnya cuba untuk mendapatkan khidmat pemain tempatan pula.

Sebelum itu, Sang Kenari sah telah pun melepaskan khidmat Al-Hafiz Harun secara pinjaman kepada Penang serta menamatkan kontrak lebih awal bersama pemain tengah kebangsaan Lee Andrew Tuck.

Untuk mengisi kekosongan ditinggalkan tersebut, ketika ini Kedah dilaporkan giat untuk cuba mendapatkan beberapa pemain tempatan baharu berkualiti untuk memperkukuhkan kelab.

Terbaharu, wartawan sukan iaitu T. Avineshwaran menyatakan Kedah bakal mendapatkan khidmat pemain sayap Kuala Lumpur City (KL City) iaitu J. Partiban secara pinjaman pada pertengahan musim ini.

Umum mengetahui Kedah menjadi antara pasukan yang bermasalah musim ini di posisi sayap selepas mengharungi beberapa perlawanan peringkat domestik.

Prestasi Fayadh Zulkifli pula musim ini tidak seperti diharapkan berbanding tahun lalu serta kekosongan yang kini ditinggalkan oleh Al-Hafiz serta Lee Tuck.

Kehadiran Partiban dianggap sebagai sesuatu yang sangat penting dan memberi kelegaan buat Nafuzi Zain sekiranya ia menjadi nyata untuk Kedah mendapatkan pemain tersebut.

Namun, wartawan berkenaan mendedahkan Partiban mungkin tidak akan menyertai Kedah kerana beliau berada dalam perancangan pengendali baharu mereka iaitu Nenad Bacina.

Selain Partiban, sumber rapat Semuanya BOLA turut menyatakan Sang Kenari kini turut memantau dua penyerang yang turut ingin ditandatangani secara status pinjaman dengan salah seorang daripada mereka merupakan bintang muda skuad kebangsaan.

Pemain muda yang dimaksudkan itu ialah penyerang muda KL City kini, Muhammad Haqimi Azim Rosli serta penggempur Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Syafiq Ahmad.

Kedua pemain tersebut bukan lagi nama asing dalam dunia bola sepak tempatan atau bersama skuad kebangsaan kerana masing-masing telah pun mempamerkan taring tersendiri ketika diberi peluang beraksi.

Nama Haqimi antara paling mencuri tumpuan kerana pemain tinggi lampai ini sedang menikmati tahun-tahun terbaik beliau selaku penyerang masa depan negara dan mempamerkan aksi positif.

Antara detik diingati pastinya ketika Haqimi meledak salah satu gol tercantik buat Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Nama Syafiq Ahmad pula sudah pun sinonim dengan Kedah, kerana beliau mula mencipta nama bersama pasukan tersebut pada awal penampilannya sebelum berjaya meraih pelbagai kejuaraan bersama JDT.

Kehadiran Syafiq pastinya akan menarik perhatian ramai penyokong Sang Kenari yang rata-ratanya masih merindui aksi pemain ini di atas padang seperti awal tahun lalu beliau dipinjamkan seketika buat Kedah.

Apapun, sehingga kini segalanya masih belum dimuktamadkan dengan laman rasmi pasukan tersebut belum menyatakan apa-apa lagi tentang kehadiran pemain baharu untuk menyertai Kedah.

Cuma jika ianya dapat direalisasikan, mungkin aksi Haqimi paling mencuri perhatian kami untuk melihat bagaimana beliau berada bawah kendalian Nafuzi yang dikenali pakar dalam membangunkan generasi muda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN