Bekas ‘Budak Nakal’ Di JDT, Diaz Terus Pacu Mumbai City Di Puncak ISL

Jorge Pareyra Diaz Mumbai City ISL bekas JDT

Mumbai City FC bukanlah sebuah kelab besar di Indian Super League (ISL), namun Jorge Pareyra Diaz sedang memacu mereka ke arah kegemilangan.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pernah mencipta sensasi di Liga Malaysia dan kini giliran India pula merasai sensasi ledakannya.

Purata kehadiran penyokong kelab tersebut hanya sekitar 4,800 sahaja setakat ini – kedua terendah di saingan liga yang disertai oleh 11 pasukan, walaupun Mumbai Football Arena boleh memuatkan 18,000 penyokong.

Namun, mereka sedang berada di puncak liga dengan merekodkan 15 perlawanan tanpa kalah dengan purata tiga gol diledak dalam setiap aksi.

Dan Diaz sedang mendahului carta penjaring terbanyak ISL berkongsi bersama penyerang East Bengal FC, Cleiton Silva yang menghasilkan sembilan gol. Beliau tampil beraksi sebanyak 14 kali pada musim ini.

Beliau menyertai Mumbai City dari Kerala Blasters yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-4, satu anak tangga di atas Mumbai City. Malah, jika dilihat, Kerala Blasters memiliki kumpulan penyokong terbesar – purata kehadiran tertinggi di ISL dengan lebih 30,000 penyokong.

Beliau juga telah mencipta sensasi di musim pertamanya di ISL bersama The Blasters apabila telah mencipta lapan gol pada musim 2021/22.

Atas faktor itu jugalah, Diaz dipinang Mumbai City bagi membantu mereka mengulangi pencapaian musim 2020/21 iaitu menjuarai saingan liga.

Diaz bukanlah kecil anak di Liga Malaysia. Bersama JDT, beliau mencipta sensasi tersendiri. Pemenang Kasut Emas musim 2016 itu juga kerap menjadi tajuk berita disebabkan kenakalannya, dalam dan luar padang.

Malah pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pernah mengatakan Diaz adalah pemain yang sukar dikawal, “Semenjak saya mengambil alih bola sepak, dua orang yang paling susah untuk dikawal ialah Pablo Aimar dan Jorge Pereyra Diaz.” Menariknya, kedua-duanya adalah dari Argentina.

Jadi, agaknya, bagaimana sikapnya kini di India? Adakah beliau masih bersikap seperti seorang diva sebagai mana ketika di JDT dahulu?

Mungkin yang paling diingati adalah saat beliau pergi begitu sahaja dari JDT – meninggalkan hotel penginapan pasukan di Singapura, sebelum mereka berangkat ke Vietnam bagi saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2018.

Walau apa pun sikapnya di luar padang, prestasinya bersama pasukan sentiasa menakjubkan. Biarpun Mumbai City bukanlah kelab besar, beliau tetap berjaya membawa mereka untuk berada di puncak liga ketika ini.

Berbaki lima aksi, mampukah mereka kekalkan rekod tanpa kalah dan menjulang kejuaraan ISL kali kedua dalam tempoh tiga tahun?

Beliau pernah dilaporkan akan kembali ke Liga Malaysia musim lalu bersama Sabah FC, tetapi ia tidak menjadi kenyataan pada akhirnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN