Hanya 6 Tonggak Import Diperlukan Sri Pahang Untuk Cabar Kejuaraan Liga Malaysia 2023

Sri Pahang mengesahkan mereka akan menggunakan enam sahaja tenaga import setakat ini untuk saingan Liga Malaysia musim 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Perkara ini disahkan sendiri menerusi Datuk Mohammed Suffian Awang yang memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan tersebut.

Jelas Suffian, beliau berharap agar enam pemain import tersebut mampu memberikan yang terbaik dan menjulang nama Sri Pahang untuk musim ini menerusi kualiti dipersembahkan.

Walaupun begitu, beliau juga menyatakan Sri Pahang tidak akan menolak untuk menambah lagi kuota pemain import mereka mengikut situasi semasa pasukan dalam persaingan liga.

Apapun, mereka kekal akan menggunakan enam sahaja pemain import setakat ini dengan gandingan muka baharu serta yang beraksi musim lalu bawah kendalian Fandi Ahmad.

“Namun, kelab juga tidak menolak kemungkinan akan menambah kuota pemain import iaitu berdasarkan keperluan.

“Tetapi, setakat ini kita buat keputusan untuk mengekalkan jumlah enam pemain import bagi menghadapi saingan Liga M musim ini.

“Dengan kemasukan empat pemain import baharu ini diharap mampu untuk meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik khususnya dalam Liga Super,” kata Suffian menerusi Berita Harian.

Berdasarkan undang-undang baharu diperkenalkan, setiap kelab yang bertanding dibenarkan untuk menandatangani sembilan pemain import berbanding lima sahaja pada musim-musim lalu.

Ketika ini, beberapa kelab lain sudah pun memastikan sembilan kuota import tersebut sudah pun ditandatangani, dan ada juga yang mengambil langkah seperti Sri Pahang.

Musim ini menyaksikan Tok Gajah telah mengikat empat pemain import baharu iaitu Kpah Sherman, Lucas Silva Espindola, Stefano Brundo, serta Michael Glassock.

Dua muka yang beraksi cemerlang pada musim lalu juga telah dikekalkan oleh Sri Pahang iaitu Sherzod Fayziev bersama Kevin Ingresso untuk terus memperkukuhkan skuad.

Pasukan tersebut juga bertindak untuk mengekalkan duo pemain kebangsaan yang cemerlang pada saingan Piala AFF lalu iaitu Sergio Aguero bersama David Rowley.

Musim lalu menyaksikan segalanya tidak begitu berjalan lancar buat Sri Pahang, selepas mereka hanya menduduki tangga ketujuh carta liga serta gagal meraih sebarang kejuaraan domestik lain.

Sumber:
Berita Harian

Leave a Reply