Empat gol dalam lima perlawanan Liga Premier, ianya jelas merupakan satu pencapaian yang cukup memberangsangkan buat pemain tengah Negeri Sembilan, R Barathkumar bersama pasukan baharunya.
Sepanjang tiga musim bersama bekas kelabnya PJ City, pemain berusia 28 tahun berkenaan hanya mengumpul lima gol dan kini beliau telah mula memasang impian untuk memberi saingan dalam memburu anugerah kasut emas bagi musim 2021.
Barathkumar berharap tahun ini akan menjadi musim yang lebih baik untuknya bersama skuad kendalian K Devan dan sekaligus membantu Negeri Sembilan meraih slot ke Liga Super untuk musim depan.
“Saya memang sasarkan untuk terus memburu gol bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk pasukan dan saya rasa saya mampu buat lebih lagi pada musim ini,” ujar Barathkumar kepada Media MFL.
“Tahun lepas macam-macam kekangan yang kita hadapi dan agak sukar untuk saya serlahkan kemampuan saya, tetapi musim ini saya memang tekad untuk cuba meningkatkan lagi tahap kemampuan saya dengan lebih baik.
“Empat gol ini cukup bermakna dan saya tidak akan berhenti untuk terus memastikan pasukan mendapat pencapaian cemerlang seterusnya layak untuk beraksi di Liga Super tahun depan.”
Negeri Sembilan kini menerajui takhta Liga Premier dengan rekod bersih tanpa kalah selepas menang empat perlawanan dan satu seri dan mengumpul 13 mata.
Dalam aksi kelima Liga Premier pada Ahad lalu, Negeri Sembilan terus mengukuhkan kedudukan dengan mengekalkan kemenangan selepas menewaskan Skuad Projek FAM-MSN dengan keputusan 2-0.
Kredit Foto: Negeri Sembilan FC
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Kurniawan Dwi Yulianto: ‘Otak’ Serangan Terengganu Ada Pada Konate
Senarai Kontroversi Pengadil Liga Malaysia Yang Tiada Kesudahan