Senarai Kontroversi Pengadil Liga Malaysia Yang Tiada Kesudahan

Kontroversi pengadilan tidak pernah lari dari saingan Liga Malaysia. Liga Malaysia musim ini hanya beusia lima pusingan, sudah ada tidak kurang dari empat insiden membabitkan keputusan pengadil telah berlaku pada musim ini.

Ada di antara kontroversi tersebut telah diambil tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Di sebalik tindakan pantas oleh FAM, beberapa perkara membabitkan perkara asas di dalam pengadilan jika difikirkan sepatutnya tidak berlaku di peringkat ini.

Berikut adalah beberapa insiden membabitkan mutu pengadilan yang berlaku sepanjang Mac ini.

Kelantan FC vs Perak FC II (7hb Mac 2021)

Pengadil, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin telah didapati berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak dengan kasar oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

Biarpun secara keseluruhan prestasinya sepanjang perlawanan tersebut adalah memuaskan Jawatankuasa Tatatertib FAM tetap betpendapat pengadil berkenaan harus dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan.

Ia bertujuan memperbaiki keupayaan jangkaan permainan, posisi dan pergerakkan dalam permainan yang jelas dalam perlawanan ini. Mohd. Amirul hanya akan diberi lantikan semula untuk mengadili perlawanan akan datang selepas selesai program penambahabaikan dan penilaian dibuat terhadapnya.

Dalam insiden tersebut, Pemain Kelantan FC, Jack Hindle akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya menolak pengadil secara agresif.

PJ City vs Melaka United (10hb Mac 2021)

Minit ke-80 perlawanan membabitkan pertemuan PJ City vs Melaka United pada minggu…menjadi kecoh selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City. .

Dalam perlawanan tesebut, pengadil gagal mengesan tindakan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang bertindak melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan PJ City FC.

Menurut pengulas perlawanan siaran langsung pertemuan kedua-dua pasukan, penjaga garisan turut berpendapat bahawa Beto berlakon. Namun demikian, pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi tetap mengekalkan keputusan memberikan sepakan penalti.

FAM melalui Jawatankuasa Tataterbib kemudiannya mengesahkan kesilapan yang dilakukan Mohd Fairuzi Mat Desa dan menyebabkan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.

Sabah FC vs Terengganu FC (21hb Mac 2021)

Selepas dua pusingan pertama Liga Malaysia dihiasi dengan kontroversi pengadilan, pusingan kelima turut tidak lari dari kontroversi. Kali ini melibatkan pertemuan di antara Sabah FC dan Terengganu FC yang berlangsung di Likas pada hujung minggu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, pengadil pertama perlawanan, Khairulazuan Kidam menjadi tumpuan apabila membatalkan gol pasukan Terengganu FC, Jordan Mintah.

Jaringan Jordan Mintah dibatalkan selepas pengadil menganggap penyerang Terengganu itu terlebih dahulu mengasari penjaga gol Sabah, Robson Rendy.

Ulang tayang selepas itu bagaimanapun menunjukkan Mintah berjaya memenangi perebutan di udara secara bersih sebelum menanduk bola dan beliau tidak mengasari Rendy.

Perak FC vs JDT

Pusingan ke-5 turut menyaksikan perlawanan membabitkan Perak FC menentang JDT di Ipoh dipalit dengan isu kontroversi membabitkan pengadilan perlawanan.

Pada perlawanan yang melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak di Ipoh, pengadil perlawanan Noor Azriel Baharudin gagal mengesan kesalahan yang terjadi ketika gol kedua Perak dijaringkan.

Perak mendapat sepakan percuma selepas Sergio Fabian Ezequiel Aguero – pemain pinjaman dari Sri Pahang dikasari dan dijatuhkan oleh Matthew Davies dikawasan tengah padang.

Sergio Agureo pantas bangun dan menggolekkan bola untuk melakukan satu sepakan percuma pantas selepas menyedari kedudukan Guillherme De Paula di seberang padang.

Tiada masalah dengan gol yang dihasilkan oleh Guillherme De Paula itu namun masalahnya yang menjadi perbualan adalah hantaran sepakan percuma Sergio Aguero.

Ketika kejadian, perbuatan yang tidak mengikut peraturan sepakan percuma dilakukan oleh Sergio Aguero di hadapan pegawai perlawanan keempat.

Sepakan percuma yang dilakukan oleh Sergio Aguero tidak menepati peraturan bola sepak mengikut kitab International Football Association Board (IFAB).

Sebelum membuat sepakan Sergio Aguero telah mengolekkan bola dan ketika sepakan dibuat bola belum berhenti sepenuhnya atau pegun (stationary).

Kegagalan pengadil mengatasi kesalahan di dalam permainan seperti itu tidak sepatutnya berlaku di peringkat saingan seperti ini.

Rumusan

Sampai bilakah masalah pengadilan akan menghantui pertandingan tertinggi bola sepak negara? Ada juga yang tampil dengan idea teknologi video bantuan pengadil (VAR) harus mulai diperkenalkan di singan Liga Malaysia.

Isunya di sini bukanlah mengenai ada atau tidak teknologi VAR digunakan apabila perkara asas di dalam bola sepak gagal dikesan oleh pengadil itu sendiri. Menyenaraikan kesalahan pengadil seperti ini bukanlah untuk kami lakukan secara suka-suka untuk mencari kesalahan atau mengaibkan sesiapa.

Tetapi ia dilakukan dengn haraopan FAM sebagai badan yang mengurus dan menyediakan pengadil untuk saingan Liga Malaysia tampil dengan kaedah yang lebih berkesan agar mutu pengadilan yang lebih berkualiti boleh ditampilkan di dalam perlawanan-perlawanan mendatang. Apakah tindakan jangka masa panjang oleh FAM dalam usaha menjamin kualiti pengadilan yang lebih baik pada masa akan datang? Renung-renungkanlah.

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai pengadil Liga Malaysia:

Pengadil Final Bukan Dari Johor Atau Zimbabwe, Dan Tak Pernah Bagi Zidane Kad Merah

FAM Nafi Pengadil Beri Layanan Istimewa Kepada JDT

Subkhiddin Anggap Pengadil Luar Beri Persepsi Kurang Kepada Bola Sepak Tempatan

Leave a Reply