Senarai Gol ‘Paling Padu’ (Mac) Liga Super Malaysia 2021

Saingan Liga Super Malaysia 2021 (MSL 2021) telah berlangsung sebanyak lima pusingan sepanjang bulan Mac ini. 30 perlawanan telah dilalui, dan 66 gol telah dihasilkan dalam saingan tertinggi bola sepak negara setakat ini.

Ini bermakna setiap perlawanan hadir dengan purata 2.2 gol. JDT, Terengganu dan Kedah tampil sebagai pasukan dengan paling banyak gol dijaringkan dengan 27 gol terkumpul. UiTM pula hanya menjaringkan satu gol, dan ini bermakna setiap pasukan telah berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol selepas lima perlawanan di lalui.

Berikut kami senaraikan lima gol tercantik dari kalangan 66 gol yang dijaringkan setakat ini.

1. Natxo Insa (JDT vs Kedah FC)

Gol jaringan Natxo Insa adalah gol kedua yang didaftarkan di saingan MSL pada musim ini. Pemain kacukan Malaysia-Sepanyol, Natxo Insa hadir dengan gol kedua skuad Harimau Selatan pada minit ke-68 dalam perlawanan sulung dan juga perlawanan untuk merebut Piala Sumbangsih menentang Kedah.

Natxo Insa mempamerkan sentuhan memukau dengan rembatan leret deras daripada luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol gantian skuad Hijau Kuning, Shahril Sa’ari.

Jaringan tersebut merupakan gol pertamanya sejak kali terakhir meledak gol dalam aksi Liga Super pada musim 2018 – menang 2-1 ke atas Kelantan pada April 2018.

2. Darren Lok (PJ City FC vs Melaka United)

Musim 2021 boleh menjadi musim kebangkitan buat Darren Lok selepas menyertai PJ City FC dari JDT II pada musim ini. Dalam perlawanan menentang Melaka United, Darren membuktikan beliau berkeupayaan menghadirkan ancaman sebagai seorang penyerang sekiranya diberikan peluang untuk beraksi.

Ketinggalan 0-1 kepada pasukan pelawat pada minit ke-56 perlawanan, Darren Lok menyamakan kedudukan buat PJ City FC dengan satu rembatan kaki kanan, selepas menerima bola yang dipintas rakan sepasukan dari tengah padang. Walaupun dicabar oleh beberapa pemain, percubaan Darren cukup berkualiti untuk menewaskan penjaga gol lawan.

3. Dechi Marcel (Perak FC vs Terengganu FC)

Pusingan ketiga MSL 2021 pula kita disajikan dengan gol jaringan penyerang import Terengganu FC, Dechi Marcel. Perlawanan menentang Perak di Ipoh menyaksikan pasukan pelawat berhaya mendahului perlawanan pada minit ke-24 melalui penyerang sayap Faisal Halim.

Hanya berkelebihan satu gol, Terengganu gagal mengesahkan tiga mata berada di dalam genggaman sehingga lencongan oleh Dechi Marcel memadamkan semangat melawan Perak. Berpunca dari sepakan sudut pendek pada babak akhir perlawanan, Dechi Marcel yang memperolehi bola di sudut kiri serangan melencongkan bola menewaskan Hafizul Hakim di hadapan gawang.

4. Ifedayo Olusegun (JDT vs Selangor FC)

Walaupun perlawanan membabitkan JDT menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada pusingan ke-4 MSL belum boleh dihadiri penyokong, perlawanan ini tetap menjadi tumpuan sehingga menarik 1.5 juta tontonan di YouTube.

JDT tetap tampil sebagai pilihan dalam perlawanan ini atas perkiraan juara bertahan dan beraksi di tempat sendiri. Namun demikian skuad Harimau Selatan dikejutkan terlebih dahulu oleh gol penyerang import Selangor, Ifedayo Olesegun seawal minit ke-3 perlawanan.

Berpunca dari gerakan yang dimulakan dari bawah, Selangor menjana serangan dengan sembilan sentuhan sebelum disudahkan oleh Olesegun. Ia adalah jaringan peribadi yang biasa-biasa sahaja bagi pemain itu. Namun ia adalah contoh team goal yang menarik untuk disaksikan berulang kali.

3. Kpah Sherman (Kedah FC vs PJ City FC)

Kpah Sherman bukan lagi watak yang asing di saingan Liga Malaysia. Pemain ini sudah beraksi di negara ini sejak 2017 lagi dan kini bersama Kedah untuk musim keduanya.

Dikenali sebagai seorang target man dan memiliki sentuhan penyudah berbahaya, Sherman sekali lagi membuktikan kemampuan beliau ketika aksi menentang PJ City FC pada pusingan ke-4 MSL.

Walaupun dkawal rapat pertahanan PJ City, Sherman tetap berjaya menyambung sepakan percuma Baddrol Bakhtiar dengan kaki kanannya untuk menewaskan penjaga gol lawan.

6. Danial Ashraf (Penang FC vs Selangor FC)

Penang FC adalah pasukan yang harus mendapat perhatian pada musim ini. Kemampuan mengikat JDT dan menewaskan Selangor tidak harus dipandang ringan. Corak permainan yang ditampilkan oleh anak buah Thomas Tucha ini juga menarik untuk disaksikan.

Dan perkara lebih penting ialah keupyaan mereka untuk mendapatkan jaringan tanpa mengharapkan sentuhan pemain import semata-mata. Ketika menewaskan Selangor misalnya, sentuhan dua pemain tempatan memberikan 3 mata buat skuad Harimau Kumbang di tempat lawan.

Gol jaringan Danial Ashraf paling mencuri tumpuan. Pantas untuk menyambut bola lorongan rakan sepasukan, beliau berjaya menewaskan penjaga gol dengan sentuhan pertamanya, sebelum melepaskan rembatan kaki kanan dari sudut sukar untuk gol kedua Penang FC.

Penutup

Nyatakan gol pilihan anda untuk bulan Mac pula. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda. Nyatakan pendapat anda melalui ruangan dan platform yang kami sediakan.

 

Kredit gambar hadapan: Penang FC

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liga Malaysia 2021:

FAM Ambil Berat Isu Prestasi Pengadil

Harga Tiket Liga Super 2021 Dijangka Naik

Karsten Neitzel: Kami Sangat Bermasalah Berdepan Pemain Nombor 12

Leave a Reply