Bagaimana Dan Apa Relevannya Juventus Membayar €100 Juta Untuk Cristiano Ronaldo

Juventus membeli Cristiano Ronaldo dengan harga €100 juta. Pastinya ramai bertanya bagaimana Juventus begitu berani berbelanja sebesar itu tanpa khuatir dengan Financial Fair Play (FFP)

Bagaimana Juventus membeli Cristiano Ronaldo? Yang pasti bukannya daripada penjualan jersi kerana itu hak mutlak Adidas dan hak imej milik Cristiano Ronaldo.

Juventus mungkin akan mendapat sekitar 10-20% sahaja bonus, lebih kepada atas budi bicara Adidas berdasarkan ‘reward’ di atas kejayaan Juventus mendapatkan bintang besar itu.

Anda boleh baca artikel ini untuk cerita soal jersi dan keuntungan kelab:Jualan Jersi Pemain Boleh Membantu Membeli Pemain Lain, Fakta Atau Mitos?

Jenama dan kualiti Cristiano Ronaldo

Bola sepak hari ini bukan lagi sekadar kelab dan pemain, nami ia lebih kompleks.

Ronaldo adalah nama besar yang akan membawa kenapa publisiti kepada Juventus. Business Insider menyenaraikan beliau sebagai atlet paling tinggi nilai komersil mengatasi LeBron James pada ketika ini.

Beliau sebelum ini membuktikan dia masih ada ‘peak’ yang sangat baik dan menyatakan dirinya masih ada 5 tahun lagi dalam kondisi terbaik.

Kualiti yang beliau miliki di dalam padang dan kuasa publisiti di luar padang antara sebab kenapa Juventus sanggup melabur besar untuk pemain 33 tahun ini.

Perniagaan di Juventus

Sebelum ini, pemain termahal Juventus ialah Gonzalo Higuain yang dibeli dengan nilai €90 juta. Pada 2001, Buffon dibeli dari Parma dengan nilai €52 juta.

Juventus menawarkan gaji dilaporkan €500,000 seminggu kepada Cristiano Ronaldo. Ini yang akan membuatkan Juventus melabur €220-€240 juta untuk pemain ini dalam masa 4 tahun.

Ini kerana gaji setahun Ronaldo bernilai €60 juta sebelum cukai ataupun €30 juta selepas cukai.

Pasukan Juventus telah menikmati keuntungan dalam beberapa musim kebelakangan ini. Mereka menjana keuntungan sekitar €400 juta semusim. Jadi, mereka ada €100 juta untuk dibelanjakan.

Dalam kes ini, jika mereka hanya membeli Ronaldo, kelab itu tiada masalah langsung. Cuma sekarang, mereka turut mendapatkan beberapa pemain lain termasuk Perin, Caldara dan juga Douglas Costa yang ditebus untuk kontrak tetap.

Pada 2016-17, mereka berjaya mengimbangi akaun jual beli pemain (better spendings) dengan lebibhan €46 juta. Ini selepas penjualan Paul Pogba dan beberapa pemain lain. Dan sudah pastinya kos itu ditolak pembelian Gonzalo Higuain.

Angka €46 juta ini mereka laburkan kepada tebus kontrak tetap Douglas Costa.

Juventus juga mendapat hadiah kemenangan domestik dan juga penglibatan dalam UCL secara konsisten. Ini antara sebab mereka tak panik dalam membelanjakan angka dianggap tak masuk akal kepada Ronaldo. Musim lalu mereka menerima €109 daripada UCL.

Sudah pastinya mereka perlu menjual beberapa pemain untuk mengimbangi akaun mereka supaya tak tersangat FFP. Namun kenapa mereka tak panik?

Ini kerana audit untuk FFP musim 2018 hanya akan dibuat pada tahun hadapan. Dan laporan kewangan mereka tahun lalu sangat baik.

Jika panik mereka akan berhadapan manipulasi pasaran oleh pembeli seperti mana PSG musim lalu sukar mendapatkan harga tinggi untuk pemain mereka.

Juventus jelas tidak mahu merosakkan nilai pemain mereka pada bursa perpindahan. Sebab itu mereka berkeras mahukan Higuan dengan harga yang tinggi atau tak dijual walaupun pemain itu diletakkan ramai penganalisis sebagai sudah jauh merosot nilainya.

Dybala
TURIN, ITALY – SEPTEMBER 09: Gonzalo Higuain and Paulo Dybala of Juventus celebrate the goal during the Serie A match between Juventus and AC Chievo Verona on September 9, 2017 in Turin, Italy. (Photo by Juventus FC/Juventus FC via Getty Images)

Higuain antara pemain yang berada dalam senarai jual oleh Juventus. Higuain menerima gaji €15 juta setahun. Sebagai contoh, jika mereka dapat menjual pemain itu sekitar €60 juta, mereka akan mendapat penjimatan €75 juta setahun.

Salah satu penjimatan terbesar yang mereka lakukan. Ialah melepaskan Buffon dan mendapatkan Perin yang ada beza skala gaji yang sangat besar.

Bagaimana Juventus mengaut keuntungan

Apabila bercerita dalam ruang lingkup perniagaan, kata kunci paling penting adalah keuntungan. Kehadiran Ronaldo akan membantu Juventus menjana keuntungan dari sumber lain sebelum audit FFP dilakukan.

Mereka yakin akan melakukannya. Oleh itu, mereka perlu memanfaatkan ‘hype’ pada Ronaldo awal musim dengan mendapatkan sumber kewangan sebanyak mungkin.

Ini kerana, risiko tetap ada. Cristiano Ronaldo adalah manusia, kita tak pasti apa akan berlaku kepada karier beliau selepas ini. Beliau mungkin ‘buat hal’ dengan salah laku tak dijangka.

Dan pada masa yang sama, isu prestasi beliau sangat penting untuk memastikan nilai jenama beliau dan Juventus terus seiring.

Antara cara Juventus mendapat keutungan adalah menerusi peningkatan jumlah tajaan. Lebih ramai penaja mahu menjadi rakan eksklusif kepada mereka.

Juventus dijangka akan meningkatkan jumlah nilai tajaan kepada 30%. Buat masa ini jumlah tajaan tahunan mereka bernilai €75 juta. Angka ini akan dinaikkan kepada sekitar €104 juta.

Seterusnya ialah hasil daripada kutipan hari perlawanan akan meningkat kerana ramai mahu menyaksikan salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman beraksi. Kutipan tiket hari perlawanan Juventus dijangka akan meningkat daripada €10 juta setahun kepada angka sehingga €60 juta setahun.

Ramai penganalisis menyatakan angka ini mungkin akan lebih tinggi kerana Juventus boleh menjual tiket hari perlawanan besar (big game) dengan angka ekslusif.

Ini adalah minggu di mana spekulasi ataupun rumors tentang Cristiano Ronaldo dikatakan akan ke Juventus, lihat peningkatan nilai saham Juventus.

Selepas itu, nilai saham pasukan ini terus stabil dan di-‘boost’ oleh nama Ronaldo.

Untuk hak penyiaran, Serie A sudah pastinya gembira dengan kehadiran Ronaldo. Bermula musim ini mereka akan menerima €1.05 billion setiap musim daripada hak penyiaran untuk perjanjian selama 3 tahun dari 2018-2021. Perjanjian itu mereka dapat pada musim lalu.

Jadi kehadiran Ronaldo memang kena pada masanya. Selain itu, Ronaldo juga akan menjadi nama penting dalam penjualan konten Juventus kepada para peminat dan media luar.

Juventus juga mungkin boleh menawarkan pakej kepada penaja mereka untuk menaja penuh gaji Ronaldo. Hal ini nampak mustahil buat masa ini namun ianya realistik. Setiap penaja pastinya sedar akan kuasa publisiti Ronaldo.

Rumusan

Jelas sekali Juventus mahu memanfaatkan fasa terakhir jenama Cristiano Ronaldo sebagai antara pemain terbaik dunia. Juventus melihat keuntungan pada jangka panjang diberikan pemain ini.

Jika anda tanya kami, adakah pembelian ini lebih condong kepada perniagaan? Kami bersetuju tanpa perlu menafikan soal kualiti beliau juga.

Dari segi kualiti pemain ini juga masih ada kualiti yang sangat baik, seperti mana yang beliau persembahkan dalam 4-5 musim terakhir ini. Berapa kali orang berkata dia dah ‘habis’.

Perancangan yang rapi dan analisis kewangan yang baik membuatkan Juventus berani untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo walaupun sudah berusia 33 tahun.

Ronaldo masih beraksi pada peringkat tertinggi dalam karier beliau. Juventus ada skuad yang sangat baik untuk domestik yang dijangka akan memberikan wang kejuaraan kepada mereka.

Kutipan hari perlawanan dan peningkatan jumlah tajaan kerana nilai imej kelab tersebut sedang meningkat.

Pastinya Juventus mengharapkan pemain ini dapat memberikan aksi terbaik beliau di dalam padang kerana ianya sangat penting untuk kelab. Ronaldo sudah bersedia untuk melakukannya.

Itulah bola sepak moden.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN