Asal Usul Slogan ‘Ngap Sayot’ & Propaganda ‘Kucing Hitam’ Yang Pernah Warnai Bola Sepak Sarawak

Sarawak secara rasmi menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963, kedua-dua negeri bagaimanapun tidak menyertai mana-mana pertandingan membabitkan pasukan dari Tanah Melayu pada ketika itu.

Piala Malaysia pula merupakan satu-satunya pertandingan yang telah wujud dan dipertandingkan di Tanah Melayu sejak 1921. Namun sejarah penyertaan Sabah dan Sarawak hanya bermula pada lewat 1970 an.

Banyak faktor dan kekangan yang harus diambil kira pada ketika itu. Faktor logistik dan kewangan adalah dua masalah utama untuk membenarkan pasukan bertandang ke tempat lawan.

Sarawak hanya melakukan penampilan pertama di Piala Malaysia pada 1979.Sarawak FA pada ketika itu dibimbing oleh jurulatih Poasa Sahar, dan antara pemain yang membintangi skuad Bumi Kenyalang pada era tersebut ialah seperti James Yaakub, Awang Mahyan, Pengiran Bala da ramai lagi.

Legenda bola sepak Awang Mahyan

Awang Mahyan adalah watak yang tidak perlu diperkenalkan lagi di dalam bola sepak Sarawak. Dilihat sebagai hero persis hulubalang di mata penyokong bola sepak dan rakyat Sarawak, di mata lawan Awang Mahyan ialah seorang jurulatih yang berpewatakan provokatif dan penuh kontroversi.

Di sebalik perspektif tersebut, tidak keterlaluan jika kita katakan Awang Mahyan adalah antara individu yang memainkan peranan besar membangkitkan ‘roh’ bola sepak Sarawak di saingan domestik.

 

Insiden-insiden yang membabitkan Sarawak FA kendalian Awang Mahyan yang hangat adalah seperti insiden ketika separuh Akhir Piala Malaysia menentang Kedah pada 1988 dan suku akhir 1989 menentang KL yg turut mengugat integrasi nasional pada masa itu.

Anda boleh sahaja mencari butiran kejadian melalui laman-laman bola sepak yang lain. Namun tidak boleh dilupakan insiden tersebut turut menyebabkan salah seorang Menteri dari kerajaan persekutuan pernah menangguhkan lawatan kerja ke Sarawak ketika isu integrasi nasional yang timbul disebabkan tewasnya Sarawak di peringkat suku akhir Piala Malaysia 1989.

Ngap Sayot, satu semangat demi Sarawak

Antara slogan yang popular di kalangan penyokong bola sepak Sarawak pada era tersebut ialah ‘Ngap Sayot’. Slogan ‘Ngap Sayot’ pada lewat 1980 an sehinga awal 1990 an ibarat satu gelombang besar yang melanda negeri tersebut.

Apa tidaknya. Dengan landskap negerinya yang luas, tidak semua penyokong mempunyai akses ke stadium. Ramai juga yang tidak berkemampuan ke stadium.

Namun semangat ‘Ngap Sayot’ itu ibarat tersemat di setiap sanubari anak muda dan dewasa sehingga ke kawasan pedalaman – merentasi Sungai Rejang, Layar dan Saribas sehingga mendaki puncak tertinggi Banjaran Tama Abu di Gunung Murud.

Di sebalik popularnya slogan Ngap Sayot di dalam bola sepak Sarawak, masih ramai juga yang lupa makna di sebalik slogan tersebut – termasuk di kalangan generasi baharu di negeri tersebut.

Ngap sebenarnya membawa maksud “makan”. Sayot pula adalah “sayur”. Ianya dialek tempatan dicampur bahasa pasar. Membawa makna lawan mudah dijinakkan, senang dan mudah dijamah seperti makan sayur.

Sama sahaja dengan bahasa troll hari ini iaitu ‘sayur’ je pasukan ni!

Ia diinspirasikan oleh Awang Mahyan sendiri ketika sedang bermain snooker dengan pemain-pemainnya. Beliau sering tewas dan dilabel ‘Ngap Sayot’ di kalangan pemain yang juga rakan beliau. Walaupun bergelar ‘bos’, Awang Mahyan tetap menganggap pemain-pemainnya sebagai rakan dan satu pasukan. Dari situlah slogan Ngap Sayot mula dipopularkan.

Mitos kucing hitam

Bola sepak Sarawak turut tidak pernah lari dari tuduhan menggunakan ‘tangkal’ atau ilmu hitam oleh lawan mereka pada ketika itu. Antara yang terkenal ialah mitos kucing hitam.

Terdapat kepercayaan di kalangan pemain dan penyokong lawan pada ketika itu bahawa Sarawak sedang menggunakan ilmu hitam untuk menang sekiranya seekor kucing hitam tiba-tiba muncul di Stadium Negeri ketika perlawanan berlangsung.

Sebenarnya dakwaan tersebut adalah tidak benar. Malah Awang Mahyan menggunakan persepsi dan tuduhan oleh lawan itu untuk menjadi kelebihan kepada pasukannya dalam perang psikologi.

Perlawanan menentang Kedah di pertandingan Piala Malaysia 1988 yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching.

Yang sebenarnya mitos kucing hitam sebagai penggunaan ilmu hitam adalah rekaan semata-mata untuk menakutkan pasukan “City boys” Kuala Lumpur dan Singapura pada masa itu. Ia dipercayai dilepaskan oleh peminat dengan sengaja ke trek stadium.

Kerana besarnya pengaruh si kucing, maka kucing hitam turut pernah menjadi maskot skuad Sarawak.

Pasukan Ngap Sayot pada ketika itu dibarisi 100% pemain tempatan yang menampilkan permainan bola sepak yang cantik, lasak diadun bersama semangat juang yang tinggi.

Rumusan: Sarawak United

Hari ini bola sepak Sarawak diwakili oleh Sarawak United yang bersaing di Liga Premier. Sudah pasti ada suara yang mempersoalkan status pasukan ini yang pada asalnya merupakan Selangor United.

Pengambilalihan bukan isunya di sini. Apatah lagi sekarang adalah zaman penswastaan. Suka atau tidak Sarawak United adalah pasukan yang menggalas tanggungjawab untuk mengangkat kembali martabat bola sepak Bumi Kenyalang. Ini bermakna Sarawak United yang turut dikenali sebagai ‘The Golden Hornbill’ memerlukan sokongan dari setiap pihak di Sarawak.

Jika Ngap Sayot adalah sejarah dan kisah lama yang menjadi kebanggaan bola sepak Bumi Kenyalang, maka Sarawak United adalah lembaran baharu bola sepak Sarawak yang mahu bangun berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan utama lain di dalam negara. Tiba masanya semua pihak bergandingan tangan supaya Sang Kenyalang Emas kembali terbang tinggi.

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel menarik lain mengenai Sarawak melalui pautan di bawah:

Alan Vest: Kisah Jurulatih Lagenda Sarawak Bersama Hulubalang Importnya

GB13, Ultras Yang Tidak Pernah Jemu Demi Bujang Senang

Peminat Sarawak Ini Luah Rasa Kecewa, Sarawak Seperti Dipinggirkan Dalam Hal Siaran Langsung

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN