Alan Vest: Kisah Jurulatih Lagenda Sarawak Bersama Hulubalang Importnya

Ketika penghujung era 1980-an, Sarawak mulai bangkit sebagai kuasa bola sepak Malaysia sebaris denganKuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pahang dan Singapura.

Sarawak mulai digeruni oleh lawan terutama ketika berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching.

Usah kita bicara akan Awang Mahyan, Ngap Sayot atau kisah si kucing hitam. Umum sudah mengetahui kehebatan Awang Mahyan dan skuad Ngap Sayot meniup angin semangat ke seluruh pelusuk Pertiwi dengan pelbagai kisah dan mitos.

Lagenda import

Satu lagi nama ketika zaman kegemilangan bola sepak Sarawak ialah Alan Vest bersama-sama hulubalangnya John Hunter, Jeff Curran dan David Evans.

Si Rajah Putih beserta hulubalangnya yang membawa fenomena dan gemilang tidak tercapai oleh pengendali maupun pemain import lain selepas mereka.

Tidak hairanlah walaupun selepas 20 tahun, nama mereka tidak kering menitip bibir peminat bola sepak Sarawak.

Di bawah kendalian pengurus merangkap ketua jurulatih berbangsa Inggeris ini, Sarawak menjadi antara pasukan negeri paling konsisten.

Sarawak menduduki tiga tempat teratas liga selama lima tahun berturut-turut. Juara Piala FA Malaysia 1992, juara Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998.

Kredit: Gary Hardin Lugard

Musim 1992-1998 tercatatnya tempoh gemilang bola sepak Bumi Kenyalang. Demikian statistik ringkas Alan Vest dan hulubalangnya bersama Sarawak.

Dilahirkan pada 1939 di Barnley, Yorkshire kemudiannya berhijrah ke New Zealand. Alan Vest mewakili pasukan “All White” di peringkat antarabangsa.

Beliau menjaringkan gol ketika debut beliau bersama pasukan New Zealand menentang New Cadelonia, Alan Vest membuat 17 penampilan dengan 6 gol di peringkat antarabangsa bersama New Zealand.

Beliau juga pernah bermain di beberapa kelab sepanjang kariernya. Antaranya:

  • Barnsley (1960-1961)
  • King’s Lynn (1961-1962)
  • Boston United (1962-1965)
  • Spalding United (1965-1965)
  • Worksop Town (1965)
  • Rugby Town
  • Gisborne City (1973-1974)
  • Perth Azzuri (1974-1977)
  • Newcastle KB United (1978)

Manakala kareer di dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan bermula di Rubgy Town diikuti oleh Rochdale United.

Alan Vest kemudiannya dilantik sebagai pengarah kejurulatihan Western Australia, New Brighton, Newcastle KB United, West Adelaide SC sebelum menyertai Sarawak FA (1992-1998).

Alan Vest kemudiannya berhijrah ke Geyland United, Singapura (1999-2000) sebelum kembali ke Perth Glory sebagai pembantu pengurus (2001-2005).

Beliau sempat mengendalikan Inglewood United (2005-2006) and ECU Joondalup (2009) di National Premier Leagues Western Australia sebelum bersara sepenuhnya dari pengurusan dan bidang kejurulatihan bola sepak.

Sehingga 2013, beliau adalah pengarah teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak. Namun begitu, tidak berapa jelas akan perkembangan program tersebut ketika artikel ini ditulis.

Pada 23 November 2016, Alan Vest disenaraikan ke dalam “Hall of Legend” di dalam satu majlis anjuran Football Hall of Fame WA’s 20th anniversary Gala Dinner/Induction Night di Crown Perth, Australia sebagai penghargaan kepada usaha beliau kepada bahagian pengurusan dan kejurulatihan bola sepak Australia.

Ketika menyertai Sarawak, Alan Vest yang kini berumur 77 tahun turut membawa bersama tiga pemain import untuk menguatkan saingan skuad Bujang Senang pasca era Ngap Sayot.

John si Kerbau

John Hunter, penyerang ini tiba di Kuching pada tahun 1991 dengan reputasi hebat setelah menjaringkan 31 gol melalui 17 penampilan bersama Western Australia.

Beliau dikenali dengan nama jolokan John Kerbau di kalangan peminat bola sepak tempatan kerana corak permainan beliau yang lasak, susuk tubuh yang tegap dan sukar dijatuhkan lawan.

Berjersi No.10, John Hunter membentuk gandingan yang mantap bersama pemain tempatan kelahiran Melaka, Shamsurin Abd Rahman.

Kredit: Gary Hunter Lugard

Sebelum menyertai Sarawak, John Hunter sering dicanang sebagai pemain yang lebih baik daripada Alistair Edward oleh tabloid tempatan. Alistair Edward turut ditandatangani oleh Sarawak pada tahun 1995 sebagai pengganti Hunter.

Jeff Curran yang merupakan produk akademi Celtic ini bermain di posisi sweeper. Beliau ditandatangani oleh Alan Vest bersama-sama dengan John Hunter.

Curran pernah beraksi bersama St. Mirren di Liga Scotland sebelum berhijrah ke Hong Kong. Bersama kelab Athena di dalam Liga Australia, beliau memenangi kejuaraan Divisyen Satu pada tahun 1988 dan tiga kejuaraan Piala D’Orsogna (1987, 1998, 1989).

Di Sarawak, kegigihan dan kerajinan di padang pantas menawan hati peminat bola sepak tempatan.

Jelas ia adalah faktor dan kualiti yang dihargai oleh Alan Vest, rakan sepasukan dan penyokong bola sepak tempatan sehingga beliau dilabel sebagai lagenda bola sepak Sarawak.

Pemain kelahiran Glasgow, Scotland ini bermain bersama Sarawak sehingga tahun 1994 sebelum menyertai Scottish Police Service dan bersara daripada bola sepak.

Wira tak didendang

David Evans. Siapa sangka beliau adalah pemain import terlama yang pernah beraksi di Liga Malaysia dengan lebih 100 penampilan untuk Sarawak.

Anehnya apabila dibandingkan dengan ramai pemain import hebat yang pernah bermain di Liga Malaysia, tidak banyak penulisan berkenaan David Evans.

Seperti juga John Hunter dan Jeff Curran, Evans ditandatangani oleh pengurus Alan Vest pada 1991 dari kelab Divisyen Tiga Liga Inggeris – Walsall.

Pada ketinggian 6 kaki 6 inci, David Evans bermain di posisi pertahanan dan merupakan nadi pertahanan Sarawak yang utuh ketika itu.

Kontrak beliau bersama Sarawak terpaksa ditamatkan apabila FAM mengambil tindakan drastik untuk menidakkan kehadiran pemain import di dalam Liga Malaysia.

Alan Vest, John Hunter, Jeff Curran dan David Evans. Inpak mereka di dalam bola sepak Sarawak sangat signifikan.

Wajarlah Alan Vest digelar sebagai “Rajah Putih Bola Sepak Sarawak” manakala John Hunter, Jeff Curran dan David Evans adalah hulubalang import yang turut bersama memahat kegemilangan bola sepak Sarawak satu masa dahulu.

Sempena perlawanan pertama Liga Super Malaysia di Stadium Negeri pada musim ini, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan menganjurkan satu perlawanan pertunjukan membabitkan bekas pemain pasukan Sarawak. Antara yang hadir adalah:

  • John Hunter
  • David Evan
  • Doug Ithier
  • Allistair Edward
  • Alan Vest
  • Jalil Ramli
  • Shamsurin Abdul Rahman,
  • Ramos dan Ramles Sari
  • Mohd Dahlan Matussin
  • Mohd Ali Sapiee
  • Roslan Ismail dan ramai lagi

Perjumpaan lagenda bersama peminat bola sepak tempatan turun akan diadakan pada 4 Februari di Dataran Stadium sebelum perlawanan menentang Pahang.

Ayuh ramai-ramai kita menghadirkan diri. Sambil berkarnival, kita sokong pasukan kesayangan kita Sarawak.

Ooohhhh!!!!!! HHHAAAAAAAAA!!!!!!!!!!

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Gary Hardin Lugard yang merupakan peminat setia pasukan Sarawak. Jika anda ada penulisan menarik dan mahu ia dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia. Hantarkan artikel anda dalam fail MS Word ke [email protected]

Baca juga: Kelayakan ACL 2017: 2 Langkah Lagi Untuk Johor Darul Ta’zim (JDT)

Leave a Reply