Peminat Sarawak Ini Luah Rasa Kecewa, Sarawak Seperti Dipinggirkan Dalam Hal Siaran Langsung

Isu masalah pembahagian jumlah siaran langsung Liga Malaysia tidak pernah habis. Setiap musim ada sahaja yang akan mengeluh.

Mana tidaknya, ada saja pasukan yang akan dapat jumlah siaran langsung yang terlalu jelas sedikit berbanding dengan pasukan-pasukan yang lain.

Salah satu contohnya pasukan Sarawak. Satu-satunya pasukan Borneo yang beraksi di Liga Super ini jarang sekali dapat siaran langsung tidak kira dari zaman Astro Arena menjadi penyiar rasmi sehinggalah kini Media Prima, Sarawak masih kurang mendapat perhatian.

Dan kini seorang peminat Sarawak tidak lagi tahan dengan situasi ini.

No Live No Problem?

Menerusi laman Facebook Borneo, terdapat kekesalan yang disuarakan oleh peminat Sarawak terhadap keseimbangan penyiar rasmi Liga Malaysia dalam mengagihkan jumlah siaran langsung.

Beliau dalam statusnya mahu pihak FMLLP memberikan penjelasan kenapa Media Prima tidak mahu menyiarkan sebarang perlawanan Sarawak sama ada mereka bermain di laman sendiri atau laman lawan.

“Saya ingin memohon pencerahan dari pihak FMLLP. Kenapa Media Prima tidak mahu menyiarkan langsung perlawanan melibatkan Sarawak tidak kira di laman sendiri atau laman lawan dalam aksi Liga Super dan Piala FA Malaysia?”

“Pihak Media Prima sedia maklum yang negeri Sarawak ini merupakan negeri yang cukup besar di Malaysia. Dan tidak semua penyokong mampu untuk menyaksikan aksi perlawanan Sarawak di Kuching terutamanya mereka yang tinggal di daerah seperti Limbang, Miri, Lawas dan juga Bintulu.”

“RTM boleh, kenapa Media Prima tak boleh?”

Peminat Sarawak itu juga mempersoalkan kenapa pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh menyiarkan perlawanan melibatkan Sarawak, tetapi kenapa pihak Media Prima tidak boleh?

“Persoalannya kenapa pihak RTM sebelum ini diberi hak penyiaran untuk Liga Malaysia boleh saja menyiarkan perlawanan melibatkan pasukan Sarawak, Tetapi kenapa Media Prima tak boleh?”

“Kami minta tolong jangan mainkan sentimen double standard dalam memilih siaran langsung kerana kami dari kepulauan Borneo.”

Beliau juga meminta agar Media Prima tidak mengira rating pasukan ketika memilih siaran langsung, sebaliknya menyemaikan semangat 1Malaysia dengan memberi kesamarataan dalam pemilihan siaran langsung.

Jangan mengira rating pasukan, tapi semaikan semangat 1Malaysia dan kepuasan semua penonton-penonton TV serta penyokong-penyokong pasukan dari Pulau Borneo dan seluruh Malaysia dapat menyaksikan secara langsung semua pasukan yg bermain dlm Liga Malaysia.”

Sebelum menutup luahan beliau, beliau bertanya satu soalan sinis kepada pihak FMLLP dan juga Media Prima.

“Adakah Liga Malaysia ini hanya milik pasukan seperti JDT, Selangor, Kedah, dan FELDA United sahaja? Tolong jangan lakukan diskriminasi demi bola sepak negara.”

Sarawak belum lagi ke udara

Setakat 5 minggu Liga Super, 9 daripada 12 pasukan Liga Super sudah memperoleh perlawanan mereka disiarkan secara langsung di televisyen.

Cuma Sarawak, Kelantan dan juga PKNS FC belum lagi berjaya ke udara selepas 5 minggu Liga Super dilangsungkan.

Berikut adalah jumlah pecahan siaran langsung setakat ini mengikut pasukan:

  • JDT (4)
  • Kedah (3)
  • FELDA United (3)
  • Pahang (2)
  • Pulau Pinang (3)
  • Selangor (2)
  • Melaka United (2)
  • T-Team (2)
  • Sarawak, Kelantan, PKNS FC (0)

Kami harap isu siaran langsung ini dapat diselesaikan dengan segara oleh penyiar rasmi Liga Malaysia. Kami mahu setiap pasukan mendapat jumlah siaran langsung yang setara.

Nota artikel: Artikel ini merupakan luahan dari seorang peminat bola sepak Sarawak yang tidak bernama yang disiarkan di laman Facebook Borneo. Jika anda ada artikel menarik dan mahu dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantarkan dalam bentuk MS Word ke [email protected]

Baca juga: Perak Menang Di Ipoh, Leburkan Rekod Tanpa Kalah JDT Dalam 25 Perlawanan Liga

Leave a Reply