Apa Itu Half Space Dan Kenapa Ia Penting Kepada Taktikal Bola Sepak

Ketika merancang strategi dan taktikal pasukan, isu zon-zon di padang dan bagaimana untuk mengeksploit zon-zon tersebut adalah antara isu yang diambil berat oleh jurulatih.

Mana-mana jurulatih old school pasti akan memberitahu anda bahawa padang terbahagi kepada 18 zon. Konsep pembahagian padang kepada 18 zon ini dikemukakan buat pertama kali oleh Louis van Gaal.

photo_2016-09-15_14-29-50

Louis van Gaal akan memberitahu jika kita ‘membelah’ padang secara menegak (vertical), kita akan mendapat 3 zon – tengah, sayap kiri dan sayap kanan.

photo_2016-09-15_14-29-39

Tetapi taktikal bola sepak sudah berevolusi.

Jurulatih-jurulatih elit dari Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengenalpasti ada satu zon lagi yang tidak dikenalpasti oleh Louis van Gaal. Zon ini jika dieksploitasi, ia akan memaksimumkan potensi perancang pasukan anda.

Zon ini dipanggil ‘half space’ atau ‘halbraum’ dalam bahasa Jerman.

Apa itu zon half space?

Menurut jurulatih-jurulatih elit dari Persatuan Bola Sepak Jerman, padang sepatutnya dibahagikan kepada 5 zon jika dibelah secara menegak (vertical).

photo_2016-09-15_14-29-44

Ini bermakna secara menegak, padang sudah ada 2 tambahan zon berbanding versi Louis van Gaal sebelum ini iaitu dua zon half spaces.

Mengapa zon half spaces perlu ada?

Dalam beberapa analisis Piala Eropah yang lalu, saya banyak menekankan isu half space. Sama ada ketika menyerang ataupun ketika bertahan.

Gambar di bawah menunjukkan bagaimana kedudukan posisi (positioning) pemain Wales ketika bertahan. Dalam gambar ini, anda dapat lihat pemain Wales memaksa pemain Belgium untuk bermain di luar half space.

vb

Ini pula kedudukan pemain-pemain Portugal ketika bertahan menentang Wales. Anda akan mendapati, Portugal memberikan penekanan untuk bertahan di kawasan half-space. Itu yang kerap digelar pertahanan yang kompak.

haf

Sama juga dengan Ireland Republik dalam contoh di bawah. Mereka hanya membiarkan sahaja Perancis memegang bola; dengan syarat ia mesti di luar kawasan half space.

ir

Berdasarkan 3 contoh gambar di atas, kita dapat melihat betapa paranoidnya pasukan moden sekarang untuk membiarkan zon half space tidak terjaga.

Persoalannya kenapa?

1. Visi pemain lebih luas berbanding di zon sayap 

Di zon half space, sudut visi/pandangan pemain kepada pintu gol lawan adalah lebih luas berbanding zon sayap. Anda mungkin akan bertanya: bukankah zon tengah lebih luas sudut visi/pandangannya?

Bayangkan anda memegang bola di zon tengah padang. Ya, sudut visi/pandangan anda lebih luas berbanding zon sayap. Tetapi di zon tengah inilah, ramai pemain lawan akan berkumpul.

passwinkelmo%cc%88glichkeiten-aus-dem-zentrum

Malah di zon tengah, agak sukar sebenarnya untuk anda membuat hantaran menegak (vertical) memandangkan penerima hantaran perlu membelakangi gol untuk menerimanya.

Kemudian bayangkan anda memegang bola di zon sayap pula. Tidak ramai pemain berkumpul di zon ini. Tetapi sudut visi/pandangan anda lebih sempit kerana adanya garisan tepi padang.

Sekarang bayangkan jika anda memegang bola di zon half space.

Sudut visi/pandangan anda di zon half space tetap luas seperti zon tengah. Tetapi disebabkan anda berada hampir dengan zon sayap, tak banyak pemain akan berkumpul di zon ini.

Passwinkelmöglichkeiten-aus-dem-Halbraum

Malah jika anda membuat hantaran pepenjuru (diagonal) dari half space, penerima hantaran juga tak perlu membelakangi pintu gol untuk menerima hantaran tersebut.

Contohnya boleh dilihat dalam analisis Perancis vs Republik Ireland ketika Piala Eropah 2016.

Dari zon half space, Adil Rami memiliki 3 titik sasaran utama untuk melakukan hantaran yang berbahaya (key passes) – titik A, B dan C.

Jika beliau berada di zon sayap (kawasan bertanda X dalam gambar), lebih sukar bagi Rami untuk membuat hantaran menegak (verticalke titik C.  Untuk membuat hantaran ke titik A dan B, Rami terpaksa membuat hantaran yang lebih jauh.

121

Gambar di bawah ini pula merupakan contoh taktikal Jerman ketika Piala Eropah 2016.

Di zon half space inilah, Jerome Boateng banyak melakukan hantaran terus secara menegak (vertical) atau pepenjuru (diagonal) ke kawasan final third daripada belakang.

Apa yang lebih menarik lagi adalah, pemain-pemain kreatif seperti Mesut Ozil dan Julien Draxler juga berada di kawasan half space untuk menerima bola dari belakang.

bo

2. Jarak hantaran ke kawasan bahaya

Dalam analisis seorang ahli statistik yang bernama Michael Caley, beliau membuat kesimpulan potensi untuk mendapat gol adalah lebih tinggi jika bola dihantar ke zon 17 (rujuk gambar di bawah) secepat mungkin.

photo_2016-09-15_14-29-50

Baca:Memahami Apa Itu Pembahagian 18 Zon Di Dalam Padang

Beliau juga menulis bahawa potensi menghasilkan peluang gol akan menjadi tinggi jika hantaran pepenjuru (diagonal) dan hantaran lintang (crosses) dibuat ke dalam zon 17 berbanding hantaran menegak (vertical) ke zon 14.

Untuk menghasilkan hantaran yang berbahaya ke zon 17, aspek paling penting adalah ketepatan (accuracy of the pass) dan kelajuan bola yang dihantar (weight of the pass).

Kelajuan bola yang dihantar (weight of the pass) mungkin boleh dilakukan dari mana-mana zon.

Namun ketepatan hantaran (accuracy of the pass) di half-space adalah lebih tinggi berbanding dengan zon sayap kerana jaraknya yang lebih dekat.

Variasi hantaran di zon half space juga lebih banyak.

Jadi, peratusan hantaran yang akan menghasilkan gol adalah bergantung kepada

  1. Jarak (semakin jauh jarak hantaran, semakin sukar hantaran tersebut untuk menemui sasaran)
  2. Variasi hantaran (semakin banyak variasi hantaran, semakin tinggi peluang gol dihasilkan)

Ini adalah jadual rumusan daripada analisis di atas.

[table]
,Tengah/Center,Half Space,Sayap/Flank,
Jenis Hantaran Ke Zon 17,Vertical,Diagonal,Diagonal/Horizontal,
Jarak dari zon 17,Sangat Dekat,Sederhana,Jauh,
[/table]

3. Pemain boleh melakukan pertukaran posisi dengan lebih efektif

Seseorang pemain yang berada di zon half space akan memiliki jarak yang dekat dengan kawasan sayap dan juga pemain di tengah.

Dalam taktikal Barcelona, anda akan dapati Iniesta sangat mudah untuk menukar peranan beliau dengan pemain lain kerana pendekatan mereka yang berada di half-space.

inie

Itulah yang dilakukan oleh Lionel Messi yang kerap menunggu di bahagian half-space. Ini kerana, kelebihan selepas menerima bola adalah satu perkara yang diutamakan.

Dalam keadaan terkepung, pemain di half space akan lebih mudah melepaskan diri berbanding dengan pemain yang bermain di sayap.

Kesimpulan

Jurulatih old school mungkin akan menafikan kepentingan half space dengan berkata, “Half space adalah sama dengan channel. Cuma tukar nama sahaja.”

Tetapi saya boleh beritahu dengan yakin bahawa, half space dengan channel adalah dua benda yang berbeza.

Kecenderungan pasukan tempatan untuk bermain di zon sayap perlu diperbetulkan. Ia perlu dipelbagaikan dengan bermain di zon half space.

Baca juga:Apakah Zon 14 (Kawasan Paling Berbahaya Di Padang) Dalam Bola Sepak?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN