Analisis: Adakah Mesut Ozil Lebih Berkualiti Daripada Henrikh Mkhitaryan?

Aksi Mesut Ozil pada hujung minggu yang lalu; bergandingan dengan Alexis Sanchez dan juga Alexandre Lacazette buat pertama kalinya, menampilkan hanya sekilas daripada kemampuan perancang tengah antarabangsa Jerman itu.

Tatkala kontraknya di Emirates akan tamat pada penghujung musim ini, masa hadapan Mesut Ozil bersama Arsenal mulai menjadi persoalan di kalangan penyokong-penyokong Arsenal.

Jikalau Ozil mengambil keputusan untuk tidak kekal bersama Arsenal, perkhabaran daripada London melaporkan bahawa Ozil masih mahu kekal di England.

Ironinya, prestasi Henrikh Mkhitaryan mulai dipersoalkan oleh beberapa penganalisa yang mengikuti perkembangan pemain antarabangsa Armenia dan Manchester United.

Ke manakah Ozil?

Sebuah akhbar di UK, The Independent melaporkan Manchester United akan memulakan rundingan dengan Ozil menjelang Januari, apabila tempoh kontrak menuju ke 6 bulan terakhir yang membenarkan beliau berbincang dengan mana-mana kelab untuk hala tuju seterusnya.

The Mirror turut melaporkan bahawa Ozil telah memaklumkan kepada rakan sepasukan di Arsenal bahawa beliau telah menetapkan Old Trafford sebagai destinasi seterusnya untuk beliau.

Malah salah seorang penulis kami turut menganalisa bagaimana Ozil boleh beraksi bersama skuad Mourinho. Anda boleh membaca artikel tersebut di sini: Analisis: Adakah Ozil Pemain Yang Diperlukan Manchester United?

Kehadiran Ozil akan memberi pilihan kepada taktikal Mourinho. Berbeza dengan Juan Mata dan Henrikh Mkhitaryan yang berada di dalam skuad Mourinho sekarang, Ozil adalah seorang central winger.

Perkara yang menjadi perdebatan rakan penulis ialah, adakah kehadiran Mesut Ozil di Old Trafford adalah satu keperluan atau satu pembaziran?

Berbeza dengan analisis yang dilakukan oleh rakan penulis, artikel ini akan mendebatkan mengapa Mourinho dan Manchester United memerlukan Mesut Ozil, jika benar mereka mahu bersaing untuk gelaran EPL menjelang Mei atau musim hadapan hadapan.

Benarkah Manchester United tidak perlukan Ozil?

Mourinho dan United mempunyai 2 pilihan. Pertama, menawarkan kepada Arsenal sejumlah harga untuk memaksa Ozil ke Old Trafford menjelang Januari, ataupun pilihan kedua, melakukan rundingan pra kontrak, agar Ozil menyertai United menjelang Julai hadapan.

Abaikan pilihan yang dimiliki oleh Mourinho. Sekilas pandang, sesiapa sahaja dengan mudah akan memberi hujah bahawa pemain seperti Ozil tidak diperlukan di United.

(Photo by David R. Anchuelo/Real Madrid via Getty Images)

Posisi terbaik bagi Ozil ialah sebagai No.10, beraksi di belakang seorang penyerang (Lukaku jika di perspektif United).

Ozil juga boleh beraksi dari sebelah sayap kanan, cenderung melakukan larian ‘cut inside’ untuk menggunakan kekuatan yang ada pada kaki kirinya. Dengan kata lain, sebagai seorang ‘inverted winger’.

Untuk ini, United sudah memiliki 2 pilihan pemain dengan peranan yang hampir sama iaitu Henrikh Mkhitaryan dan juga Juan Mata.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Ketika Mourinho memilih untuk menggunakan formasi 4-2-3-1 (formasi pilihan sebelum kecederaan Paul Pogba), Mata mengambil peranan posisi di sebelah kanan.

Mata dan Mkhitaryan menampilkan prestasi yang agak baik pada permulaan musim di dalam formasi ini. Maka jika ketibaan Ozil akan menyebabkan salah seorang daripada mereka akan disisihkan, ia kelihatan kurang adil.

Sekurang-kurangnya, demikianlah perspektif dan pandangan daripada penyokong Manchester United.

Ozil lebih baik daripada Mkhitaryan

Namun demikian kita harus memerhatikan prestasi Ozil. Walaupun pada ketika permainannya tidak berada di tahap terbaik dan mengundang kritikan ramai, beliau masih seorang pemain yang kreatif.

Sejak permulaan musim 2016-17, Opta merekodkan Ozil telah melakukan purata hantaran kunci (bahaya) sebanyak 3.22 kali untuk setiap 90 minit perlawanan di Liga Perdana Inggeris.

Statistik ini adalah lebih baik daripada apa yang direkodkan oleh Mkhitaryan (2.35) dan juga Juan Mata (2.47).

Sebelum perlawanan menentang Everton pada Ahad lalu, Ozil belum menghasilkan sebarang bantuan gol untuk Arsenal di EPL. Beliau bagaimanapun telah menjaringkan satu gol dan tampil dengan satu bantuan gol untuk Lacazette dalam perlawanan tersebut.

Manakala gandingan Mkhitaryan dan Mata telah memiliki 6 bantuan gol secara keseluruhan, dengan purata hantaran berbahaya sebanyak 3.4 dan 2.4 untuk setiap 90 minit perlawanan musim ini.

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Walaupun dengan hanya 1 bantuan gol, pemain Arsenal itu telah merekodkan purata hantaran berbahaya sebanyak 3.7 kali pada musim ini.

Secara berpasukan, Manchester United mempunyai kadar purata percubaan tertinggi di EPL setakat ini, dengan 23.6% daripada percubaan mereka menghasilkan gol. Manakala Arsenal merekodkan purata 12.4% dan merupakan pasukan ke-9 tertinggi di kalangan 20 pasukan EPL.

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Bayangkan jika Ozil beraksi dengan pasukan yang mempunyai penyudah yang lebih klinikal seperti United. Sudah pasti Ozil mampu merekodkan lebih banyak bantuan gol untuk pemain-pemain seperti Romelu Lukaku, Anthony Martial dan juga Marcus Rashford.

Tatkala ramai yang membincang serta mempersoalkan keberkesanan dan relevannya Ozil di Emirates, statistik ringkas di atas menunjukkan bagaimana masa hadapan Ozil mungkin mempunyai skrip yang berlainan jika bersama United.

Aspek penambahbaikan

Salah satu kelemahan yang dimiliki oleh Ozil ialah beliau tidak mempunyai karakter untuk membantu pasukan ketika bertahan. Sumbangan Ozil sebagai individu agak kurang jika tanpa bola dan adakalanya menunjukkan keengganan untuk bekerja keras dalam perlawanan.

Sukar melihat Ozil bekerja keras melakukan ‘pressing’ dan cuba mengejar kembali bola yang terlepas ke pasukan lawan. Adakah ini akan menjejaskan Ozil jika ingin beraksi di bawa Mourinho?

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Ketika beraksi di bawah Mourinho di Bernabeu, Ozil akan beraksi di sebelah kanan formasi 4-3-3 atau pun di bahagian tengah formasi 4-2-3-1. Ketika di Madrid, Ozil menampilkan kerja keras yang ditagih oleh Mourinho, termasuk membantu pasukan ketika bertahan.

Corak kerja keras Ozil ketika bersama Real Madrid menyebabkan beliau cepat keletihan dan sentiasa dikeluarkan oleh Mourinho ketika perlawanan mulai memasuki minit ke-70.

Perkara yang sama berlaku dan kita boleh kita saksikan pada Juan Mata sejak ketibaan Mourinho. Bekas pemain Chelsea itu turut dikritik kerana kelemahannya untuk bertahan ketika di Chelsea.

(Photo by Clive Rose/Getty Images)

Jika benar Ozil mahu menyertai skuad kendalian Mourinho di Old Trafford, aspek bertahan adalah salah satu perkara yang perlu diperbaiki oleh beliau.

Sepertimana Juan Mata sedar dan mengubah corak permainannya sejak Mourinho tiba di United, Ozil turut sedar pengendali dari Portugis itu tidak akan berkompromi dengan pemain yang hanya mahu menjadi penumpang di dalam pasukan.

Ozil mampu revolusikan serangan United

Ketika di bawah kendalian Mourinho di Real Madrid, Ozil telah menjaringkan 27 gol dan menghasilkan 81 bantuan gol dalam semua pertandingan dalam tempoh 3 musim.

Jika Mourinho mampu mengembalikan prestasi Ozil seperti ketika di Madrid, maka Ozil mungkin akan menjadi satu pembelian dan penambahan yang sangat berbaloi buat skuad United.

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

Secara keseluruhan Manchester United menunjukkan peningkatan dari segi serangan pada musim ini. Tetapi hakikat jelas ialah mereka masih lagi ketinggalan berbanding anak buah Pep Guardiola, Manchester City dari segi ketajaman dan kerakusan penyudah- perkara yang menyebabkan mereka berputih mata kepada City pada musim 2011-12 akibat perbezaan gol.

Pemain dengan kaliber dan profil yang dimiliki oleh Mesut Ozil amat bersesuaian dengan apa yang Manchester United perlukan. Ia akan memberi pilihan dari segi taktikal kepada Mourinho.

Rumusan

Ketika di bawah bimbingan Arsene Wenger, Mesut Ozil dikenali sebagai seorang ‘raja bantuan gol’ di awal kariernya di London. Hubungan Ozil dan Wenger turut kekal baik. Kerana itu, sukar untuk kita melihat bagaimana Wenger mahu melepaskan Ozil ke Old Trafford.

Tetapi karier Ozil di Arsenal seakan-akan sudah mencapai tahap statik. Beliau perlukan cabaran baharu. Ozil perlu kembalikan gelaran yang pernah menjadikan beliau antara ‘playmaker’ digeruni di EPL satu ketika dahulu.

Untuk itu, keadaan terkini lebih mengarah kepada Ozil perlukan Mourinho. Mourinho bukan Sir Alex Ferguson.

Pengurus seperti Mourinho pasti mempunyai cara beliau yang tersendiri untuk menggunakan Ozil demi Macnhester United dan karier profesional dirinya sebagai salah seorang pengurus paling berjaya di Eropah.

Buat masa ini, penulis melihat kedua-duanya saling memerlukan satu sama lain.

Nota Editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN