ANALISIS: Jerman Lelah Dengan Taktikal ‘Positional Play’ Sepanyol

Qatar 2022

Jerman memperoleh talian hayat untuk mencerahkan peluang lolos dari saingan peringkat kumpulan Qatar 2022 apabila berjaya mengikat Sepanyol 1-1 di Stadium Al Bayt.

La Roja terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Alvaro Morata di minit ke-62, sebelum pemain gantian Jerman, Niclas Fullkrug menyelamatkan maruah bekas juara dunia 4 kali tersebut dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83.

Sepanyol jelas mahu mendominasi permainan ini menerusi penguasaan bola, dan pengedaran bola (ball circulations) yang dilakukan mereka menerusi variasi hantaran-hantaran pendek dan panjang kerap memecahkan blok pertahanan kompak pasukan Jerman.

Analisis kami kali ini akan memberi penumpuan kepada konsep ‘Positional Play’ yang menjadi teras permainan pasukan Sepanyol di bawah jurulatih mereka, Luis Enrique.

Membina serangan berasaskan struktur 2-3-2-3

Sepanyol memulakan perlawanan ini dengan formasi 4-3-3, namun setiap kali memperoleh penguasaan bola, mereka akan membina gerakan serangan mereka dengan penuh kesabaran, berasaskan struktur 2-3-2-3.

Berhadapan dengan Jerman yang bertahan secara ‘mid-blocks’ 4-2-3-1 yang kompak, Sepanyol akan memastikan mereka mempunyai kelebihan dalam aspek jumlah pemain (numerical superiorities) di peringkat awal serangan mereka.

Dua pemain ‘centre-backs’ mereka akan dibantu oleh tiga pemain yang diwakili posisi ‘fullbacks’ (Jordi Alba dan Dani Carvajal) sambil disokong oleh ‘pivot’ pasukan, Sergio Busquets.

Struktur binaan serangan (build-up play) Sepanyol di peringkat awal adalah berasaskan struktur 2-3.

Apabila berjaya melepasi tekanan awal pemain lawan, gerakan serangan Sepanyol akan disokong oleh gandingan Gavi dan Pedri yang beroperasi di belakang garisan tekanan kedua pihak lawan (space in between the lines) yang turut menjadi garis sokongan kepada trio serangan pasukan Sepanyol.

Organisasi ini melengkapkan struktur serangan 2-3-2-3 pasukan Sepanyol.

Pertukaran posisi pemain secara aktif (rotational positions)

Apabila berjaya menembusi bahagian tengah pasukan lawan, setiap pasukan yang berada dalam fasa serangan pasti mempunyai kekangan dalam aspek masa dan ruang ekoran organisasi bertahan pasukan lawan yang pastinya akan disusun secara kompak.

Situasi sama turut berlaku setiap kali Sepanyol berjaya memasuki kawasan tengah pasukan Jerman, di mana terdapat ruang yang terhad buat mereka untuk menjadikan pemain ‘pivot’ mereka, Sergio Busquets sebagai opsyen hantaran utama.

Namun, Sepanyol mempamerkan aspek struktur yang fleksibel apabila mereka kerap melakukan pertukaran posisi di antara pemain mereka untuk mencipta ruang, serta melepaskan diri daripada kawalan pemain lawan.

Menerusi gambar di atas, ‘centre-backs’ Sepanyol, Aymeric Laporte menyerang ruang yang berada di hadapannya, sambil Busquets turun ke bawah untuk menyediakan ‘covering’ kepada posisi yang ditinggalkan rakan sepasukannya itu.

Tindakan ini turut menarik keluar pemain Jerman, Serge Gnabry untuk keluar dari posisi asalnya untuk menekan Laporte yang sedang menyerang ruang di hadapannya, sekali gus meninggalkan ruang untuk dieksploitasi pasukan Sepanyol.

Tindakan Busquets yang turun ke bawah menggantikan posisi Laporte bukan sahaja menyediakan ‘covering’, malahan turut membebaskan dirinya daripada kawalan pemain lawan.

Ini sekali gus memberikannya masa dan peluang untuk menilai opsyen hantaran beliau yang seterusnya kepada Alba yang mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan oleh Gnabry.

Hantaran Busquets kepada Alba telah menarik pemain-pemain Jerman ke bahagian ‘wide area’, sekaligus membuka ruang yang besar buat Gavi (dalam bulatan besar).

Gavi berada pada kedudukan serangan yang baik ketika menerima hantaran Pedri tanpa sebarang tekanan daripada pemain lawan.

Ruang serta masa yang mencukupi membolehkan Gavi membuat hantaran kepada Marco Asensio.

Sebelum pemain tengah Real Madrid itu melebarkan permainan kepada Dani Olmo yang bebas daripada sebarang kawalan pemain lawan.

Ini sekali gus membolehkan Sepanyol mencatatkan percubaan tepat (shot on target) ke sasaran seawal minit ke-7 permainan.

Pengedaran bola yang pantas (rapid ball circulations)

Sepanyol turut menggunakan pengedaran bola pantas menerusi variasi hantaran-hantaran pendek serta jauh bagi mendorong pemain-pemain Jerman untuk keluar dari kedudukan bertahan mereka, sekali gus mencipta bukaan ruang sesama mereka untuk dieksploitasi La Roja.

Gambar di atas merupakan antara detik-detik awal sebelum Sepanyol menjaringkan gol pertama mereka. Ekoran situasi kompak, Sepanyol memulakan kembali serangan mereka menerusi hantaran ke belakang kepada Laporte.

Laporte melepaskan hantaran kepada Busquets, yang mencetuskan isyarat buat Ilkay Gundogan untuk menekan pemain tengah Barcelona tersebut dengan penuh intensiti.

Kedudukan badan serta tekanan tinggi daripada Gundogan menyebabkan Busquet terpaksa melakukan hantaran kepada Rodri.

Sebaik sahaja Rodri melakukan hantaran kepada Carvajal, blok pertahanan Jerman melakukan ‘shifting’ mengikut arah pergerakan bola, sekali gus membuka ruang buat Busquets.

Busquets kini memperoleh ruang dan masa untuk menerima bola dengan selesa tanpa sebarang tekanan pemain lawan.

Lalu melebarkan permainan ke bahagian ‘wide area’ untuk mencipta situasi 2v1 ke atas pemain pertahanan kanan Jerman.

Hantaran Pedri kepada Alba berjaya menarik keluar pemain pertahanan kanan Jerman daripada posisi asalnya, sekali gus mencipta bukaan ruang di antara pemain tersebut bersama ‘centre-backs’ Jerman.

Alvaro Morata bijak menghidu bukaan ruang tersebut dan terus melakukan ‘curved runs’ bagi melepasi kawalan pertahanan Jerman.

Ia sekali gus memberikan opsyen hantaran buat Alba.

Sebelum penyerang Sepanyol tersebut melakukan kuisan cantik untuk menewaskan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer bagi meletakkan Sepanyol mendahului permainan pada minit ke-62 permainan.

‘Counter pressing’ yang berkesan

Organisasi serangan yang berasaskan struktur 2-3-2-3 turut memastikan pemain-pemain Sepanyol berada di kedudukan serta jarak yang ideal untuk segera melakukan ‘counter pressing’ setiap kali mereka kehilangan penguasaan bola.

Seperti penjelasan kami sebelum ini, Sepanyol menyusun serangan mereka dengan struktur 2-3-2-3.

Sebelum ‘centre-back’ Sepanyol, Laporte melakukan hantaran secara ‘diagonal’ ke bahagian ‘wide area’.

Ferran Torres menerima hantaran tersebut, dan menanduknya ke arah Carvaajal.

Namun, bola tersebut berjaya dirampas oleh pemain lawan.

Namun di sinilah kita dapat melihat bagaimana struktur 2-3-2-3 Sepanyol turut mempersiapkan mereka di saat pasukan kehilangan penguasaan bola.

Perhatikan terdapat tiga pemain Sepanyol yang memberikan tekanan dari pelbagai sudut untuk memaksa pemain lawan melakukan hantaran yang terburu-buru.

Hantaran yang terburu-buru serta tidak berkualiti akan menjadi isyarat buat rakan sepasukan yang lain untuk turut sama mengenakan tekanan buat pemain lawan.

Ini sekali gus membolehkan Sepanyol merampas semula penguasaan bola.

Serta meletakkan mereka berada dalam fasa transisi serangan yang pantas serta efektif.

Sepanyol pasukan pilihan untuk muncul juara kumpulan E

Meski pun terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1, namun Sepanyol jelas mempamerkan permainan berkualiti tinggi, serta lebih banyak mendominasi perlawanan ini menerusi penguasaan bola yang dominan, serta sistem ‘counter pressing’ yang berkesan.

Ini memastikan Sepanyol memegang penguasaan bola dengan lebih kerap berbanding pasukan lawan mereka.

Gandingan pemain tengah muda mereka iaitu Gavi dan Pedri bebas mengekspresikan permainan serta kreativiti mereka, sambil disokong oleh Busquets yang sentiasa menjadi penghubung antara barisan pertahanan serta jentera tengah pasukan.

Sepanyol bakal berdepan Jepun dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan terakhir, dan mereka dilihat tidak mempunyai banyak masalah untuk mengetepikan pasukan gergasi Asia tersebut untuk mara ke pusingan 16 terakhir selaku juara kumpulan E Qatar 2022.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN