Elavarasan Kongsi Tips Untuk Pemain Muda Tembusi Skuad Senior

Seperti diketahui ramai, E. Elavarasan merupakan salah seorang jurulatih yang sangat berpengalaman dalam negara serta melahirkan beberapa pemain bintang muda.

Kecemerlangan beliau dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sebelum itu menyaksikan beliau melonjak untuk menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan bersama Kim Pan-gon.

Terbaharu, beliau diberi mandat untuk menaikkan bakat-bakat muda dengan menjawat sebagai pengendali skuad kebangsaan bawah 23 (B-23) dalam misi mengharumkan nama Malaysia dalam bidang bola sepak di mata dunia.

Beliau juga telah memberi sedikit nasihat kepada para pemain bawah kendaliannya jika mereka mahu tembusi skuad senior pada masa akan datang.

Jelas Elavarasan, beliau mahu para pemain kendaliannya supaya sentiasa terbiasa untuk bermain secara agresif sama seperti tonggak-tonggak pasukan senior lakukan kini.

Terang pengendali tersebut, ianya dianggap sangat penting selain menyerlahkan para pemain di atas padang dan secara tidak langsung membuka peluang buat mereka untuk menembusi skuad utama pada masa depan bagi menyertai saingan lebih bersifat kompetitif.

“Saya rasa sebagai pemain muda, kena agresif daripada skuad utama. Bila kamu agresif dalam apa posisi sekalipun, ia akan memberi banyak peluang untuk ke skuad utama negara.

“Di mana-mana tempat pun selalunya memang demikian. Jadi kita kena sediakan pemain dengan konsep sebegitu,” katanya kepada Berita Harian pada sesi kem latihan pusat skuad B-23 di Kompleks Sukan PKNS, semalam.

Tambah jurulatih kelahiran Selangor itu lagi, corak permainan seperti itu juga dituntut oleh Pan-gon selaku pengendali utama Harimau Malaya untuk diterapkan kepada pemain.

Ketika ini, pengendali berusia 60 itu melaungkan rasa optimis untuk tampil menyiapkan barisan pemain kendaliannya sebelum menghadapi beberapa kejohanan penting pada tahun hadapan.

Kem latihan pusat skuad B-23 telah pun dimulakan dengan lebih awal, kerana ia merupakan salah satu langkah persediaan untuk mengharungi jadual yang sangat padat tidak lama lagi.

Kejohanan-kejohanan yang bakal disertai oleh skuad B-23 negara ialah Piala AFF B-23; Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja; Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Kelayakan Piala Asia/Sukan Olimpik B-23 2024.

Sumber:
Berita Harian

Leave a Reply