3 Tonggak Indonesia Dijangka Terlepas Untuk Aksi Piala AFF 2022

Saingan Piala AFF bakal berlangsung tidak lama lagi dengan persiapan sudah pun mula dibuat oleh negara-negara yang bertanding dalam misi untuk merebut kejuaraan musim 2022.

Salah satu pasukan yang diberi tumpuan, Indonesia sudah pun memulakan kem latihan pusat mereka sejak semalam dengan membabitkan 28 pemain bawah kendalian Shin Tae-yong.

Daripada 28 pemain dipanggil, lapan daripadanya merupakan tonggak yang beraksi di luar negara dan menjadi harapan penyokong untuk melihat aksi mereka bersama skuad kebangsaan.

Lapan pemain tersebut ialah Elkan Baggott (Gillingham FC), Pratama Arhan (Tokyo Verdy), Asnawi Mangkualam (Ansan Greeners), dan Egy Maulana (FC ViOn Moravce).

Selain itu, pemain lain pula ialah Witan Sulaeman (AS Trencin), Saddil Ramdani (Sabah), serta dua pemain warisan baharu mereka iaitu Sandy Walsh (KV Mechelen), dan Jordi Amat yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun, berkemungkinan besar beberapa pemain yang beraksi di luar negara itu tidak dapat bersama Indonesia untuk memperkukuhkan skuad bagi mengharungi saingan tersebut atas faktor-faktor tertentu.

Ini kerana, saingan Piala AFF tidak tersenarai dalam kalendar FIFA dan setiap kelab tidak wajib untuk melepaskan pemain mereka bersama skuad kebangsan masing-masing.

Tambahan pula, jadual yang dikeluarkan untuk saingan itu turut berlangsung ketika kebanyakan kelab masing-masing sudah pun memulakan saingan liga yang pastinya tidak mahu keciciran para pemain.

Menurut Bola.com, ada tiga pemain Indonesia yang kini aktif bersama kelab masing-masing di luar negara yang mungkin tidak dapat bersama skuad kebangsaan.

Sandy Walsh

Pemain warisan baharu Indonesia ini antara nama yang mungkin sukar untuk bersama skuad kendalian Tae-yong kerana masalah kepadatan jadual dihadapi.

Sandy yang kini beraksi bersama KV Mechelen di Belgium dilihat sukar untuk dilepaskan kerana saingan liga di sana masih lagi berlangsung ketika itu dan tamat pada 22 Mei 2023.

Tambahan pula, Sandy merupakan antara pemain tonggak utama buat pasukan tersebut setelah mencatat dua gol dan dua bantuan jaringan sepanjang 17 perlawanan dihadapi beliau.

Elkan Baggott

Pemain muda yang sedang meningkat naik ini sedang menikmati musim terbaik beliau bersama Gillingham FC di England, dan pastinya sukar untuk dilepaskan kelab kerana bakal menghadapi beberapa perlawanan penting.

Menurut Bola.com, Baggott hanya akan dilepaskan kelab sekiranya mereka mampu melepasi cabaran FA Cup di peringkat lebih jauh pada masa akan datang.

Baggott dianggap tonggak penting buat pasukan diwakilinya selepas cemerlang bertindak selaku pemain pertahanan tengah dan sudah pun meledak dua jaringan ketika ini daripada 23 penampilan dihadapinya.

Egy Maulana Vikri

Sehingga kini, kelab diwakili oleh Egy iaitu FC ViOn masih lagi belum memberi maklum balas untuk diizinkan pemain tersebut beraksi mewakili Indonesia.

Walaupun begitu, kemungkinan besar sedikit masa lagi kelab tersebut bakal melepaskan Egy kerana saingan liga akan berehat seketika dan kembali bersambung pada bulan Februari.

Egy dianggap sebagai salah satu pemain penting buat Indonesia kerana kualiti dimiliki beliau sememangnya diakui ramai para penyokong bola sepak Asia Tenggara.

Sumber:
Bola.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN