‘Prospek Luar Biasa’ – Aksi Berdepan Dortmund Buktikan Arif Aiman Layak Berkelana Ke Eropah

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi menjadi tumpuan semalam, selepas mereka telah pun mengharungi satu aksi persahabatan bersama salah satu pasukan gergasi di Jerman iaitu Borussia Dortmund.

Dalam aksi tersebut, JDT mencatat kekalahan 1-4 di tangan Dortmund menerusi jaringan Justin Njinmah, Donyell Malen, Ole Pohlmann, dan Samuel Bamba.

Jaringan tunggal JDT pula terhasil menerusi pemain muda kelab tersebut iaitu Arif Aiman Hanapi yang berjaya mengejutkan pasukan lawan hasil gerakan lincahnya.

Arif yang mencatat corak permainan yang positif musim ini jelas sekali lagi mencipta fenomena buat peminat bola sepak negara, selepas ketenangan beliau berhadapan penjaga gol Dortmund berjaya memberi satu jaringan buat Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Malah, penjaga gol lawan dihadapi Arif iaitu Alexander Meyer bukan calang-calang selepas beliau mempunyai reputasi yang agak baik sebelum itu di Eropah.

Gol Arif terhasil selepas pemain itu bijak membuat tekanan sangat tinggi kepada pertahanan Dortmund untuk membuat kesilapan dan ianya berhasil untuk memberi kegembiraan buat para penyokong tuan rumah dengan sorakan padu setelah jaringan dihasilkan.

Selain meledak gol, Arif juga menjadi salah satu pemain yang sangat menonjol untuk JDT di posisi serangan menerusi gerakan-gerakan lincah yang dicipta beliau menyukarkan pertahanan lawan untuk mengekangnya.

Kelicikan Arif juga memaksa tiga atau empat pertahanan lawan perlu mengawal pergerakan beliau untuk menghalang lebih banyak gol terhasil terutama sekali di separuh masa kedua.

Jika Dortmund tampil dengan kelincahan pemain mereka iaitu Donyell Malen, tampil Arif untuk menjadi bintang utama JDT yang memberi masalah besar buat pasukan lawan mengekang segala kelincahannya di segenap sudut.

Sesuatu yang wajar dicontohi para pemain muda lain mengenai Arif ialah soal keberanian dan ketenangan di atas padang selain perlu lebih agresif biarpun berhadapan lawan dengan fizikal lebih besar.

Musim ini boleh dianggap sebagai tahun yang sangat baik buat Arif selepas kecemerlangan beliau membantu JDT meraih gelaran Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super, dan terbaharu Piala Malaysia.

Tonggak berusia 20 tahun itu jug menjadi salah seorang pemain muda yang bertuah dalam negara, apabila beliau berjaya merasai pengalaman beraksi di pusingan 16 terbaik AFC Champions League (ACL) nusim ini.

Kejayaan Arif turut membantu Skuad Kebangsaan melangkah ke Saingan Piala pada tahun hadapan, setelah beliau menjadi salah satu tonggak penting untuk Kim Pan-gon.

Jika gawang gol Dortmund pun mampu dibolosi sehingga pertahanan mereka tidak mampu mengejar Arif, apa lagi faktor untuk menidakkan kualiti pemain muda ini melangkah ke pentas Eropah?

Memetik ulasan artikel kami sebelum ini, Berbanding Akhyar Rashid atau Faisal Halim, Arif berada di perspektif yang berbeza.

Beliau bukan pemain sayap menyerang akan gemar masuk ke dalam kotak penalti lawan. Beliau pakar dalam membuat hantaran ke dalam kotak penalti.

Kelebihan tersebut juga diakui salah satu laman Twitter luar negara, We Are Scouting yang menyatakan Arif mempunyai kualiti sangat tinggi dalam mencipta hantaran tepat kepada penyerang.

“Bakat unik Malaysia yang menarik perhatian para pemerhati bakat kami, selepas melalui kempen yang cemerlang di peringkat kumpulan, AFC Champions League [ACL]. Pemain sayap muda dari Malaysia yang menjadi penghantar yang mempunyai kemampuan untuk menghantar bola ke ‘pinggan’ penyerang.”

Ditambah dengan usia masih muda, pemain ini mempunyai perjalanan masih panjang dalam dunia bola sepak dan tidak salah untuk dirinya mencuba nasib mewakili mana-mana kelab di Eropah yang jauh lebih bersifat kompetitif.

Kita pastinya tidak mahu akhirnya nasib Arif sama seperti pemain-pemain muda lain sebelum itu yang akhirnya tamat begitu sahaja dan tidak lagi mampu berkembang lebih jauh.

Memandangkan JDT sendiri kini merupakan antara nama besar yang giat menjalinkan persahabatan bersama kelab-kelab Eropah terkenal, ianya boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk Arif mendapatkan tempat di sana.

Selain Arif, kelibat seorang lagi pemain muda meningkat naik yang perlu diberi perhatian terarah kepada Feroz Baharudin yang menampilkan aksi cukup cemerlang untuk menghentikan serangan lawan sepanjang saingan berlangsung semalam.

Malah, sesekali kelibat beliau lebih menonjol berbanding rakan seniornya iaitu Shahrul Saad yang sesekali tampil dengan agak gugup ketika situasi satu lawan satu.

Situasi tersebut jelas menunjukkan JDT tidak lagi bergantung harap kepada lambakan pemain bintang dan berpengalaman, sebaliknya kini mereka semakin giat memperkenalkan bakat-bakat muda berkualiti untuk negara.

Persoalannya, adakah JDT mampu melangkah ke suatu tahap lebih tinggi lagi selepas ini dengan cuba memasarkan bakat-bakat muda mereka di pentas Eropah?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN