“Hantaran Umpama ‘Terletak’ Atas Pinggan Penyerang” – Manfaatkan Arif Aiman Berdepan Turkmenistan

Arif Aiman Malaysia Hong Kong 2022 manfaat lawan Turkmenistan

Malaysia akan turun berdepan Turkmenistan dalam aksi pertama Kumpulan E, pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 dan Arif Aiman Hanapi adalah salah seorang pemain yang akan menjadi perhatian pihak lawan.

Berbanding Akhyar Rashid atau Faisal Halim, Arif berada di perspektif yang berbeza. Beliau bukan pemain sayap menyerang akan gemar masuk ke dalam kotak penalti lawan. Beliau pakar dalam membuat hantaran ke dalam kotak penalti. Dan menurut laman Twitter, We Are Scouting, beliau ada penghantar bola yang cemerlang.

“Bakat unik Malaysia yang menarik perhatian para pemerhati bakat kami, selepas melalui kempen yang cemerlang di peringkat kumpulan, AFC Champions League [ACL]. Pemain sayap muda dari Malaysia yang menjadi penghantar yang mempunyai kemampuan untuk menghantar bola ke ‘pinggan’ penyerang.”

Twitter We Are Scouting

We Are Scouting adalah pasukan scouting dengan kekuatan 15 pemerhati bakat berpangkalan di Sepanyol.

Apa yang dimaksudkan oleh laman Twitter itu adalah, Arif mampu membuat hantaran tepat kepada penyerang umpama mereka hanya menanti untuk menyelesaikannya di depan gawang. Itu kemampuan hantaran Arif.

Selain beliau, menurut statistik daripada laman Twitter itu, pemain Sabah FC, Saddil Ramdani juga memiliki hantaran yang baik berdasarkan ketepatannya, namun, beliau kurang melakukannya kerana bergerak di tengah. Bersama pengendali Datuk Ong Kim Swee, Saddil tidak lagi menjadi pemain sayap, tetapi pemain di tengah.

Selain memiliki hantaran yang hampir tepat – sekitar 50 peratus ketepatan, Arif merupakan pemain terbanyak membuat hantaran lintang dalam tempoh 90 minit aksi iaitu lebih daripada enam, jauh meninggalkan Manuel Hidalgo, Faisal Halim, Quentin Cheng, Hein Htet Aung dan Adib Raop yang merekodkan bawah empat hantaran.

Itu adalah statistik di liga. Di ACL, berdasarkan statistik oleh Sofascore, beliau memiliki hantaran tepat sebanyak 85 peratus dalam lima perlawanan yang beliau diturunkan. Pada usia 19 tahun, ia cukup memberangsangkan disamping membantu JDT untuk mara ke pusingan 16 terbaik – kelab pertama dari Malaysia melakukannya.

Melihat Touch Map Arif ketika berdepan Hong Kong membuktikan takrifan tersebut. Beliau tidak sesekali masuk ke kotak penalti, tetapi beliau adalah pemain yang gemar membuat hantaran lintang kepada penyerang.

Beliau banyak berlegar di sebelah koridor kanan dari middle third sehingga ke final third. Pengakhiran kepada gerakannya adalah sama ada hantaran lintang atau cut-back kepada penyerang di dalam kotak penalti lawan.

Dengan memiliki kepakaran membuat hantaran tepat, inilah kekuatan sebelah sayap kanan skuad negara.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menggunakan gaya serangan yang versatil. Di kiri dan kanan skuad negara mempunyai pemain yang berbeza kecenderungan mereka. Jadi, agak sukar lawan membendungnya. Malah, Arif dan bek sayap kanan, Matt Davies dilihat saling melengkapi di sebelah koridor kanan Malaysia.

 

Malah, mengikut data daripada pengeluar statistik persendirian, Atlead Pass, pada musim lalu, Arif adalah pemain yang memiliki paling banyak larian progresif dalam saingan Liga Super iaitu sebanyak 65 larian. Ia membantu beliau untuk memintas pemain yang mengawalnya dengan teknik larian dan kepantasannya.

Berdepan Turkmenistan, Malaysia harus menggunakan kebijakan pergerakan Arif Aiman di kanan untuk menghantar bola ke kawasan depan gawang lawan – sama ada hantaran lintang atau cut-back. Darren Lok mahupun Syafiq Ahmad diketahui memiliki sentuhan penyudah baik dan mampu memanfaatkan peluang.

Turkmenistan bukanlah lawan yang mudah. Ini terbukti dengan Thailand hanya merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas mereka. Malah, mereka pernah merekodkan kemenangan ke atas Lubnan dan Korea Utara sebelum ini. Dan mereka juga pernah beraksi di Piala Asia 2019 – hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Mahu tidak mahu, kebijakan pergerakan Arif dan sentuhan ’emas’ Syafiq Ahmad diperlukan skuad negara pada malam ini. Hantaran yang ‘terletak’ di pinggan penyerang amatlah ditagih bagi membantu Malaysia melakar tiga mata yang berharga sebelum aksi lebih sukar berdepan Bahrain pada Sabtu. Hanya kemenangan yang diburu!

Leave a Reply