4 Kali Malaysia Hampir Layak ke Piala Asia Secara Merit Selepas Piala Asia 1980

Piala Asia 2023

Bermula malam ini, Malaysia bakal menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan, Bahrain, dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk layak secara merit, pasukan negara harus menamatkan pusingan ini sama ada sebagai juara atau lima naib juara kumpulan terbaik. Kali terakhir pasukan negara muncul di Piala Asia ialah ketika Malaysia menjadi tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia ketika Piala Asia 2007.

Kali terakhir Malaysia melayakkan diri secara merit pula ialah ketika pusingan kelayakan Piala Asia 1980. Artikel ini akan menghuraikan empat kali Malaysia hampir layak ke Piala Asia secara merit selepas edisi 1980.

Piala Asia 1984

Malaysia yang ketika itu dikendalikan oleh Frank Lord, diletakkan dalam Kumpulan 3 bersama Korea Selatan, India (yang juga hos kumpulan), Pakistan dan Yaman Utara. Dalam edisi kelayakan ini, setiap pasukan hanya bermain sesama sendiri sebanyak sekali sahaja dan kesemua perlawanan berlangsung di Kolkata pada bulan Oktober 1984.

Malaysia bermula cemerlang dalam pusingan kelayakan ini dengan menewaskan Pakistan 5 – 0. Namun begitu, Malaysia ditewaskan 2 – 1 oleh India pada perlawanan kedua dan diikuti seri tanpa jaringan menentang Korea Selatan.

Kemenangan India ke atas Yaman Utara sehari selepas itu menutup peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 1984. Malaysia mengakhiri pusingan kelayakan dengan menewaskan Yaman Utara 4 – 1 yang juga merupakan perlawanan antarabangsa terakhir buat Datuk Soh Chin Aun.

Zainal Abidin Hassan pula menjaringkan lima gol dalam kempen kelayakan ini.

Piala Asia 1988

Skuad negara yang dilatih M. Chandran diletakkan bersama Jordan, Jepun, Kuwait, dan Pakistan dalam Kumpulan 2 untuk edisi kelayakan ini.

Malaysia mempunyai kelebihan dalam edisi ini apabila dipilih sebagai tuan rumah yang menyaksikan kesemua perlawanan dimainkan di Stadium Merdeka dari 7 April hingga 18 April.

Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan baik apabila menewaskan Pakistan 4 – 0 hasil dua jaringan Zainal, satu gol oleh Dollah Salleh dan Radhi Mat Din.

Pada perlawanan kedua menyaksikan Malaysia hanya tewas tipis 0 – 1 kepada Jepun menerusi gol Yoshiyuki Matsuyama.

Peluang Malaysia untuk ke Qatar semakin kecil apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Jordan tiga hari kemudian meskipun menguasai perlawanan dan banyak memiliki peluang menjaringkan gol.

Ini menyebabkan perlawanan terakhir kumpulan menentang Kuwait pada 18 April sebagai perlawanan wajib menang. Namun begitu, Kuwait mengecewakan kem negara dengan membelasah Malaysia 0 – 5 yang menyaksikan Salah Al-Hasawi menjaringkan hatrik.

Piala Asia 1996

Dalam pusingan kelayakan ke Piala Asia 1996, Malaysia, yang ketika ini dikendalikan Wan Jamak Wan Hassan, diletakkan dalam Kumpulan 4 bersama negara jiran, Indonesia, dan India.

Seperti sebelumnya, setiap pasukan hanya berlawan sesama sendiri untuk sekali sahaja. Malaysia sekali lagi dipilih sebagai hos kumpulan untuk kempen kelayakan ini.

Walau bagaimanapun, dalam perlawanan pertama menentang Indonesia, Malaysia sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Shah Alam.

Dua hari kemudian, Indonesia telah memberi tekanan kepada Malaysia selepas membelasah India 7 – 1. Hal ini menyebabkan Malaysia perlu memenangi perlawanan akhir kumpulan menentang India dengan perbezaan jaringan melebihi enam gol.

Namun begitu, Malaysia sekadar memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 5 – 2 yang membolehkan Indonesia menjuarai kumpulan sekali gus layak ke Piala Asia 1996.

Dua jaringan yang dihasilkan oleh kedua-dua Dollah Salleh (juga merupakan dua gol antarabangsa beliau yang terakhir) dan Zainal, serta satu gol oleh Anuar Abu Bakar gagal melayakkan Malaysia ke pertandingan tersebut.

Piala Asia 2015

Untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2015, Malaysia telah diundi bersama Qatar, Bahrain dan Yaman dalam Kumpulan D.

Bagi edisi kelayakan ini, juara dan naib juara kumpulan disamping pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke Piala Asia.

Skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal memulakan kempen kelayakan dengan tewas 0 – 2 kepada Qatar di Doha.

Malaysia kemudian bangkit membenam Yaman 2 – 1 di Shah Alam sebelum mengikat Bahrain 1 – 1, juga di Shah Alam, hasil jaringan cantik Norshahrul Idlan Talaha.

Namun begitu, peluang skuad kebangsaan untuk layak ke Piala Asia 2015 lebur selepas mengalami dua kekalahan tipis berturut-turut menentang Bahrain dan Qatar.

Kekalahan 0 – 1 menentang kedua-dua pasukan menyebabkan Malaysia tidak mampu menamatkan kumpulan sebagai juara atau naib juara mahupun tempat ketiga terbaik yang ketika itu hanya direbutkan oleh China dan Lubnan.

Kekalahan 0 – 1 menentang Qatar di Shah Alam pada 19 November 2013 juga merupakan perlawanan terakhir Malaysia di bawah kendalian Rajagobal yang jawatannya kemudian diambil alih Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali sementara.

Malaysia menutup kempen kelayakan ini dengan menewaskan Yaman 2 – 1 yang membolehkan Malaysia mengutip sebanyak tujuh mata untuk berada pada kedudukan ketiga dalam Kumpulan D, dan juga dalam ranking pasukan tempat ketiga terbaik dalam peringkat kelayakan.

Seandainya pasukan kebangsaan tidak melepaskan gol tunggal dalam kekalahan sewaktu menentang Bahrain dan Qatar buat kali kedua, Malaysia mampu layak ke Piala Asia 2015 sebagai pasukan tempat ketiga terbaik dengan sembilan mata -satu mata di hadapan China yang berjaya layak ke Piala Asia 2015 selaku pasukan tempat ketiga terbaik.

Seandainya Malaysia berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2015, Malaysia berkemungkinan akan diletakkan dalam Pot 4 untuk undian peringkat kumpulan berdasarkan ranking FIFA Malaysia pada Mac 2014.

Kita dekat, tapi sebenarnya jauh

Itulah empat kali Malaysia hampir layak ke Piala Asia secara merit selepas 1980. Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk bersedih atas peristiwa lampau atau mengkritik para pemain dan bekas pemain, namun hanyalah untuk mengingati sejarah bola sepak negara.

Kini, kita mengharapkan agar skuad negara mampu layak ke Piala Asia 2023 nanti. Semoga berjaya Harimau Malaya!

Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan saudara Amirul Azrie. Jika anda ingin menghantar artikel kepada kami, sumbangkan penulisan dalam format MS Word dengan tidak kurang dari 300 patah perkataan ke [email protected] .

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN