Satu Dunia Kena ‘Kencing’, Skuad Arab Saudi Nafi Bakal Dihadiahkan Rolls Royce

Arab Saudi Rolls Royce Palsu

Ketua jurulatih Arab Saudi, Herve Renard menafikan laporan media yang mendakwa seluruh pasukannya bakal menerima hadiah kereta mewah Rolls Royce oleh keluarga diraja selepas mengejutkan pasukan jaguh dunia Argentina dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2022 tempoh hari.

Pelbagai agensi media di seluruh dunia melaporkan putera mahkota Saudi, Mohammed bin Salman berkenan untuk menganugerahkan setiap pemain dengan Rolls Royce yang dianggarkan bernilai sekitar RM2 juta.

Namun Renard menjelaskan beliau tidak mengetahui daripada mana sumber berita berkenaan dan menegaskan ia tidak benar sama sekali.

“Kami mempunyai persekutuan dan kementerian sukan yang sangat serius tentang perihal pencapaian pasukan dan pastinya ini bukanlah masa untuk mendapat laba seperti ini,” ujarnya.

“Kami baru sahaja beraksi satu perlawanan dan ada dua lagi perlawanan penting [di peringkat kumpulan] dan tentunya kami mengharapkan untuk keputusan yang lebih baik.

“Saya tak pasti sama ada anda ingat ketika sidang media sebelum aksi berdepan Argentina, saya mengatakan perlawanan itu hanyalah satu daripada tiga perlawanan penting yang kami perlu hadapi.

“Yang paling utama adalah untuk memastikan kami dapat menamatkan saingan peringkat kumpulan ini di tempat pertama atau keua.”

Berdasarkan semakan, satu-satunya sumber kepada berita palsu yang disebarkan itu adalah dari ciapan Twitter ahli perniagaan India, Suhel Seth.

Bagaimanapun sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan daripada kerajaan Arab Saudi atau media rasmi negara berkenaan.

Leave a Reply