Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengadakan mesyuarat khas dengan ahli gabungannya berhubung isu venue perlawanan kelayakan Piala Asia melibatkan Korea Utara menentang Malaysia.
Sebelum ini, perlawanan ini tertangguh kerana isu diplomatik melibatkan kedua-dua buah negara.
Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019, Kumpulan B di antara Korea Utara dan Malaysia dijadualkan berlangsung pada 8 Jun 2017 hadapan.
AFC mengambil keputusan untuk mendengar pandangan daripada ahli gabungan yang lain kerana Korea Utara masih gagal mengemukakan cadangan untuk gelanggang berkecuali perlawanan tersebut.
Korea Utara sepatutnya mencadangkan gelanggang neutral itu pada 14 April 2017 yang lalu. Ini kerana mereka adalah pasukan tuan rumah untuk perlawanan ini.
Tetapi AFC mengesahkan mereka tidak menerima sebarang maklum balas seperti yang sepatutnya pada tarikh yang sudah ditetapkan.
AFC dan ahli gabungannya akan mengambil kira pelbagai sudut untuk menentukan di manakah venue perlawanan tersebut. Ini termasuk situasi semasa diplomatik di antara 2 kerajaan, Malaysia dan Korea Utara.
Ini untuk memastikan perlawanan tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan yang lebih penting adalah keselamatan semua pihak yang terlibat.
Kerajaan Malaysia dilaporkan masih lagi mengenakan larangan kepada rakyat mereka untuk ke Korea Utara buat masa ini.
AFC juga sangat mengalu-alukan jika ada ahli gabungan mereka yang sudi menawarkan diri untuk menjadi hos kepada perlawanan ini.
Baca juga: 13 Pemain Dijual Oleh Inter Milan Terlalu Awal, Harga Tak Setimpal Dan Silap Perkiraan