Peter Bosz Sah Ganti Thomas Tuchel Sebagai Pengurus Borussia Dortmund

Bayangkan. Dalam masa setahun dan 5 bulan, karier pengurusan Peter Bosz membawanya dari kelab Israel, Maccabi Tel Aviv ke final UEFA Europa League bersama Ajax Amsterdam dan kini ke Borussia Dortmund.

Bagi sesetengah jurulatih, berhijrah ke 3 kelab dalam masa setahun setengah bukanlah penanda aras yang mahu mereka catatkan. Ia tanda anda tidak cukup bagus sehinggakan anda hilang kerja sebanyak 2 kali.

Tetapi dalam kes Peter Bosz, ia adalah petanda jelas bahawa beliau merupakan salah seorang pengurus pasukan bola sepak yang paling ‘panas’ di Eropah ketika ini.

Dalam pengumuman rasmi di media sosial Dortmund tadi, Peter Bosz diperkenalkan sebagai ketua jurulatih dan pengurus baru Borussia Dortmund.

Pengumuman ini sekaligus menamatkan spekulasi bahawa Peter Stöger (FC Koln), Lucien Favre (OGC Nice) dan Julian Nagelsmann (Hoffenheim) bakal dibawa masuk sebagai pengurus Dortmund yang baru.

Bosz masuk menggantikan Thomas Tuchel yang mencapai persetujuan dengan Dortmund untuk menamatkan kontrak pada minggu lepas kerana ‘hubungan yang semakin teruk’ dengan CEO kelab, Hans-Joachim Watzke.

Tuchel dilaporkan berang dengan keputusan Watzke yang membenarkan UEFA menjadualkan semula perlawanan sehari selepas kes pengeboman bas pasukan tanpa berbincang dengannya.

Berbalik kepada pengurus baru Dortmund, Bosz ditawarkan kontrak oleh Dortmund sehingga 2019.

Selain itu, pengurus berusia 53 tahun ini juga dibenarkan untuk melantik barisan staf pengurusan beliau sendiri.

Hendrie Krüzen (gambar bawah, kiri) – penolongnya sejak Bosz (gambar bawah, kiri) mengurus Heracles Almelo – bakal dilantik sebagai penolong pengurus baru Dortmund.

(Photo by VI Images via Getty Images)

Bergaduh dengan Bergkamp

Dipandang hormat di Belanda kerana berani mengetengahkan pemain-pemain muda Ajax Amsterdam dan membimbing mereka sehingga ke perlawanan akhir UEFA Europa League, Peter Bosz dianggap calon yang tepat untuk Borussia Dortmund.

Pernah bermain semusim bersama kelab Jerman, Hansa Rostock selama 6 bulan, Bosz fasih berbahasa Jerman. Selain bahasa Jerman, beliau juga boleh bertutur dalam bahasa Perancis – sesuatu yang mungkin dihargai oleh Ousmane Dembele dan pemain terbaru Dortmund, Dan-Alex Zagadou.

Bosz juga merupakan peminat tegar falsafah bola sepak Johan Cruyff dan sentiasa bersikap terbuka dengan idea-idea baru dalam kejurulatihan.

Malah atas sebab ini jugalah Bosz sebenarnya telah mencipta musuh dalam pengurusan Ajax Amsterdam sendiri.

Majoriti media sukan di Belanda melaporkan Bosz sebenarnya mahu kekal di Ajax Amsterdam dan bakal menolak tawaran Borussia Dortmund.

Bagaimanapun hubungan buruk beliau (dan penolongnya, Krüzen) dengan staf pengurusan lain seperti Edwin van der Sar, Dennis Bergkamp, Said Ouaali dan Marc Overmars telah menyebabkan Bosz (dan Krüzen) tiada pilihan lain selain keluar.

Hal ini terjadi kerana perbezaan falsafah bola sepak antara Bosz (dan Krüzen) dengan staf bawahannya yang lain.

Media Belanda melaporkan Bergkamp paling lantang menentang falsafah bola sepaknya yang mirip Johan Cruyff. Malah atas sebab sama jugalah, Cruyff sendiri ‘dihalang’ pada tahun 2010 oleh Ajax Amsterdam untuk memberi sumbangan dalam bidang pengurusan.

Bagaimapun segala saga perselisihan faham di Ajax Amsterdam ini sudah berlalu bagi Bosz (dan Krüzen) dengan kerja baru di Dortmund ini. Kami ingin ucapkan selamat maju jaya kepada Bosz di Dortmund!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN