14 Fakta Yang Anda Perlu Tahu Tentang Peter Bosz, Pengurus Baru Borussia Dortmund

Dengan sahnya perlantikan Peter Bosz sebagai pengurus baru Borussia Dortmund, kami pasti mesti ramai peminat-peminat bola sepak Eropah yang kenal nama – tetapi tidak mengetahui latar belakangnya.

Dalam artikel ini kami kumpulkan 14 fakta menarik yang perlu anda tahu mengenai Bosz.

1. Pendokong tegar falsafah bola sepak menyerang

Media sukan Belanda sepakat mengatakan skuad Ajax Amsterdam pada musim 2016/2017 merupakan skuad Ajax Amsterdam yang sebenar – mengikut falsafah Cruyff, muda, menyerang dan menghiburkan.

Meskipun beliau sendiri bermain sebagai ‘pemusnah’ pada zamannya bergelar sebagai pemain, beliau tidak mahu pemainnya mengikuti caranya bermain. “Jika saya nampak pemain saya bermain seperti saya, saya tidak akan menikmatinya,” dedah Bosz kepada The Guardian.

Bosz suka pasukannya menyerang sehinggakan beliau lebih sukakan pasukannya menang 5-4 berbanding menang 1-0.

2. Mencipta peraturan 5 saat

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Di Ajax, Bosz mencipta peraturan 5 saat hasil inovasinya daripada peraturan 3 saat yang menjadi amalan Barcelona.

Peraturannya mudah: masa terbaik untuk anda rampas bola adalah 5 saat pertama anda hilang bola.

“Pemain lawan perlukan lebih kurang 5 saat untuk mara ke posisi menyerang yang dikehendakinya. Kami perlu dapatkan bola dalam masa 5 saat,” terang Bosz mengenai inovasinya.

Ketika ditanya mengapa 5 saat, Bosz menjawab:

“Kerana kami [Ajax] bukan Barcelona. Jadi saya tambah 2 saat.”

3. Press, press dan press!

Seperti Pep Guardiola, Bosz mahukan pemainnya bergerak ke depan apabila hilang bola. Bukannya bergerak ke belakang.

“Naluri pemain muda adalah bila kami hilang bola, mereka kena unduer ke belakang untuk bertahan. Cara pemikiran saya pula mahukan mereka bergerak ke depan secepat mungkin kerana saya mahukan bola itu kembali.”

4. Mengidolakan Johan Cruyff

3 fakta di atas sahaja sudah membayangkan betapa serupanya falsafah bola sepak Bosz dengan pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Ianya tak menghairankan kerana guru Pep Guardiola adalah individu sama yang dipuja oleh Bosz, iaitu Johan Cruyff.

“Saya hanya ada satu idola sahaja,” dedah Bosz mengenai Johan Cruyff. “Seminggu sebelum kematiannya, saya berpeluang untuk bersembang dengan beliau [Cruyff]. Dalam masa seminggu saya bercakap dengannya, seolah-olah saya dah belajar selama 10 tahun.”

5. Kerja impiannya adalah pengurus pasukan

“Sejak dari umur 16 tahun lagi saya dah mengimpikan kerja sebagai pengurus pasukan bola sepak,” kata Bosz.

“Jadi sejak dari umur itu, saya dan tulis apa yang jurulatih saya beritahu dalam buku dan membaca buku Johan Cruyff. Setiap artikel, temuramah Cruyff juga saya gunting dan lekat dalam buku.”

Keobsesan Bosz dalam kejurulatihan tidak terhenti setakat itu. “Kemudian saya kumpul dan susun – ini untuk bab serangan, ini untuk bab pertahanan, ini pula taktikal.”

6. Pernah bermain menentang Dortmund

Ketika Borussia Dortmund datang ke halaman Hansa Rostock pada Januari 1998, Bosz membantu pasukannya menewaskan Dortmund 3-1. Majalah Kicker di Jerman pada ketika itu memberinya rating 3.5/5.

Sepanjang 6 bulan Bosz berkelana di Jerman, beliau bermain sebanyak 14 kali dan menyumbang 1 bantuan gol. Hansa Rostock menamatkan liga pada musim 1997/1998 itu di kedudukan ke-6.

7. Pernah bermain menentang Jerman

Bosz mempunyai 8 kaps penampilan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Belanda. Semasa perlawanan EURO 1992 menentang Jerman, Bosz hanya bermain 2 minit sebagai pemain gantian Dennis Bergkamp. Belanda menang 3-1.

Bagaimanapun perjalanan Bosz dan The Oranje terhenti setakat separuh akhir selepas tewas penentuan penalti kepada juara kejohanan, Denmark.

8. Fasih dalam bahasa Jerman

Satu syarat yang dikenakan oleh Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Michael Zorc kepada mana-mana calon pengurus mereka adalah – fasih berbahasa Jerman. Dan Bosz sememangnya fasih dalam bahasa Jerman.

“Adalah penting bagi kami supaya semua orang yang bekerja di kelab boleh bercakap dalam satu bahasa – Bahasa Jerman,” kata Zorc.

9. Pernah bekerja sebagai pengarah teknikal

Jika pergaduhan Thomas Tuchel dengan pihak pengurusan menjadi punca beliau bertahan setakat 2 tahun, Dortmund mengharapkan pengalaman Bosz menjadi pengarah teknikal Feyenoord boleh memberi pemahaman menyeluruh tentang keputusan-keputusan eksekutif mengenai kelab.

10. Mentafsirkan kebijaksanaan sebagai kebolehan menjangka situasi

Ketika di Ajax, Bosz hanya mempunyai satu pra-syarat kepada Marc Overmars yang bertugas membeli pemain:

“Saya mahu pemain yang bijak.”

Menjelaskan definisi pemain bijak, Bosz memberitahu:

“Saya tak peduli jika pemain itu pergi ke universiti atau tidak. Saya pernah jumpa pemain yang pergi ke universiti tetapi tidak bermain dengan bijak.”

“Pemain yang bijak ada kebolehan membaca permainan. Pemain yang tak bijak sentiasa bertindakbalas. Jika anda anda membaca permainan, anda akan jadi pantas di atas padang. Jika anda bertindakbalas, anda akan jadi lambat.”

Bosz kemudiannya memberi kesimpulan, “Di atas padang, pastikan anda tahu apa yang bakal berlaku. Bukan tahu apa yang dah berlaku.”

11. Sentiasa menyokong pemain muda

(Photo by VI Images via Getty Images)

Di Ajax, Bosz membawa skuad Ajax yang mempunyai purata umur 22.5 tahun ke final Europa League.

Bagi sesetengah jurulatih, ia tindakan yang sangat berani. Tetapi Bosz sentiasa percayakan pemain-pemain mudanya – sesuatu yang bakal menggembirakan pemain-pemain muda Dortmund.

12. Belum pernah menang trofi besar

Ketika mengurus Heracles Almelo, Bosz membawa pasukannya naik ke Eredivise. Di Maccabi Tel Aviv, beliau merupakan naib juara liga. Bersama Ajax, beliau hanya bergelar naib juara liga dan naib johan Europa League.

Dengan polisinya yang percayakan pemain muda, Bosz perlu menang trofi di Dortmund untuk membuktikan kebolehannya sebagai pengurus berkaliber.

13. Kuat di halaman sendiri

Kekuatan prestasi di halaman sendiri adalah kunci menjadi juara liga. Pada musim lepas, Dortmund kendalian Tuchel kalah 2 perlawanan home.

Di Ajax, Bosz hanya tewas sekali (kalah 1-2 menentang Willem II). Dan semasa tempoh 6 bulannya mengurus Tel Aviv, beliau tidak pernah kalah.

14. Neneknya penyokong tegar Schalke 04

Seorang individu yang pastinya mengharapkan kekalahan Bosz dalam Revierderby nanti adalah neneknya – penyokong tegar Schalke 04.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN