Mana ada pemain yang mahu duduk di bangku simpanan sahaja, Mereka juga ada impian mahu beraksi bersama kelab dan negara. Ini yang dilalui penjaga gol Argentina, Emi Martinez sebelum diangkat pemenang Golden Glove di Qatar 2022. Argentina akhirnya berjaya menjulang trofi Piala Dunia.
Argentina menumbangkan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti apabila perlawanan terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan.
Beliau berhijrah ke Arsenal di usia remaja – 17 tahun. Beliau bersendirian tanpa sesiapa yang menemaninya. Walaupun memiliki karier yang panjang bersama ‘The Gunners’, beliau hanya beraksi dalam 38 perlawanan dalam 9 tahunnya di sana – majoritinya di tahun terakhirnya di The Emirates.
Enam kali beliau dipinjamkan keluar sejak tiba ke London bermula pada musim 2011/12. Selepas kisah pinjamannya, beliau membuat kemunculan pertama pada Jun 2020, menggantikan Bernd Leno yang tercedera dan menampilkan aksi cemerlang sehingga dipuji lagenda Arsenal, Ian Wright.
Arsenal legend Ian Wright fears Chelsea could steal Emiliano Martinez as keeper is 'better than Kepa and Leno' https://t.co/lg58lwB1PH
— Sun Sport (@SunSport) July 27, 2020
Menang kejuaraan, tapi rasa seperti bukan miliknya
Beliau menjadi pilihan utama mereka sepanjang ketiadaan Leno dan berhasil menjulang dua kejuaraan, Piala FA serta Community Shield.
Ketika berhijrah dari Arsenal ke Aston Villa, beliau telah menyatakan sebab beliau memilih untuk keluar, “Saya rasa saya telah menang [dengan Arsenal] tiga Piala FA, tiga Community Shield. Tetapi saya bukan sebahagian daripada pasukan itu. Saya tidak mendapat minit permainan yang sepatutnya.”
“Jadi, saya rasa seperti tidak memenanginya. Saya adalah sebahagian daripada pasukan, tetapi rasanya seperti ia bukan milik saya. Saya telah keluar masuk pasukan menerusi pinjaman demi pinjaman dan menjadi seperti ketika ini,” ujarnya kepada Arsenal.com pada hari terakhirnya.
“Dan apabila saya memenangi dua trofi itu [Piala FA dan Community Shield], barulah saya rasa ‘ini milik saya’,” ungkap penjaga gol itu lagi tentangnya.
Selepas perbincangan dengan Mikel Arteta dan pengurusan, mereka amat memahami kehendaknya dan ketika itu, Leno adalah pilihan utama Arsenal.
Minit permainan adalah keutamaan Martinez untuk menjadi pilihan utama di Argentina dan pilihan yang ada hanyalah meninggalkan pasukannya.
With Leno back as first choice, Martínez joined Aston Villa in September 2020. In his first season, he kept a club-record 15 clean sheets and became one of the standout keepers in the Premier League.
His country took notice. 😤
(via @AVFCOfficial)pic.twitter.com/tBljTonjdT
— B/R Football (@brfootball) December 16, 2022
16 September 2020, penjaga gol berusia 30 tahun itu akhirnya disahkan menyertai Aston Villa dengan nilai perpindahan £20 juta (RM94.08 juta). Sehingga kini, beliau menjadi pilihan utama ‘The Villans’ di gawang.
Momentum bermain dibawa ke skuad ‘La Albiceleste’
Di Aston Villa, prestasi pasukan bukanlah sebaik di Arsenal. Mereka bukan pasukan yang sentiasa berada di kalangan atasan liga. Malah sebelum kejohanan Copa America 2021 – yang mana Argentina menjuarainya, kelab tersebut menamatkan musim di tangga ke-11 English Premier League.
Ia adalah musim pertamanya di Villa Park dan telah merekodkan 15 ‘clean sheets’ – ketiga terbanyak di belakang Ederson dan Edouard Mendy.
Prestasi dan momentum ini dibawanya ke Copa America dan berjaya menjulang kejuaraan ke-15 mereka – menamatkan kemarau di 10 edisi.
Minit permainan Martinez mematangkannya. Musim pertamanya, beliau tampil sama banyak dengan 9 tahun kariernya di Arsenal – 38 penampilan.
“Kami ada ‘Dibu’ [Martinez]. Dia amat menakjubkan,” ungkap Lionel Messi sebelum perlawanan akhir Argentina dan Brazil di Copa America.
Sacala a bailar, Dibu 😎 pic.twitter.com/7WrNF1W8gS
— 🇦🇷 Selección Argentina ⭐⭐⭐ (@Argentina) December 18, 2022
Dibu adalah watak fiksyen dalam satu telenovela popular di Argentina yang menjadi sensasi di tahun 1996 hingga 1998, ‘Mi familia es un dibujo’.
“Saya gembira untuknya. Dia layak untuk ini [pentas final],” tambah Messi tentang penjaga golnya yang cemerlang menafikan tiga penalti Colombia untuk membawa ‘La Albiceleste’ ke pentas final selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1993. Martinez turut meraih trofi Golden Glove.
Selain Messi, Martinez juga perlu dijulang wira
Kali terakhir Piala Dunia menjadi milik Argentina adalah di edisi 1986 di era Diego Maradona – enam tahun sebelum Martinez dilahirkan. Kali terakhir Copa America dijulang mereka pula adalah setahun selepas kelahirannya. Jadi, beliau tidak pernah menyaksikan trofi itu dijulang oleh negaranya.
Apabila beliau telah berhasil membantu negaranya menjulang kedua-dua kejuaraan yang lama diidamkan, ia seperti kejayaan besar dalam kariernya.
Tidak mudah buatnya untuk sampai ke tahap ini. Dengan hanya 38 aksi dalam hampir sedekad kariernya di Arsenal, penampilan tiga musimnya di Aston Villa jelas lebih banyak iaitu merekodkan 91 penampilan dalam semua pertandingan. Minit permainan yang diburunya banyak membantu.
Martinez: "I want to stay at Arsenal, but only if I play more minutes. On a personal level, I am at an age and at a level of confidence where I need to play as many minutes as possible." #AFC
— Cannon Insider (@CannonInsider) August 13, 2020
Jadi, siapa kata minit permainan itu tidak penting? Mungkin beliau sudah sebaris dengan beberapa penjaga gol terbaik Argentina pada saat ini disebabkan usaha Martinez memburu minit permainan. Sudah sekian lama mereka tidak memiliki penjaga gawang yang boleh diharap sepenuhnya.
Beliau harus dijulang sebagaimana semua mengangkat Messi di Piala Dunia ini. Bak katanya selepas perlawanan, “Ia adalah perlawanan yang penuh penderitaan. Hanya dua percubaan ke atas kami, mereka berjaya menyamakan kedudukan. Mungkin nasib kami untuk merasakan derita.”
“Kemudian saya lakukan kerja saya [penentuan sepakan penalti]. Tiada apa lagi yang saya impikan selain merangkul Piala Dunia,” tegasnya lanjut.
Beliau tidak suka memanaskan bangku simpanan. Beliau adalah pemain yang mahu meraih kejuaraan dengan terlibat bersama dalam permainan.
Oleh itu, kita kembali kepada kata-katanya yang mungkin menarik, sebaik sahaja diumumkan meninggalkan Arsenal dan kini ditakdirkan menjulang Argentina, “Tetapi saya bukan sebahagian daripada pasukan itu [yang meraih trofi kejuaraan]. Saya tidak mendapat minit permainan yang sepatutnya.”