Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pentas final Piala Malaysia 2021 memberi harapan buat Penang FC untuk meraih tiket ke saingan Piala AFC 2022 dan mengiringi Kedah Darul Aman FC selaku wakil negara nanti.
Walaupun ia hanya 50 peratus pasti, bergantung kepada keputusan perlawanan di final nanti di antara juara bertahan, JDT berdepan KL City FC, namun sebagaimana yang semua rasakan, Harimau Selatan tentunya akan menjulang kejuaraan Piala Malaysia edisi kali ini selepas mengesahkan kemaraan mereka ke pentas final.
Semua pihak berkata sebelum ini yang pemenang antara JDT dan Kedah akan jadi penentu ke mana kejuaraan kali ini akan pergi. JDT dan Kedah telah bertembung awal, di peringkat suku akhir sebelum mereka mara untuk bertemu Terengganu FC di peringkat separuh akhir. JDT berjaya menewaskan Kedah dengan agregat 1-0.
TIGA SENARIO JUARA PIALA MALAYSIA:
1️⃣JDT JUARA Piala Malaysia, Penang FC akan ke AFC Cup 2022
2️⃣Kedah JUARA Piala Malaysia, Penang FC akan ke AFC Cup 2022
3️⃣Melaka/Sarawak JUARA Piala Malaysia, Penang FC akan ke AFC Cup 2022Sebab itu kedudukan liga domestik sangat penting. pic.twitter.com/LOWxW6lOFJ
— Juan Bapakaw (@juanbudiman) November 9, 2021
Pertemuan JDT dan Terengganu juga boleh dikatakan anti klimaks. Dan sekali lagi kenyataan tersebut diulang, pemenang perlawanan ini akan jadi penentu ke mana kejuaraan kali ini akan pergi. Kedah, Terengganu dan JDT adalah pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan tertua di Asean ini, jadi jelas, siapa ke final, merekalah juara.
Sementara di bahagian sebelah lagi, KL City dan Selangor FC adalah pilihan ke pentas final, namun kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir. Dan KL City menang bergaya ke atas Selangor dengan agregat 3-0 menjadikan mereka adalah pasukan pilihan untuk mara ke final, namun berdepan kesukaran berdepan Melaka United.
Mampukah KL City menewaskan JDT seterusnya mara ke Piala AFC 2022? Rekod pertembungan kedua-dua pasukan di saingan Liga Super mungkin boleh beri sedikit panduan kepada kita. The City Boys adalah antara tiga pasukan yang berjaya mengikat JDT sepanjang musim ini selain Perak FC dan Selangor dalam 22 perlawanan.
KL City hanya kebal di gelanggang sendiri dan mereka berhasil mengikat JDT di Stadium KLFA, Cheras. Di Stadium Sultan Ismail, mereka tumbang 1-2 kepada JDT. Di pentas final, di gelanggang berkecuali, Stadium Nasional Bukit Jalil, mampukah mereka menafikan kejuaraan kedua berturut-turut buat Harimau Selatan?
Dua finalis TM Piala Malaysia 2021 telah ditentukan! 🏆
Tahniah kepada pasukan Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta'zim yang telah mara ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November ini! 👏#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/fsl0tZfGu1
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 26, 2021
Berdasarkan kemampuan JDT, sukar buat KL City menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1989. Dan jika JDT menjuarai saingan Piala Malaysia 2021, tiket ke Piala AFC 2022 akan diberikan kepada pasukan kedudukan ketiga Liga Super musim ini iaitu Penang FC. Bersediakah Pulau Mutiara?
KL City dan Penang FC, kedua-dua baru kembali ke saingan Liga Super musim ini. Prestasi kedua-dua pasukan amat memberangsangkan. Di saat KL City dikhabarkan mengekalkan lebih 95 peratus skuad musim ini, Penang FC pula khabarnya sedang bergolak dengan masalah dalaman dan membawa kepada penghijrahan pemain.
Dengan kemungkinan mereka berpeluang untuk mendapat tiket ke Piala AFC musim depan, Harimau Kumbang harus bersedia dengan skuad yang ampuh. Berdasarkan senarai khabar angin pemain yang bakal angkat kaki tinggalkan pasukan, tampak Penang FC bakal kehilangan hampir majoriti pemain utamanya musim depan.
#DiaDatang 2 pemain Penang FC musim ini, Amer Azahar & Azmeer Aris bakal menyertai Kedah DA FC musim depan.
Tinggal seorang lagi pemain tumpuan dari Penang FC bakal melengkapkan perpindahan ke Kedah DA FC dalam tempoh masa terdekat.
Nantikan 😎@ASTROARENA
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) November 26, 2021
Antara yang dikatakan bakal meninggalkan pasukan selain Sam Somerville adalah Azmeer Aris, Al-Hafiz Harun, Amer Azahar, Khairu Azrin Khazali, David Rowley, Azwan Aripin dan Sheriddin Boboev. Mereka sebelum itu telah kehilangan pemain pinjaman yang mempamerkan prestasi terbaik iaitu Quentin Cheng dan Ryuji Utomo.
Bersediakah Penang FC tampil di pentas Asia jika JDT menjuarai Piala Malaysia? Sukar untuk dibayangkan.