Penang Brotherhood Dedah Konspirasi Mahu Rosakkan Hubungan Tomas Trucha & Barisan Kejurulatihan

Tomas Trucha Penang FC 2021

Sudahlah dibolosi sembilan gol dalam empat hari, penyokong Penang FC dihidangkan pula dengan satu kisah konspirasi yang merosakkan hubungan pengendali, Tomas Trucha dan barisan kejurulatihannya ketika ini.

Dalam artikel sebelum ini, Semuanya BOLA ada bertanya tentang kemungkinan berlaku masalah dalaman yang mengganggu prestasi pasukan. Sangat mengejutkan Penang FC berada dalam situasi sebegini ketika ini.

Mereka tewas 1-4 dan 0-5 kepada Sri Pahang yang mereka tumpaskan ketika saingan Liga Super. Prestasi dan persembahan para pemain dilihat agak pelik seolah-olah tidak memberikan sepenuhnya dalam padang.

Peluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia dilihat semakin menipis apabila mereka hanya meraih satu mata dalam empat perlawanan. Harimau Kumbang perlu menang dalam dua aksi terakhir bagi sekurang-kurangnya merekodkan tujuh mata untuk bersaing tempat ke suku akhir. Persoalannya, mampukah mereka?

Maruah sudah dirobek dan moral sudah dipijak. Ia saat paling terbawah buat Penang FC. Tidak mudah untuk bangkit dengan kemenangan jika begini situasinya. Sesuatu perlu diperbetulkan di dalam pasukan.

Menurut pendedahan sebuah portal penyokong Penang FC, Penang Brotherhood, terdapat satu konspirasi dalaman yang giat cuba mengganggu-gugat hubungan antara Tomas Trucha dan barisan kejurulatihannya.

Ujar mereka, “Hasil risikan kami, kemelut yang melanda ketika ini selepas Pengarah Teknikal dilantik oleh Penang FC pada Jun 2021, yang menjadi punca ketegangan antara Trucha, pemain serta kejurulatihan.”

“Dilaporkan setelah kemasukkan Pengarah Teknikal. Trucha mula tidak mendengar pandangan kejurulatihan beliau dan dikatakan hanya menerima pandangan darinya,” jelas mereka di laman Facebook mereka.

Penang FC melantik bekas pemain mereka di era 90-an, S Gobiraj sebagai Pengarah Teknikal pada Julai lalu. Antara tujuan pelantikannya adalah bagi membantu membentuk falsafah bola sepak dan hala tuju pasukan.

azmi muslim twitter

Dan adakah ciapan di Twitter bek kiri Penang FC, Azmi Muslim ditujukan kepada situasi yang sedang berlaku? Ciapnya, “Aku tak mau cakap banyak. Tengok dan nilai sendiri. Mungkin sebab dia, ramai yang tak kekal.”

Begitupun, ciapan tersebut sudah dihapuskan olehnya yang merupakan kapten pasukan yang telah membawa Penang FC menjuarai Liga Premier 2020 dan kembali ke saingan Liga Super selepas tiga musim di Liga Premier.

Ia seperti menggambarkan situasi tegang di dalam pasukan saat ini. Ia bertepatan dengan kenyataan Penang Brotherhood yang berkata, “Terdapat juga perselisihan antara pemain import dan Trucha sehingga pemain tersebut mengalami kecederaan yang teruk. Ada juga beberapa pemain tempatan menjadi mangsa.”

Ketika ini, Penang FC beraksi tanpa empat pemain yang dikatakan mengalami kecederaan iaitu Sam Somerville, Rafael Vitor, Khairu Azrin dan Casagrande, sementara Quentin Cheng terlibat dengan skuad B-22 negara.

Diharapkan akan ada pencerahan daripada Penang FC mengenai isu yang didedahkan Penang Brotherhood ini. Di saat pengurusan kewangan pasukan semakin memulih, isu sebegini pula yang muncul merosakkan pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN