Tim Heubach Beri Gambaran Seperti ‘Tertipu’ Dengan Situasi Liga Malaysia Kepada Sport Bild

Tim Heubach Selangor FC 2021

Sebuah majalah sukan mingguan di Jerman, Sport Bild telah menerbitkan satu temu ramah dengan pemain pertahanan Selangor FC, Tim Heubach dan paling menarik, banyak ‘kritikan’ pedas berbanding yang indah.

Tim Heubach, bek tengah yang berusia 33 tahun itu dilihat memperkatakan tentang rasa ‘tertipunya’ dengan suasana bola sepak di Malaysia namun, realitinya sebaik sahaja beliau tiba, situasi tersebut adalah sebaliknya.

Katanya apabila ditanyakan faktor yang menarik perhatiannya untuk ke Selangor adalah beliau sememangnya ingin bermain di Asia dan Malaysia dilihat sangat menarik. Ungkapnya, “Dengan Michael Feichtenbeiner, warga Jerman bertugas sebagai Pengarah Teknikal di sini, ia memudahkan saya untuk membuat keputusan.”

“Saya ada melihat beberapa video Youtube sebelumnya [datang ke Selangor] dan terfikir ‘Menakjubkan!’ Kerusi-kerusi juga tampak bagus. Tetapi, bila saya berada di situ, baru saya menyedari, ia tidaklah begitu elok.

“Ia [Liga Malaysia] setaraf dengan Regionalliga [divisyen empat Jerman]. Hanya JDT yang menyerlah, mereka kelab terbaik. Mereka ibarat Bayern Munich, menang liga tujuh kali berturut-turut dan ada padang yang baik. Hanya ada dua atau tiga padang berkualiti di sini. Yang lainnya, anda seperti bermain dalam selut bila hujan.

“Sukar untuk bermain ‘possession football’ di sini, tapi kami tetap cuba. Kebanyakkan pasukan main bertahan dan ini yang lebih menyukarkan keadaan,” tambahnya lagi sambil bercerita pula tentang Stadium Shah Alam.

“Di empat, lima stadium, mereka ada bilik persalinan yang elok. Tetapi di tiga, empat stadium, kami hanya duduk di kerusi plastik di bilik persalinan. Stadium kami berkapasiti lebih kurang 80,000, tetapi bumbungnya rosak. Jadi, kami terpaksa bermain di stadium lain yang memuatkan hanya 15,000 penyokong,” jelasnya lanjut.

Dalam saingan Liga Super musim ini, Tim Heubach telah beraksi tujuh kali dan kemudian terpaksa berehat panjang akibat kecederaan. Paling menyedihkannya, kecederaannya berpunca daripada keadaan padang.

Katanya tentang kecederaannya itu, “Sudah empat bulan keseluruhannya [cedera], tetapi saya telah kembali berlatih dengan pasukan selama seminggu. Tetapi, belum ada gambaran bila saya dapat kembali beraksi.”

Bekas pertahanan Maccabi Netanya yang bersaing di Israeli Premier League dan FC Kaiserslautern di Jerman itu sebenarnya belum menampilkan aksi meyakinkan dalam tujuh penampilannya bersama The Red Giants.

TERKINI: Artikel asal telah dihapus oleh Sport Bild. Ini hasil tangkap layar artikel yang pihak kami simpan.

tim heubach sport bild 2

 

Leave a Reply