“Macam Mana Perasaan Orang Yang Beli Tiket RM120?” – Apa Sedang Berlaku Di Penang FC?

Penang FC tiket Sri Pahang RM120

Seminggu sebelum perlawanan menentang Sri Pahang malam tadi, Penang FC telah dilanda kekecohan gara-gara harga tiket Grandstand untuk perlawanan tersebut yang akan dijual agak mengejutkan pada harga RM120.

Namun, pengurusan Penang FC akhirnya tampil menjelaskan situasi tersebut. Rupa-rupanya pembeli tiket tersebut akan mendapat sehelai T-Shirt Penang FC bernilai RM89.90 selain untuk hadkan jumlah kemasukkan.

Namun, aksi longlai pemain malam tadi tentunya mengundang perasaan marah dan kurang senang para penyokong, terutamanya yang telah membelanjakan lebih RM100, semata-mata untuk melihat pasukan dibelasah. Apakah masalah yang sedang membelenggu kem Penang FC pada ketika dan saat ini?

Itu persoalan majoriti penyokong dan juga pemerhati bola sepak tempatan tentang prestasi buruk pasukan yang disasarkan boleh melangkah jauh itu – dibolosi sembilan gol dalam tempoh hanya empat hari sahaja.

Penang FC memang kehilangan lebih separuh kekuatan penuh mereka akibat kecederaan yang tugasan bersama skuad B-22 negara. Antara pemain yang mengalami kecederaan adalah Rafael Vitor, Khairu Azrin Khazali dan Sam Somerville sementara Quentin Cheng baru pulang daripada kelayakan Piala Asia B-23.

Begitupun, jika diamati kenyataan pengendalinya ketika saingan Liga Super, Penang FC memiliki skuad yang seimbang dan mampu menampung sekiranya mereka kehilangan pemain utama. Jadi, kini bagaimana?

Apa yang berlaku saat ini seperti tidak menggambarkan mereka memiliki skuad yang benar-benar ampuh!

Adakah sedang berlaku pergolakkan dalaman sehingga para pemain dilihat seolah-olah tidak mampu bermain langsung? Mereka tidak memberi tekanan kepada pemain Sri Pahang dan membiar lawan menguasai bola.

Tidak dinafikan, adakalanya ini cara para pemain meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap sesuatu. Ini bukanlah baharu dalam dunia bola sepak, tetapi ini hanyalah telahan luaran berdasarkan aksi longlai pemain.

Dalam sidang media sejurus perlawanan Tomas Trucha menjelaskan sekali lagi yang Piala Malaysia bukanlah sasaran mereka kerana Penang FC bukanlah seperti pasukan antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang memiliki pemain yang ‘cukup’ untuk bersaing dalam banyak pertandingan.

“Sudah berkali-kali saya nyatakan kepada media, kami tiada kemampuan untuk bersaing dalam dua atau tiga kejohanan. Kami hanya boleh bersaing dalam satu pertandingan. Pasukan seperti Johor (JDT), Terengganu, Kedah, mereka mampu bersaing dalam beberapa kejohanan, tetapi kami tiada pasukan yang [kukuh] sebegitu.

“Saya pohon kepada penyokong, tolonglah berikan penghargaan atas apa yang mereka telah berikan dalam saingan liga sebelum ini,” tegas Tomas Trucha lagi yang mahu fokus kepada persediaan musim hadapan.

Leave a Reply