Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi sempat berjumpa dengan legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho sebelum menyertai skuad Harimau Malaya di Dubai menjelang aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Liridon secara rasmi menjadi warganegara Malaysia, selepas menerima kad pengenalan (MyKad) dan menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas pemain sayap Pahang Mohamadou Sumareh pada Februari tahun lalu.
Namun sehingga kini pemain kelahiran Kosovo itu belum sempat menikmati aksi bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe selepas beberapa perlawanan yang diatur sepanjang tahun lalu terpaksa dibatal atau ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Liridon yang menyertai JDT pada Disember 2019 kini beraksi secara pinjaman di Liga Australia bersama Newcastle Jet.
Merupakan salah seorang pemain yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe di dalam senarai 25 pemain untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 3 Jun hadapan, Liridon bagaimanapun tidak perlu menyertai latihan kem pusat yang bermula pada 16 Mei di Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan oleh FAM sebelum ini, Liridon dan tiga lagi pemain negara yang berpengkalan di luar negara seperti Junior, Dominic serta Luqman Hakim Shamsudin akan terus terbang ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bersama pasukan negara pada 20 Mei akan datang.
Dalam satu muat naik terkini di laman Instagram peribadinya, Liridon yang sudah tiba di UAE sempat menemui legenda bola sepak dan pemenang Piala Dunia Brazil, Ronaldinho.
Adakah Liridon meminta tips dan pengalaman Ronaldinho yang mengenai bola sepak antarabangsa? Mungkin itu antara perkara yang dibincangkan kedua-dua pemain ketika bersantai di Dubai.
Pertemuan Liridon dengan Ronaldinho juga tidak perlu dikhuatiri melanggar sebarang SOP berkaitan Covid-19. Ini kerana sebelum ini pemain-pemain yang diterbangkan ke Dubai akan dikumpul dalam satu bubble yang telah disediakan oleh FA UAE dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Tidak dapat dipastikan tujuan Ronaldinho di sana. Dubai sentiasa menjadi destinasi popular bintang bola sepak dunia dan ia bukan perkara menghairankan. Kebiasaannya ia adalah atas jemputan untuk program bola sepak yang dianjurkan di sana.
Liridon pula kini berpeluang tampil buat kali pertama untuk pasukan negara dalam satu perlawanan persahabatan menentang Kuwait pada 23 Mei akan datang.
Kemudian pada 25 Mei 2021, skuad Harimau Malaya akan terbang pula ke Manama, Bahrain bagi perlawanan persahabatan kedua (Tier 1) bertemu Bahrain pada 28 Mei 2021 sebelum terbang semula ke Dubai pada 31 Mei bagi persediaan terakhir menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan.
Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).
Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam berkedudukan di tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0). Hanya UAE kurang satu perlawanan.
Baca artikel lain mengenai Liridon Krasniqi melalui pautan:
Emre Can Antara Yang Meraikan Panggilan Pertama Liridon Krasniqi
Liridon Krasniqi Tidak Mahu Fikir Atau Komen ‘Lebih’ Tentang Kedah
Mengapa Perjanjian Liridon, Abi Ke Newcastle Jets Boleh Dianggap ‘Win-Win Situation’?