Mengapa Perjanjian Liridon, Abi Ke Newcastle Jets Boleh Dianggap ‘Win-Win Situation’?

liridon abimanyu JDT newcastle jets 2021

Akhirnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan dua pemainnya, Liridon Krasniqi dan Syahrian Abimanyu dipinjamkan ke Newcastle Jets di saingan A-League.

Perkembangan itu disahkan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi satu kenyataan di akaun Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, semalam. Kata Edwards, “Kami ucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pemain.”

Adakah perjanjian secara pinjaman ini membantu kedua-dua pemain terutamanya Liridon Krasniqi? Jika dilihat, bukan setakat ia dapat membantu mereka tetapi ia juga dapat membantu kelab tersebut dalam pada waktu yang sama. Mengapa?

Newcastle Jets ada masalah kewangan

Pasukan yang boleh dianggap antara pencabar kuat kejuaraan A-League satu masa dahulu itu kini sedang dalam fasa terburuk sepanjang penubuhan kelab itu.

Pemilik kelab, Martin Lee terpaksa melepaskan pegangan sahamnya dalam Newcastle Jets selepas perniagaannya menerima kesan teruk pandemik COVID-19. Pada Oktober lalu, sebuah syarikat daripada China, Sky Jade Capital juga telah menarik diri daripada membeli kelab ini pada saat-saat akhir, menjadikan mereka tiada pemilik dan jurulatih.

Pinjaman pemain sebegini mampu membantu kelab yang memiliki beban hutang itu dan ketika ini mereka dimiliki ‘sementara’ oleh sebuah konsotium terdiri daripada tiga kelab di A-League, Sydney FC, Western United FC dan Western Sydney Wanderers FC – yang akan membantu menstabilkan kelab tersebut buat sementara waktu.

Liridon, Abi boleh bantu prestasi The Jets

Disebabkan masalah pemilikan dan kewangan, prestasi mereka merosot teruk dan mengalami empat kekalahan berturut-turut sejak bermula musim 2020/21.

Ketua jurulatih, Craig Deans melabelkan ini satu permulaan terburuk mereka selama ini. Newcastle Jets kembali meraih mata pada dua perlawanan selepas itu dengan satu kemenangan dan satu keputusan seri. Selepas enam perlawanan, mereka berada di kedudukan tercorot A-League, tangga ke-12, dengan hanya meraih empat mata.

Katanya kepada Fox Sports, “Kami bermain baik musim ini, namun tidak mendapat satu mata pun, dan itu mungkin adalah prestasi terburuk kami selama ini.”

Dua pemain Asean pertama di A-League?

Boleh dikatakan, penghijrahan Liridon dan Abimanyu ke Newcastle Jets ini menjadikan mereka pemain Asean pertama di A-League. Ada yang tanya, kenapa bukan Shazalee Ramli? Shazalee Ramli hanya bermain di liga bawahan di Australia.

Menurut artikel sebuah portal di Australia, The World Game, kemasukkan pemain Asean sememangnya ‘dinantikan’ di A-League dan ia bukan seorang tetapi, dua pemain terus dibawa masuk. Jika kedua-dua pemain ini berjaya menyesuaikan diri dan membantu Newcastle Jets, sudah tentu kelab-kelab lain akan membuka mata.

Begitupun, The World Game mungkin terlupa yang pemain Thailand, Surat Sukha merupakan pemain Asean pertama beraksi di A-League pada tahun 2009.

Membina hubungan dengan kelab-kelab di Asean mungkin dapat membantu A-League dalam banyak perkara antaranya meningkatkan penonton dan tajaan.

Tambah peminat Newcastle Jets

Newcastle Jets mampu menambah penyokong mereka dengan penyertaan kedua-dua pemain ini. Liridon memiliki pengaruhnya di kalangan penyokong di Malaysia, sementara Abi yang bermula karier remajanya di La Liga bersama Levente, sangat popular di Indonesia. Beliau dikatakan pemain muda yang berbakat besar.

Pengurus Operasi Newcastle Jets,  Joel Griffiths memuji Abi dengan mengatakan pemain tersebut pemain muda yang memiliki banyak kemampuan.

Tegasnya kepada laman sesawang rasmi A-League, “Naluri bola sepaknya [Abi] sangat indah. Anda tidak boleh ajar perkara itu [kepada sesiapa]. Dia juga tidak mementingkan diri. Mentaliti permainannya memberikan keyakinan untuk dia disenaraikan terus ke dalam skuad utama. Abi adalah pemain yang berkemahiran tinggi.”

Misi serampang dua mata JDT

Selain itu, ia juga misi serampang dua mata juga buat JDT. Dengan meminjamkan dua pemain terbaik mereka, Liridon dan Abi, jika kedua-duanya beraksi dalam kesebelasan utama, ia dapat membantu mereka mendapat minit permainan dan juga pengalaman bersaing di liga luar. Untuk Liridon, ia sangat penting dan anda tahu mengapa.

Liridon susah untuk memecah masuk ke skuad utama JDT, mungkin disebabkan mereka tidak mahu merosakkan sistem sedia ada pasukan yang dalam momentum terbaik di Liga Malaysia sejak tujuh tahun kebelakangan ini. Jadi, memberikannya peluang di kelab luar penting buat kariernya dan juga skuad kebangsaan.

Disamping itu, JDT yang sudah mengembangkan pengaruhnya ke Indonesia dengan penyertaan Abi, bakal mengembangkan pengaruh ke Australia pula.

KREDIT FEATURED IMAGE: NEWCASTLE JETS

Baca lagi artikel mengenai Liridon Krasniqi dan JDT:

Tiada Tempat ‘Mudah’ Untuk Sesiapa Termasuk Liridon Krasniqi

4 Perkara Di Sebalik Pembelian Syahrian Abimanyu Oleh JDT

Perbandingan Head-to-Head Pusat Latihan JDT Dengan Selangor

Leave a Reply