5 Sebab Saingan Liga Premier 2021 Tak Kurang Menariknya

Liga Premier 2021 menarik

Saingan Liga Premier 2021 akan bermula pada 6 Mac depan dan adakah musim ini menjanjikan aksi dan saingan menarik antara 11 pasukan bertanding?

Komposisi pasukan di Liga Premier kali ini menyaksikan enam pasukan akan bersaing untuk dua tiket promosi ke Liga Super 2022, sementara baki pasukan adalah empat pasukan simpanan Liga Super dan pasukan pembangunan, skuad Projek FAM-MSN.

Ini menyaksikan penurunan persaingan untuk meraih promosi. Musim lalu, persaingan melibatkan lapan pasukan sementara pada musim 2019, 10 pasukan bersaing. Jadi, dengan semakin kecil persaingan, adakah Liga Premier masih menarik untuk ditonton?

1. Pengendali berpengalaman

Musim lalu mungkin kita melihat kurangnya nama besar dalam barisan kejurulatihan pasukan. Namun, untuk musim ini, kelihatan beberapa individu yang menarik.

Pengendali seperti Irfan Bakti Abu Salim, K. Devan dan Mat Zan Mat Aris tentu mampu menarik perhatian ramai. Irfan Bakti akan mengemudi Kuching City FC. K. Devan bersama Negeri Sembilan FC dan PDRM melantik Mat Zan Mat Aris.

Ketiga-tiganya memiliki pengalaman luas dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan tentunya pasukan yang mereka bimbing tidak boleh dipandang mudah.

Selain itu, kita juga mungkin akan menyaksikan sentuhan empat pengendali asing iaitu Rafa Gil bersama Johor Darul Ta’zim II, Marco Ragini (Kelantan FC), Akira Higashiyama (Kelantan United) dan Michael Feichtenbeiner (Selangor 2). Begitupun, status sebenar pengendali Selangor 2 dikatakan masih dalam perbincangan.

2. Dua Derbi untuk disaksikan

Derbi sentiasa menarik perhatian penyokong. Ya, derbi di Malaysia berlangsung dengan gaya kita yang tersendiri, tidak seperti di liga lain di luar negara.

Untuk Liga Premier musim ini, kita bakal menyaksikan derbi menarik iaitu Derbi Kelantan, antara Kelantan FC dan Kelantan United serta Derbi Sarawak, antara Sarawak United dan Kuching City FC. Dua derbi yang masih baharu di Liga M.

Revolusi Kelantan FC di bawah ZamSaham sangat menarik untuk disaksikan apabila bertemu Kelantan United yang lebih awal melalui proses penswastaan.

Sementara Sarawak United pula bakal dicabar Kuching City FC yang mungkin mampu memberi ancaman di bawah kendalian pengendali baharu, Irfan Bakti.

3. Skuad projek FAM-MSN

Sudah lama kita tidak melihat pemain-pemain muda terbaik negara digabungkan membentuk pasukan untuk bersaing di liga. Skuad projek sebelum ini dinamakan Harimau Muda di mana, mereka bertanding dalam Liga Malaysia ataupun luar negara.

Skuad Harimau Muda dimansuhkan pada 2015 dengan pemain-pemain terlibat diminta untuk pulang ke negeri masing-masing selepas itu. Kini, skuad yang seakan-akan Harimau Muda kembali dibentuk untuk memastikan kesinambungan kepada pembangunan pemain muda terbaik negara selepas mereka meninggalkan AMD.

Ia telah mengumpulkan 30 pemain dikalangan graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

4. Penampilan Masashi Motoyama bersama Kelantan United

Pemain veteran berusia 41 tahun itu bakal membuat penampilan pertamanya di luar Jepun sejak kariernya bermula pada 1998. Pengalaman Masashi Motoyama bersama kelab gergasi J1 League, Kashima Antlers pastinya akan membantu Kelantan United.

Motoyama merupakan legenda Kashima Antlers di mana beliau telah membuat 496 penampilan dan menjaringkan 63 untuk kelab J-League berkenaan dari tahun 1998 hingga 2005 dan mengumpul 11 kejuaraan utama di negara matahari terbit tersebut.

Di peringkat antarabangsa, beliau telah mengumpul 28 kaps dan merupakan anggota skuad Jepun yang menjuarai Piala Asia edisi 2004. Cukup menarik kan?

5. Sarawak United ganding bekas pemain import Liga M

Skuad kendalian E. Elavarasan juga apa kurangnya. Mereka bakal membariskan pemain import yang sudah biasa dengan suhu Liga M, selain sebelum ini, mereka cemerlang membantu pasukan masing-masing di Liga Super atau Liga Premier.

Bagaimana perancangan kali ini akan membantu Sarawak United dalam misi untuk menempah tiket ke Liga Super? Dengan kehadiran bekas kapten Selangor, Taylor Regan, Sandro da Silva (Selangor), Lee Chang-hoon (Penang FC) dan Uche Agba (Melaka United), cabaran Sarawak United juga perlu diambil serius.

Berbanding pemain import pasukan lain, mereka memiliki pemain import yang sudah selesa bermain di Liga M, selain mereka merupakan antara pemain terbaik ketika bersama pasukan masing-masing. Adakah kedudukan musim lalu boleh diperbaiki?

Penutup

Walaupun saingan Liga Premier boleh dikatakan semakin kurang meriah dengan bercambahnya skuad simpanan Liga Super, namun, ia tetap menjanjikan saingan menarik. Ini kerana, skuad simpanan tersebut juga dibarisi pemain-pemain import.

Bagaimana anda melihat saingan Liga Premier musim 2021 nanti? Pasukan mana yang akan menjadi tumpuan dan bakal meraih slot ke Liga Super 2022?

Baca lagi artikel lain mengenai Liga Premier 2021:

Bryan Jones Teruja Bakal Bekerjasama Dengan Irfan Bakti

Dapat Latihan Intensiti Tinggi, Tiada Masalah Buat Graduan AMD Beraksi Di Liga Premier

Joseph Kalang Tie Mahu Terus Curah Keringat Buat Kuching FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN