Bangga dalam kecewa, mungkin itulah perasan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim, selepas melihat aksi bekas anak buahnya, Luqman Hakim Shamsudin di Jupiler Pro League bersama KV Kortrijk, baru-baru ini.
Bekas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya dengan produk yang telah mereka di AMD dan NFDP lahirkan. Jelas, Luqman Hakim boleh menjadi penanda aras program yang telah diwujudkan sejak tujuh tahun yang lalu iaitu bermula pada tahun 2013.
Bekas jurulatih Luqman Hakim, Lim Teong Kim gembira dengan keputusan Luqman utk bersama pasukan @kvkofficieel 🇧🇪. Menurutnya, Luqman perlu dipersiapkan dgn baik utk menghadapi cabaran besar bermain & berada di negara asing seorang diri.
Get ready @luqmansham1! #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/jwoS8legd7
— Team Malaysia (@TeamMsia) September 21, 2019
Apa yang dikecewakannya adalah sekiranya kerja mereka di sana tidak diganggu pihak-pihak tertentu, sudah pasti lebih ramai bakat muda di Malaysia akan dapat dilahirkan menerusi program tersebut. Lim Teong Kim tidak disambung kontraknya bersama NFDP apabila ianya berakhir pada 31 Oktober – kira-kira setahun yang lalu.
Bercakap dari Jerman untuk Buletin Utama TV3, beliau berkata, “Ia juga menunjukkan apa yang barisan pengurusan dan kejurulatihan terdahulu telah bekerja dengan baik.”
“Dan jika beberapa individu tidak mengganggu kami dan membenarkan kami semua meneruskan tugasan kami, sudah pasti lebih banyak ‘Luqman’ akan dilahirkan untuk negara,” tambah bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu lagi.
Luqman Hakim merupakan antara graduan pertama AMD dengan majoriti rakan-rakannya telah menyertai Selangor dan beraksi di Liga Premier bersama Selangor 2. Seramai 28 bekas pelatih AMD telah memilih untuk menyertai Selangor selepas mereka menamatkan proses pembelajaran di AMD, setahun yang lalu.
Begitupun, beliau mewakili barisan kejurulatihan merasa gembira dengan apa yang dicapai Luqman Hakim. Katanya, “Kami dari barisan pengurusan dan kejurulatihan NFDP dan AMD terdahulu berasa sangat gembira dengan penampilan sulungnya.
“Kami mengharapkan masa depan yang baik kepadanya bersama kelabnya,” tambah Lim Teong Kim lagi sambil menekankan yang NFDP dan AMD berada di landasan yang tepat jika ianya tidak diganggu dan beliau masih bersama program tersebut.
KREDIT FEATURED IMAGE: TV9
Baca lagi artikel mengenai Luqman Hakim dan Lim Teong Kim:
Kad Merah Luqman Hakim, LTK Anggap Pengadil Tidak Faham Bola Sepak
Lim Teong Kim Mahu Kembali Ke Munich Selepas Tamat Kontrak Bersama NFDP