Quantcast

BERITA

Lim Teong Kim Mahu Kembali Ke Munich Selepas Tamat Kontrak Bersama NFDP

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mahu kembali ke Munich, Jerman selepas kontrak beliau tamat 30 Oktober hadapan.

Ini bukan perkara menghairankan kerana Teong Kim pernah mencipta nama selaku jurulatih di akademi kelab terkemuka Bundesliga, Bayern Munich sebelum kembali ke tanah air untuk mengendalikan NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Ketika bercakap kepada wartawan mStar, Teong Kim mengesahkan perkara itu seperti yang pernah beliau beritahu kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dalam pertemuan yang dilakukan pada tahun lalu.

Pengarah dan Ketua Jurulatih PPBN, Lim Teong Kim. Foto: NFDP Malaysia.

“Walaupun hanya lima tahun saya bersama NFDP, anda semua boleh lihat apa yang dicapai.

“Sebelum ini FAM [Persatuan Bola Sepak Malaysia] menerusi Datuk Seri Subahan Kamal ada beritahu setiap program pembangunan memerlukan masa 10 tahun untuk melihat hasilnya. Ketika itu dia juga cakap kita gagal dan habiskan banyak duit.

“Tetapi sebenarnya program ini baharu sahaja lima tahun dan kini kita berada di landasan yang betul,” ujar Teong Kim seperti yang dipetik daripada ahbar online mStar.

Teong Kim juga menjelaskan ia bukan mengenai kepuasan semata-mata sepanjang tempoh lima tahun bersana NFDP. Beliau menganggap apa yang telah dilakukan selama ini paling utama ialah untuk membantu membawa perubahan, namun bagi beliau ramai yang tidak memahami erti pembangunan yang sebenarnya.

(Sumber: NFDP Malaysia – PPBN)

Bagaimanapun Teong Kim gembira dengan pemglibatan jurulatih di program tersebut kerana menunjukkan perubahan positif dengan ilmu yang dikongsi.

“Perlu diingat apa yang penting dalam program ini adalah jurulatih,” tambah beliau lagi merujuk kepada pembangunan jurulatih untuk akar umbi.

Walaupun tidak lagi terlibat dengan NFDP, Teong Kim juga seakan-akan menafikan bahawa beliau akan menyertai mana-mana kelab di dalam negara yang mahukan khidmat beliau.

Ditanya oleh mStar jika ada tawaran untuk menguruskan pasukan atau kelab di negara ini, Teong Kim berkata ia mungkin tidak akan berlaku.

“Mereka kata gaji saya terlalu tinggi.

“If your pay peanut, you get monkeys”.

“Dan saya bukan monyet,” ujarnya ringkas.

Teong Kim juga gembira dengan kejayaan skaud Bawah 15 Tahun negara yang muncul juara di Piala AFF baru-baru ini. Untuk rekod, 21 daripada 23 pemain yang dipanggil untuk kejohanan di Thailand itu adalah hasil daripada projek di AMD.

Harapan seterusnya daripada Teong Kim ialah untuk melihat pasukan yang sama mara ke Piala Dunia Bawah-17 pada tahun hadapan.