Kem Manchester City sudah pasti bersorak kegembiraan pada ketika ini selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menerima rayuan kelab tersebut sekaligus membenarkan The Cityzens beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.
Bukan berita gembira itu sahaja dinikmati Manchester City, malah hukuman denda yang sepatutnya dikenakan sebanyak €30 juta juga telah dikurangkan kepada €10 juta.
Sebelum ini, skuad bimbingan Pep Guardiola itu menerima hukuman larangan beraksi dalam kempen UCL selama dua musim selepas mereka didapati bersalah kerana melanggar Financial Fair Play (FFP) oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Gergasi Liga Perdana Inggeris itu didapati bersalah kerana telah menaikkan hasil penajaan (overstated) mereka secara palsu, dalam laporan untuk proses piawaian FFP.
Tetap merasakan berada di pihak yang tidak bersalah, City telah membuat rayuan kepada CAS tersebut pada bulan lalu dan menganggap apa yang dilakukan oleh UEFA itu sebagai tindakan ‘prejudis’.
Panel yang bertanggungjawab dalam mempertimbangkan rayuan ini adalah Rui Botica Santos dari Portugal, Prof Ulrich Haas (Jerman) dan juga Andrew McDougall QC dari Perancis pada 8 hingga 10 Jun lalu.
Berbeza dengan skuad bimbingan Pep Guardiola itu, perkembangan terbaharu ini sebaliknya jelas tidak disenangi oleh Chelsea, Leicester City, Manchester United dan Wolverhampton Wanderers serta para penyokong setia setiap daripada pasukan tersebut.
Jika sebelum ini mereka masih boleh menarik nafas lega kerana pasukan yang menamatkan saingan di tempat kelima masih layak ke kempen UCL, tetapi selepas keputusan rayuan diperdengarkan, tempat keempat perlu menjadi kemestian buat mereka.
Kredit featured image: Harold Cunningham – UEFA/UEFA via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Mahkamah Timbang Tara Sukan: