Pendengaran Kes Penggantungan Manchester City Di CAS Bermula 8 Jun

Manchester City UEFA

Pendengaran kes penggantungan dua musim Manchester City di Kejohanan Eropah di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan bermula pada 8 Jun ini, lapor akhbar BBC.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah dihukum oleh UEFA pada Februari lalu selepas didapati melanggar peraturan yang ‘serius’ di bawah peraturan pelesenan kelab dan peraturan kewangan.

City bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan pihaknya ‘teraniaya’.

Pendengaran kes itu akan berlangsung selama tiga hari dan perbicaraan tidak dibuka kepada orang awam.

CAS dalam kenyataannya sebelum ini mengatakan pendengaran kes itu mungkin akan dilaksanakan secara persidangan panggilan video disebabkan sekatan perjalanan masih berkuat kuasa ekoran pandemik COVID-19.

Prosedur timban tara yang akan dilaksanakan melibatkan penyerahan dokumen atau bukti bertulis di antara dua pihak sementara panel timbang tara pula akan mendengar rayuan yang dikemukakan.

Sebuah badan penilai bebas dari panel siasatan Lembaga Kawalan Kewangan UEFA (CFCB) yang meneliti akaun City menemui bukti bahawa City telah menyeleweng penyata keuntungan penajaan yang dihantar kepada UEFA di antara 2012 hingga 2016.

CFCB juga memaklumkan kelab England itu gagal memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan.

Selepas hukuman tersebuh dijatuhkan City kemudiannya memberi respon mengatakan pihaknya kecewa tetapi tidak terkejut dengan sikap prejudis UEFA.

β€œSecara ringkasnya, kes ini dicetus oleh UEFA, didakwa oleh UEFA dan dihakimi oleh UEFA.”

UEFA mula menjalankan siasatan selepas sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel menerbitkan sebuah artikel yang mengandungi dokumen ‘bocor’ pada November 2018 yang mendedahkan penipuan jumlah penajaan.

Ini bukanlah kali pertama Manchester City didakwa melanggar peraturan kewangan bola sepak. Sebelum ini mereka pernah didenda €60 juta (RM269 juta) pada tahun 2014.

Kelab tersebut yang cemerlang di peringkat domestik dalam beberapa tahun kebelakangan ini masih gagal menjulang kejuaraan UCL yang menjadi idaman pemiliknya Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan.

Kredit Foto: Man City Superbia

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manchester City dan UEFA:

Leave a Reply