Quantcast

BERITA

UEFA Mahu Sekat Penyertaan Man City Di UCL Kerana FFP

Pada Ahad lalu Manchester City baharu sahaja meraikan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) – setelah melalui musim yang mendapat tentangan sengit dari Liverpool.

Namun kegembiraan kerana meraikan kejayaan tersebut mungkin akan terhenti seketika sekiranya laporan dari New York Times ini diambil kira.

Man City ikut jejak langkah Milan?

Ianya bukan satu rahsia lagi bahawa UEFA sedang menyiasat juara EPL itu berkenaan salah laku berkaitan pencabulan peraturan Financial Fair Play (FFP).

Seperti nasib yang dilalui oleh AC Milan, Manchester City kini berhadapan risiko untuk tidak dibenarkan beraksi di eropah, selepas UEFA dilaporkan mahu menggantung penyertaan The Cityzen.

MANCHESTER, ENGLAND – MARCH 12: Sergio Aguero of Manchester City celebrates after scoring his sides second goal during the UEFA Champions League Round of 16 Second Leg match between Manchester City v FC Schalke 04 at Etihad Stadium on March 12, 2019 in Manchester, England. (Photo by Stu Forster/Getty Images)

Dalam laporan akhbar tersebut, pegawai penyiasat UEFA dikatakan mencadangkan agar penyertaan Manchester City di pertandingan UEFA Champions League (UCL) pada musim hadapan digantung, setelah kelab tersebut dituduh cuba mengelirukan/menipu laporan kewangan membabitkan nilai tajaan yang berkaitan secara terus dengan pemilik kelab.

UEFA sebelum ini pernah melepaskan City dari sebarang tuduhan salah laku kewangan FFP. Namun siasatan dibuka semula pada Mac lalu, selepas desakan dari beberapa pihak, termasuk dari Presiden La Liga, Javier Tebas.

Kes berlainan dari Milan

Kes milik City sebenarnya berlainan dari apa yang dihadapi oleh Milan. Kelab Itali itu disiasat oleh UEFA selepas berbelanja sehingga €200 juta untuk pemain pada 2017.

Walaupun digantung oleh UEFA, Milan telah menang rayuan yang dilakukan di Mahkamah CAS – setelah tidak dibenarkan beraksi di UEFA Europa League pada musim ini.

AC Milan flags outside The San Siro Stadium – Giuseppe Meazza Stadio – the shared home of Inter Milan – Internazionale and AC Milan (Photo by AMA/Corbis via Getty Images)

Ini mendorong UEFA membuat pertimbangan sekali lagi pada Disember lalu, sebelum memberikan tempoh sehingga 2021 untuk Milan mengimbangkan kembali akaum mereka sebelum kebenaran beraksi di eropah dikembalikan.

Tindakan oleh UEFA ini adalah sebagai salah satu langkah memastikan bola sepak dipertandingkan secara sihat dan tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu melalui kuasa kewangan semata-mata.

Siasatan semakin rancak, dan turut melibatkan beberapa gergasi bola sepak Eropah selepas pendedahan demi pendedahan oleh Football Leaks yang menyiarkan dokumen-dokumen tersembunyi pihak kelab.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada UEFA mahu pun Manchester City berhubung perkara ini.