KAFA Bawa Kes Cassio Ke Mahkamah Timbangtara Sukan

CAS Cassio KAFA

Selepas melancarkan kutipan derma daripada penyokong untuk membayar gaji tertunggak bekas pemainnya, Cassio Francisco De Jesus, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini mencuba untuk menangguhkan pembayaran tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid dalam kenyataannya kepada media menjelaskan pihaknya kini telah memfailkan rayuan untuk mengetepikan dan membatalkan keputusan FIFA ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Menurutnya tindakan itu diharapkan membolehkan pihaknya membuat penangguhan pembayaran denda bernilai RM629,620.28 itu yang sepatutnya dilangsaikan sebelum 23 Mei ini.

“Sekiranya dibenarkan maka KAFA diberi tempoh utk membuat bayaran sehingga keputusan tersebut diputuskan seandainya rayuan pihak KAFA ditolak,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA.

Namun setakat ini CAS dikatakan masih belum memutuskan sama ada permohonan penangguhan pembayaran tersebut dibenarkan atau tidak

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mendakwa KAFA akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan sekiranya tuntutan pemain import dari Brazil itu tidak diselesaikan.

Mengikut rekod, KAFA telah mendapatkan khidmat Cassio pada Disember 2017 dan bertindak menamatkan kontrak pemain berusia 30 tahun itu sebelum kontraknya berakhir pada hujung 2019 dan pemain tersebut telah memfailkan aduan kepada FIFA.

FAM sebelum ini pernah mengambil tindakan memotong tiga mata pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super pada 2019 kerana kegagalan pasukan tersebut menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM235,686 kepada bekas pengarah teknikalnya, Alfredo Carlos Gonzales.

Derma atas talian “Selamatkan Bola Sepak Kelantan” yang dilancarkan bermula 9 Mei lepas setakat ini telah mencecah lebih RM12,400.

“Mengenai tabung ini kita menjangkakann lebih ramai lagi penderma jika rayuan [penagguhan] diterima.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai KAFA:

Leave a Reply