Pemain sayap lincah Chelsea, Willian yang bakal bergelar ejen bebas telah menyatakan persetujuan untuk terus kekal membantu Chelsea sehingga tamat saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20, menurut sumber Goal.
Perkembangan terkini tersebut nyata menjadi pengkhabaran baik buat skuad bimbingan Frank Lampard yang kini dalam usaha untuk merebut slot layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Susulan wabak yang melanda sehingga menyebabkan saingan bola sepak di Eropah terpaksa tamat lebih lewat dari kebiasaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memberikan kelonggaran buat pemain yang bakal tamat kontrak pada 30 Jun ini untuk terus kekal bersama pasukan.
Ia bagi membolehkan mereka dapat membantu pasukan sehingga tamat saingan liga dan pertandingan yang disertai. Bagaimanapun, pihak pemain dan kelab perlu untuk mendapatkan persetujuan bersama, seperti yang dilakukan oleh Willian dan Chelsea.
Ini bermakna Willian masih berpeluang untuk membantu Chelsea menamatkan saingan Liag Perdana Inggeris 2019/20 di kedudukan lebih baik dan cuba untuk menjuarai Piala FA.
Chelsea turut berdepan tugas sukar untuk kembali mengejar kelebihan tiga gol dimiliki Bayern Munich pada aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.
Tujuh musim menyarung jersi Chelsea, Willian telah membuat 330 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai dan turut berjaya menjaringkan 59 gol.
Beliau juga pernah mengecapi nikmat selaku pemenang Liga Perdana Inggeris musim 2014/15 dan 2016/17 serta menjuarai Liga Europa musim lalu selepas berjaya menundukkan musuh ketat, Arsenal pada aksi final di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan.
Dalam perkembangan berlainan, The Blues juga dikatakan sedang berunding dengan seorang lagi pemain sayap berpengalaman, Pedro untuk melakukan perkara yang sama.
Namun, peluang untuk mengekalkan pemain kelahiran Tenerife itu sedikit sulit buat Chelsea kerana Pedro sudah pun memeterai pra-kontrak bersama AS Roma untuk membawanya secara percuma ke Stadio Olimpico pada musim hadapan.