Willian: Sambung Liga Bila Keadaan Benar-Benar Selamat

Willian

Pemain sayap lincah Chelsea, Willian mengakui para pemain saingan Liga Perdana Inggeris memang amat mengharapkan untuk kembali beraksi selepas aksi liga terpaksa dihentikan hampir dua bulan susulan serangan wabak COVID-19.

Namun, beliau merasakan adalah lebih baik sekiranya kempen liga kembali bersambung apabila keadaan benar-benar selamat buat semua yang terlibat.

Willian turut berpendapat sebahagian besar pemain dalam kancah paling popular di dunia itu juga tidak selesa dengan cadangan untuk kembali menyambung baki saingan liga pada Jun nanti.

Sebelum ini, beberapa pemain seperti Sergio Aguero, Troy Deeney dan Danny Rose turut mempersoalkan cadangan berhubung perkara yang amat subjektif untuk diperkatakan ini.

”Sejujurnya, dari apa yang saya lihat, ramai pemain, majoritinya, saya mengatakan – mereka tidak selesa dengan cadangan untuk kembali menyambung saingan liga pada ketika ini.”

Embed from Getty Images

”Kami memang amat berminat untuk melihat liga kembali bersambung, kami rindu untuk kembali beraksi dan melakukan apa yang kami sukakan,” ujar Willian menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Tetapi keadaannya perlulah selamat untuk kita semua melakukannya. Begitulah cara kami melihat perkara ini. Kesihatan kami perlu menjadi keutamaan.”

”Jadi, pada ketika ini, pemain tidak berasa selesa dengan idea untuk kembali beraksi sehinggalah keadaan benar-benar selamat untuk melakukannya.”

”Pasukan kami [Chelsea] telah banyak berbincang secara dalam talian, menggunakan aplikasi berbeza dan kami juga bermesyuarat. [Frank] Lampard telah menghantar kepada kami informasi berkenaan apa yang mahu dilakukan oleh Premier League,”

”Kami masih tidak tahu bagaimana keadaan ini akan berlaku. Mudah-mudahan, kami akan mengetahuinya dalam beberapa hari lagi. Premier League perlu untuk mengadakan mesyuarat dan memberitahu kepada kami tentang apa langkah seterusnya,” ujar Willian lagi.

United Kingdom merupakan antara negara yang terjejas teruk berikutan wabak yang masih tiada vaksin ini apabila dilaporkan terdapat 240,000 kes dan turut mengakibatkan kematian hampir 34,000 nyawa.

Kredit featured image: Julian Finney/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai komen pemain tentang cadangan sepak mula EPL:

Leave a Reply