Pengurus AS Roma, Paulo Fonseca menegaskan beliau mahu melihat pemain pertahanan yang dipinjamkan dari Manchester United, Chris Smalling agar terus bersama kelab tersebut selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada musim pertamnya di Stadio Olimpico.
Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu terpaksa dipinjamkan ke kelab Serie A tersebut pada Ogos lalu selepas beliau gagal untuk memenangi hati pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.
Keputusannya untuk berkelana ke AS Roma nyata membuahkan hasil apabila Smalling mempamerkan persembahan meyakinkan dalam menjadi tunjang kepada kekuatan jentera pertahanan kelab digelar I Giallorossi itu.
Sehubungan dengan itu membuatkan Fonseca berharap agar pemain kelahiran London itu dapat terus kekal menyarung jersi AS Roma.
Embed from Getty Images”Dia mengejutkan saya. Dia adalah pemain pertahanan yang tidak pernah meninggalkan England dan tiba di liga yang sangat menuntut aspek taktikal, di mana perkara itu menjadi perbezaan.”
”Chris [Smalling] menyesuaikan diri dengan sangat pantas. Dia seorang yang luar basa, sangat bijak. Dia memiliki karakter yang saya sangat hargai di bahagian [pertahanan] tengah,” ujar Fonseca menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Dia pantas, hampir tidak dapat ditewaskan ketika situasi ‘satu lawan satu’. Dia mempunyai keupayaan yang hebat dalam membaca permainan dan menjangkakan sesuatu. Dia sangat penting buat kelab ini.”
”Kalau boleh, saya mahu dia untuk terus kekal. Dia adalah seorang profesional dan orang yang hebat, sangat gembira untuk memilikinya bersama kami di sini,” ujar pengendali kelahiran Portugal itu lagi.
Bersama AS Roma, Smalling membuat 21 penampilan hasil 26 perlawanan yang telah dilalui dalam kempen Serie A dan turut berjaya menjaringkan dua gol.
Kredit foto: Cosimo Martemucci/SOPA Images/LightRocket via Getty Images