Chris Smalling Sasar Skuad England Selepas Berguru Di Itali

Pemain pertahanan Roma, Chris Smalling masih berharap beliau diberikan peluang untuk kembali menyertai skuad England untuk saingan Euro 2020 pada musim panas ini.

Kali terakhir Smalling tampil di pentas antarabangsa bersama skuad kendalian Gareth Southgate ialah pada 2017.

Smalling beraksi bersama Roma secara pinjaman dari Manchester United, dan berkata dirinya adalah pemain yang lebih baik sejak berhijrah ke Serie A.

Pemain berusia 30 tahun itu juga berkata keluarganya turut selesa tinggal di Rom, dan memberi indikasi untuk terus berada di Itali pada musim hadapan.

“Jelas sekali sudah beberapa tahun [sejak kali terakhir bersama England],” kata Smalling kepada BBC.

“Saya sedar Gareth [Southgate] dan beberapa kakitangan kejurulatihan England telah menghadiri beberapa perlawanan saya, dan anda percaya mereka berfikir akan anda apabila anda beraksi untuk kelab besar.

“Saya percaya kepada aspirasi itu, dan hanya mahu memberi fokus. Apa yang akan berlaku, biarkan ia berlaku. Tetapi saya mahu nyatakan keinginan saya untuk beraksi di Euro. Itu pasti.”

Smalling yang memiliki 31 kaps untuk England akan berhadapan saingan dari pemain lain seperti Harry Maguire (Manchester United), Joe Gomez (Liverpool), Tyrone Mings (Astin Villa), John Stones (Manchester City), Michael Keane (Everton) dan Fikayo Tomori (Chelsea).

Namun dari senarai di atas, Stones dan Tomori bukan pemain yang bermain secara kerap bersama pasukan mereka berbanding Smalling yang yakin dirinya sudah berguru di Itali.

“Di sini saya belajar cara ianya [bertahan] dilakukan di Itali, taktik, dan bagaimana untuk berhadapan dengan perlawanan.

“Sudah tentu saya memperolehi nilai tambah yang membuatkan saya belajar dan menambah baik kebolehan diri,” jelas Smalling lagi. 

Leave a Reply