Smalling Ubah Diet Pemakanan Untuk Rebut Tempat Dalam Kesebelasan Utama Manchester United

Chris Smalling

Makan makanan yang kaya dengan zat ataupun kaya dengan nutrisi adalah sangat penting untuk para atlet professional. Sama ada anda atlet ataupun yang suka melakukan senaman yang kerap, dengan pengambilan nutrisi yang betul akan meningkatkan keupayaan bersukan.

Itulah yang dilakukan oleh pemain pertahanan skuad kebangsaan England, Chris Smalling yang berharap diet diamalkan memberinya kelebihan dalam perebutan posisi utama di Manchester United.

Selain Smalling, United mempunyai empat lagi pertahanan tengah berkualiti di Old Trafford iaitu Eric Bailly, Phil Jones, Victor Lindelof dan Marcos Rojo.

Persaingan itu bertambah apabila pengurus, Jose Mourinho mendedahkan ingin mendapatkan seorang lagi pertahanan tengah sebelum jendela perpindahan ditutup antaranya pemain Barcelona, Yerry Mina, Harry Maguire dari Leicester dan pemain Tottenham, Toby Alderweireld.

Namun tiada seorang pun pertahanan tengah yang membarisi kesebelasan utama United lebih banyak berbanding Smalling musim lalu dengan dia berada di tangga keempat di belakang Nemanja Matic, David De Gea dan penyerang Romelu Lukaku.

Justeru, pemain berusia 28 tahun itu yang sering dipalit masalah kecederaan berkata, apa yang diamalkannya itu mula menampakkan hasil dan berharap ia akan berterusan.

“Isteri saya seorang vegetarian dan ia sudah beberapa tahun,” kata Smalling.

“Dia banyak memasak di rumah dan kadangkala saya juga melakukannya.

“Saya bukan sepenuhnya vegetarian dan apabila saya melakukannya, ia seperti normal. Selepas beberapa lama, saya mula menolak daging merah.

“Satu daripada alasan saya memulakannya adalah daging merah menyebabkan banyak keradangan dan saya mempunyai banyak radang di lutut saya, cukup banyak bagi pemain bola sepak.

“Apabila saya melakukannya (diet), keradangan itu mula hilang. Kini saya mula menjadi vegetarian sepenuhnya pada permulaan pramusim dan ia sukar pada awalnya tapi semua pihak amat memahami.”

Leave a Reply