Pelantikan Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih interim Selangor bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau sebelum ini telah pun berperanan sebagai penolong ketua jurulatih kepada Michael Feichtenbeiner.
Sebaik sahaja pengendali dari Jerman itu dikembalikan ke jawatan asalnya selaku Pengarah Sukan, Nidzam telah diberikan tanggungjawab untuk memimpin The Red Giants untuk baki saingan musim ini.
Selaku pasukan dengan bajet yang agak besar serta barisan pemain yang tidak kurang hebatnya, kedudukan Selangor di pertengahan liga bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh penyokong setia mereka.
Hampir lima tahun di bawah ‘kepimpinan baharu’, masih tiada tanda-tanda Selangor mampu menjadi salah satu pencabar utama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), apatah lagi misi ke Asia yang sudah pun boleh dianggap sebagai mustahil dengan keadaan semasa.
Berdepan dengan situasi getir ini, tentunya Nidzam telah menyenaraikan beberapa keutamaan untuk memperbaiki segala ‘kebocoran’ terutamanya melibatkan aspek-aspek penting yang mampu meningkatkan kembali prestasi pasukan.
Berdasarkan artikel yang pernah disiarkan sebelum ini, Semuanya BOLA sekali lagi menyenaraikan 3 sebab mengapa pelantikan Nidzam Jamil dianggap tepat untuk mengembalikan kegemilangan skuad Gergasi Merah ini di pentas bola sepak negara.
Semangat anak Selangor
Karier anak kelahiran Kajang ini bersama Selangor tidaklah terlalu panjang. Selepas membuat penampilan sulung bersama skuad utama Selangor pada tahun 2000, beliau hanya kekal selama empat musim sahaja sebelum berkelana menyertai beberapa pasukan lain seperti PKNS, Negeri Sembilan dan Proton City.
Namun dalam tempoh singkat itulah kariernya berada pada tahap terbaik sehingga pernah beberapa kali dipanggil mewakili skuad kebangsaan termasuk perlawanan persahabatan menentang Brazil pada tahun 2002 di mana beliau dimasukkan sebagai pemain gantian.
Hari Perlawanan. Semalam sempat jenguk ‘live’ ex-player @selangorfc 2002. Rata-rata pemain setuju yg skuad 2002 bukanlah yg terbaik walaupun johan Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia kerana perubahan 360 darjah utk 2023. pic.twitter.com/qtazcZ8e5Y
— Footy Selangor (@footysel) August 21, 2021
Namun disebabkan masalah kecederaan, beliau mengambil keputusan untuk menggantung but dan memulakan karier kejurulatihannya bersama SPA FC seterusnya menjuarai Liga FAM pada 2012 ketika baru berusia 32 tahun.
Selepas itu beliau pernah menjadi jurulatih AirAsia FC diikuti dengan membimbing pasukan Bola Sepak Universiti Malaysia dalam kejohanan ‘World University Games Summer Universiade’ yang ke-29 di Taipei 2017. Pada 2017, beliau dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Felda United.
Muda tapi berwibawa
Karier kejurulatihan Nidzam melonjak secara tiba-tiba setelah dilantik menjadi ketua jurulatih Felda United yang beraksi di pentas Liga Super menggantikan B. Satiananthan pada musim 2019 dan mencuri perhatian dengan membuktikan kewibawaan pada musim pertamanya
Sekalipun pasukan itu dilanda masalah kewangan yang serius sehingga terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih, Nidzam Jamil masih tenang mengemudi pasukan itu untuk mengelak dari tersingkir ke Liga Premier selepas menamatkan saingan liga di kedudukan ke-10.
Namun musim keduanya ternyata lebih mencabar. Pihak pengurusan secara jujur memaklumkan bahawa sumber kewangan pasukan yang amat terhad pada musim ini dan beliau ‘terpaksa’ menggunakan khidmat pemain-pemain muda serta kurang ternama.
Separuh daripada pemain skuadnya merupakan ‘anak Felda’ yang terdiri daripada pemain-pemain muda yang antaranya diserap daripada akademi, skuad Piala Belia dan Piala Presiden.
Separuh Skuad Felda United Musim Depan Bakal Dibarisi ‘Anak Felda’ – https://t.co/wtDfcjZAwj pic.twitter.com/kQhTUErE7y
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 16, 2019
Ketajaman ‘naluri’ yang ada dalam dirinya juga telah membuatkan beliau berjaya mengesan bakat dan kemampuan yang ada pada seseorang pemain itu.
Walaupun Felda United akhirnya tersingkir selepas menamatkan saingan di tangga kedua tercorot dan kemudian ‘hilang’ dari pentas bola sepak Malaysia, beberapa bekas pemainnya yang sebelum ini kurang dikenali, kini sudah pun mencipta nama bersama pasukan-pasukan lain.
Antaranya adalah Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Danial Amier Norhisham (JDT), Muhaimin Mohamad (Negeri Sembilan), Anwar Ibrahim (KL City), Fadhil Idris (Melaka United), Azarul Nazarith (Terengganu), Syahmi Zamri, Faiz Mazlan (PJ City) dan ramai lagi.
Selain itu beliau juga telah berjaya menaikkan semula karier beberapa orang pemain yang sudah ‘hilang arah’ seperti Hadin Azman, Jasazrin Jamaludin dan S. Chanturu.
Hasil ‘air tangannya’, prestasi pernah Hadin melonjak sehingga mendapat panggilan bersama skuad kebangsaan dan kini turut cemerlang bersama KL City dan membantu pasukan tersebut mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim lalu dan turut cemerlang membantu skuad ibu kota itu di pentas Piala AFC.
Kesilapan adalah pelajaran
Dalam kalangan pemainnya, beliau cukup dikenali sebagai seorang jurulatih yang ‘sporting’ dan mesra kerana beliau sering mengambil tahu masalah dan hal peribadi semua pemain dan staf di bawah bimbingannya.
Dengan perwatakan yang ‘cool’, semua pemain tahu beliau merupakan seorang yang mempunyai azam yang tinggi, fokus dan bijak membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar seseorang pemain kerana setiap pemain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang berbeza.
Ditanya mengenai keberaniannya untuk mengetengahkan bakat muda dalam perlawanan-perlawanan penting, Nidzam menjelaskan bahawa penting untuk pemain muda diberi pendedahan supaya mereka mempunya keberanian untuk berdepan dengan pemain lawan yang lebih berpengalaman.
“Kita perlu bermain berdasarkan kekuatan pemain dan tidak semestinya apa yang saya nak. Sebab dalam bola sepak, memang kadang kala keputusan tidak memihak pada kita,” ujar Nidzam yang pernah ditemubual oleh Semuanya BOLA.
“Ianya penting untuk pemain-pemain muda seperti ini diberi peluang bermain. Jika mereka melakukan kesilapan, saya tak kisah sebab untuk belajar sesuatu mereka akan buat silap. Jadi pada masa akan datang mereka akan jadi pemain yang baik,” katanya lagi.
Perkara yang sering beliau sampaikan kepada pemainnya adalah berdisiplin, bekerja keras, pamerkan 100 peratus komitmen kepada latihan dan berikan yang terbaik dalam 90 minit perlawanan.
Bekas pemain Selangor ini tentunya individu terbaik untuk mengembalikan kegemilangan skuad The Red Giants yang sudah kemarau kejuaraan sejak beberapa tahun lamanya.
Dalam temubual terbaharunya bersama media MFL, Nidzam percaya prestasi kurang memberangsangkan Selangor mempunyai kaitan dengan emosi pemain.
“Apabila kelab memilih saya untuk menyambung tugas ini, saya berlapang dada sebab ini adalah Selangor dan mesti tiada apa yang lebih baik daripada hanya memikirkan kelab ini sendiri,” ujarnya.
“Saya percaya daripada sudut emosi sekarang adalah sangat penting dan saya suka dengan kepercayaan yang diberi oleh pemain dengan situasi sekarang.”
Penutup
Pastinya Nidzam Jamil tidak mahu pelantikannya dianggap sebagai ‘bidan terjun’ semata-mata dan ia juga merupakan kesempatan terbiak untuk beliau membuktikan kewibawaannya.
Para penyokong juga sudah pasti mengharapkan ada sesuatu yang positif akan terhasil untuk aksi berdepan Terengganu pada Rabu akan datang.