Fadhli Shas Anggap Sri Pahang Kini Sebagai Pasukan Yang Berbeza

Melaka United pada malam ini bakal berdepan tugas getir dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, apabila mereka bakal melayan kunjungan Sri Pahang dalam misi untuk mendapatkan kembali tiga mata penting.

Setelah tampil dengan kekalahan pada perlawanan sebelum ini di tangan Sabah, pasukan kendalian Asri Ninggal ini pastinya mahu kembali melakar kebangkitan di laman sendiri.

Menyedari lawan mereka pada malam ini merupakan Sri Pahang, pastinya persiapan rapi sudah pun dibuat untuk mengekang momentum kemenangan pasukan pelawat.

Mohd Fadhli Shas selaku pertahanan utama Melaka United menyedari kekuatan Sri Pahang sejak kebelakangan ini, sambil menyifatkan pasukan tersebut kini berbeza sejak dikendalikan oleh Dato’ Dollah Salleh.

“Walaupun bermain di laman sendiri pada Sabtu ini, saya tidak fikir kami ada kelebihan besar memandangkan Sri Pahang sedang lalui fasa terbaik apabila menang dalam tiga perlawanan terakhir.

“Memang perlawanan ini sangat getir dan kami perlu memanfaatkan sahaja peluang serta ruang malah tidak boleh lakukan banyak kesilapan kerana jentera serangan Sri Pahang begitu berbahaya.

“Saya juga mengenali kekuatan dimiliki Dollah kerana pernah bekerja dengannya semasa bersama pasukan kebangsaan satu ketika dahulu, beliau sangat pandai membangkitkan semangat pemain-pemain.

“Namun Melaka United tidak boleh terlalu gentar dengan Sri Pahang kerana kami juga ada kelebihan tersendiri serta ada pamerkan banyak peningkatan kebelakangan ini, cuma ada kalanya keputusan tidak sebelahi pasukan,” katanya menerusi MFL.

Untuk rekod semasa pasukan lawan iaitu Sri Pahang, pelawat setakat ini masih lagi belum tewas sejak tiga perlawanan lalu selain langsung tidak bolos untuk dengan mencatat kemenangan bersih, serta melonjakkan diri kepada kedudukan lima terbaik Liga Super.

Melaka United pula kini berada di tangga sembilan carta Liga Super dan berpeluang untuk melonjak ke kedudukan lebih baik, sekiranya mereka mencatat kemenangan malam ini atasi Sri Pahang.

Pada masa sama, Fadhli juga berharap peristiwa pada aksi lalu saat mereka bolos pada minit akhir di tangan Sabah tidak akan berulang lagi pada perlawanan malam ini.

Selain mengalami peristiwa tersebut di tangan Sabah, perkara tersebut juga berlaku pada perlawanan lalu dalam aksi suku akhir Piala FA menentang JDT, apabila mereka melepaskan gol pada saat akhir.

“Tewas pada saat-saat terakhir permainan sememangnya satu momen yang sangat pedih kepada mana-mana pemain dan harap perkara sama tidak akan terjadi lagi.

“Kami perlu kekalkan fokus sehingga tamat wisel permainan jika tidak mahu terus dilanda kekecewaan kerana apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak dan menentang Sri Pahang, saya harap kami tidak lagi lalui detik yang sama,” katanya.

Sumber:
MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN