Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane bertekad untuk mencabar Barcelona bagi merebut kejuaraan La Liga yang kali terakhir dimenanginya sebagai pengurus pada musim 2016/17.
Real Madrid sudah memulakan sesi latihan dalam kelompok kecil selepas sebarang aktiviti bola sepak terpaksa dihentikan hampir dua bulan susulan serangan COVID-19 di mana Sepanyol turut terjejas teruk dek kerana virus tersebut.
Sehubungan dengan itu, Zidane kini fokus dalam usahanya untuk menghalang Barcelona daripada meraih gelaran juara buat kali ke-27 dan juga kejuaraan hatrik pertama mereka sejak beliau mula membimbing Los Blancos.
Lebih menarik untuk diperkatakan, Zidane berjaya menggagalkan usaha Barcelona untuk meraih kejuaraan hatrik pada musim pertamanya sebagai pengendali pasukan (2016/17) yang sekaligus membawa Real Madrid muncul juara musim tersebut.
”Minggu ini berjalan dengan sangat baik kerana kami boleh bekerja lebih dalam kelompok kecil. Kami boleh menjalani latihan dengan lebih taktikal, fizikal dan teknikal.”
”Pasukan ini kelihatan baik pada minggu ini dan minggu depan akan menjadi lebih baik,” ujar Zidane menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Kami perlu untuk berfikiran positif kerana kami beruntung dapat kembali bekerja, untuk berada di padang dan ia kelihatan bagus buat saya.”
”Para pemain berfikir bahawa sekarang mereka harus untuk memanfaatkannya, juga untuk menikmati semua ini.”
”Kami mempunyai baki 11 perlawanan lagi dan kami akan mempersiapkan diri untuk menamatkan musim dengan baik.”
”Di akhirnya, perkara yang paling utama adalah memberikan segalanya untuk memenangi sesuatu. Kami di sini, ini adalah DNA kelab ini, berusaha untuk memenangi sesuatu [piala].”
”Saya sangat gembira untuk kembali bekerja dengan para pemain saya. Ia merupakan perkara penting selepas 60 hari. Kami semua gembira dapat kembali ke Valdebebas [Pusat Latihan Real Madrid].”
”Kami telah merancang cara bekerja dengan jurulatih kecergasan dan para pemain gembira dapat kembali menjalani latihan, dapat bersama dan menikmati apa yang mereka suka untuk lakukan, iaitu bermain bola sepak,” tambah Zidane lagi.
Selepas mengharungi 29 perlawanan, Real Madrid hanya ketinggalan dua mata di belakang musuh tradisi, Barcelona yang mengumpul 58 mata.