Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM Kelana Jaya pagi tadi sebulat suara memutuskan untuk melantik Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi sebagai pemangku Presiden FAM berkuatkuasa serta merta sehingga kongress FAM yang akan datang.
Perkara itu dicadangkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal yang kemudian diterima oleh semua Exco.
Menurut sumber, Yusoff akan memangku jawatan itu sehingga mesyuarat kongres ke 46 FAM yang dijadualkan pada 14 Julai ini.
Mesyuarat hari ini diadakan berikutan peletakan jawatan presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 25 Mac lalu dan menetapkan proses pencalonan untuk pemilihan jawatan presiden yang baharu pada Kongres FAM kali ke 54 selaras dengan peruntukan oleh Artikel 23 dan Artikel 33 statut FAM.
Mesyuarat itu juga membuat keputusan untuk menerima peletakan jawatan Tunku Ismail dengan berat hati.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden FAM.
Minggu lalu, Tunku Ismail menyatakan pandangan baginda mengenai Dato’ Hamidin Mohd Amin adalah individu yang paling tepat menggantikan baginda selepas berkhidmat untuk FAM sekian lama.
“Pada pendapat saya, calon paling layak untuk menerajui FAM selepas itu adalah Setiausaha Agung FAM, Dato Hamidin Mohd Amin yang telah sekian lama berkhidmat untuk bolasepak tanah air.”
“Jika kita lihat FIFA juga, Presiden-Presiden juga datang dari kalangan Setiausaha Agung kerana mereka amat memahami sistem pentadbiran bolasepak.”
“Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan Dato Hamidin dan ini akan memudahkan lagi kerjasama di antara FAM dan Malaysian Football League (MFL).”
“Jika Dato Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM oleh ahli gabungan, saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau dan memastikan pendapatan FAM terjamin.”
“Saya berharap semua ahli gabungan akan menyokong Dato Hamidin sebagai Presiden FAM.” katanya.
Kepada Tunku Ismail, kami di SemuanyaBOLA juga merakamkan ucapan terima kasih di atas perkhidmatan tuanku dan selamat maju jaya.