Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dikhabarkan tidak layak menerima pampasan kontrak bernilai RM1.6 juta jika mereka melepaskan pemain pertahanan kiri, Syazwan Andik bagi menyertai mana-mana pasukan.
Timbalan Presiden Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata dalam Berita Harian, pelepasan Syazwan tidak tertakluk dengan tuntutan terbabit berikutan pemain tersebut didakwa tidak menerima gaji daripada pasukan lama.
“Ia berikutan isu pembayaran gaji masih belum dijelaskan kepada Syazwan menyebabkan dia boleh membuat pilihan pasukan baharunya.
“KL tidak layak menerima pampasan berkenaan berdasarkan terma dan syarat kontrak yang menyebabkan Syazwan gugur daripada bersama skuad itu, jika dia mahu berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa ketika dihubungi oleh pihak Berita Harian menjelaskan pihaknya tidak mengetahui pasukan mana akan disertai Syazwan.
“Kita belum terima apa-apa lagi, kalau dia kata nak pergi sana (JDT), itu hak dia. Jika kita simpan (kekalkan) pun, kalau dia sudah tidak minat (beraksi) dengan KL (Kuala Lumpur), nak buat macam mana.
“Dia pun datang dari Johor, jadi kita akan bincang dengan pasukan itu. (JDT) belum hubungi (KLFA) lagi.
“Kita tak pernah tahan pemain, kalau dia nak pergi, itu hak dia untuk beraksi dengan mana-mana pasukan. Saya tak tahu mana satu (pasukan akan disertai Syazwan), saya tak terima apa-apa surat lagi.” katanya dalam Berita Harian.
Sebelum ini, terdapat khabar angin mengenai perpindahan Syazwan atau dipanggil sebagai ‘Pelo’ ke Selangor selepas penolong pengurus skuad The Red Giants, Nazzab Hidzan, memuat naik gambarnya bersama pertahanan kiri itu di laman sosial.
Namun, ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan menafikan pemain tersebut akan menyertai pasukannya sebaliknya beliau berkata Pelo akan kembali ke Johor.
Pengesahan daripada Satiananthan itu bermakna Syazwan hampir pasti berhijrah ke Johor Darul Ta,’zim (JDT) selepas gergasi bola sepak tanah air itu turut dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Malah, Yusoff Mahadi turut mengesahkan Pelo diintai oleh pihaknya dan berada dalam perancangan pasukan bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.