Pemain sayap dari Sepanyol, Suso menjadi salah seorang pemain yang mendapat perhatian banyak kelab di Eropah. Namun begitu, bekas pemain Liverpool ini mahu kekal di AC Milan.
Suso yakin, di bawah kendalian Gennaro Gatusso, AC Milan sedang berada di landasan yang tepat untuk kembali semula menjadi pesaing kejuaraan di Itali dan kembali semula ke UCL.
AC Milan musim ini gagal mendapatkan tempat ke UCL walaupun selepas berbelanja besar pada awal musim.
Kontrak semasa Suso akan berakhir pada 2022. Beliau dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk kepulangan semula ke Liverpool.
Namun Suso lebih melihat masa depan beliau bersama-sama dengan AC Milan pada musim akan datang. Bercakap kepada Tuttosport, Suso berkata:
“Saya sentiasa berkata yang saya sangat gembira di sini. Saya sudah selesa dan segala yang saya mahukan ada di sini. Jadi, tiada apa yang membuatkan saya terfikir mahu ke tempat lain.”
“Jika kelab ini yakin untuk membawa saya dalam memajukan kelab ini, saya berasa sangat gembira. Milan adalah rumah saya sekarang. Bagi saya musim ini lebih kepada musim transisi berbanding dengan musim untuk meningkat.”
Suso musim ini sudah menjaringkan 8 gol untuk AC Milan. Beliau juga mahu membantu AC Milan menjuarai Coppa Italia. Perlawanan final pada 10 Mei ini menentang Juventus.
“Semuanya positif buat masa ini. Coppa Italia akan menjadi seperti aising di atas kek yang klasik jika kami menang. Musim depan saya akan cuba memberikan aksi lebih baik.”
Suso juga masih berharap akan dapat menyertai skuad Piala Dunia Sepanyol. Beliau mendapat 1 kaps sebelum ini tetapi sudah disisihkan dalam perlawanan persabahatan pada Mac lalu.