Rekrut terbaharu Arsenal, Willian mengakui rakan senegaranya yang juga merupakan bekas pemain Chelsea, David Luiz telah memainkan peranan cukup besar dalam memujuknya untuk menyertai The Gunners bagi menghadapi musim 2020/21.
Menganggap David Luiz sebagai seorang yang sangat baik serta pemain berkelas dunia, Willian tidak berfikir panjang untuk menyertai Luiz di Emirates Stadium secara percuma setelah kontraknya bersama Chelsea tamat.
Pemain sayap yang mempunyai kelebihan kepantasan larian dan mampu menyempurnakan sepakan percuma dengan baik itu telah menandatangani kontrak selama tiga musim bersama Arsenal dan akan memakai jersi bernombor 12.
Sehubungan dengan itu, Willian meluahkan kegembiraannya dapat kembali berada dalam satu pasukan dengan Luiz dan percaya mereka mampu melakar kejayaan di Arsenal.
”Dia [David Luiz] sangat gembira. Kami bermain bersama dalam skuad kebangsaan [Brazil], juga bermain bersama di Chelsea dan kini di Arsenal pula.”
”Saya merasakan kami dapat melakukan perkara yang hebat bersama-sama, saya berharap sedemikian, tetapi saya sangat gembira kami dapat bersama lagi,” ujar Willian menurut laporan Goal.
”Dia berkata, ‘Marilah ke Arsenal, mari ke Arsenal, Saya mahu anda datang ke sini!’ Jadi itulah perbualannya.”
”Dia merupakan seorang yang baik, pemain berkelas dunia dan saya sangat gembira untuk sekali lagi beraksi bersamanya. Sudah tentu [dia banyak membantu pada masa dahulu], terlalu banyak ketika saya menghadapi masa yang sukar di Chelsea, dia yang banyak membantu.”
”Dia merupakan seorang yang sentiasa mahu memberikan bantuan, terutamanya kepada pemain muda yang tidak mempunyai pengalaman. Dia adalah seorang yang gemar membantu semua orang,” tambah Willian lagi.
Hubungan erat kedua-dua pemain ini sejak berusia lapan tahun itu turut menyaksikan mereka bersama-sama menjadi pemilik kepada sebuah restoran Itali yang dinamakan ‘Babbo’ di Mayfair, London.
Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Willian dan David Luiz: