Quantcast

KAJIAN & FAKTA

‘Roh’ Boleyn Ground Dan Jiwa Green Street Hantui Pemilik West Ham United

Perperangan di antara penyokong dengan pengurusan tertinggi West Ham akhirnya meletus dalam perlawanan menentang Burnley minggu lalu.

Insiden tersebut sangat berisiko. Ramai yang menganggap pengadil dan pegawai perlawanan memperjudikan nasib penyokong kerana tidak menghentikan perlawanan.

Tindakan pemain Burnley melindungi penyokong cilik West Ham dengan menawarkan tempat duduk mereka adalah antara babak yang terpuji.

Stadium Olimpik London

Penyokong West Ham awalnya rata-rata tidak menyokong langkah untuk berpindah ke Stadium London yang serba mewah. Namun mereka telah termakan janji palsu oleh David Gold, David Sullivan dan Karren Brady.

Selepas beberapa bulan melobi dan cuba membeli jiwa penyokong, mereka berjaya mendapat sokongan penyokong. Dan masyarakat London memberikan mandat lebih 70%.

Pengurusan West Ham menganggap kejayaan menewaskan Spurs dalam bidaan tersebut sebagai satu permulaan kejayaan.

Membeli mimpi palsu dengan jiwa Boleyn Ground

Kini selepas 2 musim di stadium baru, penyokong West Ham mendapati ianya adalah satu penipuan dengan mereka sudah termakan janji kosong pemilik kelab.

Masalah pertama mereka, masyarakat London mengundi 82% menentang penghapusan trek olahraga seperti dimahukan West Ham.

Trek itu hanya boleh ditutup sahaja. Ini membuatkan stadium itu menjadi tidak begitu intim antara penyokong dan pemain di dalam padang.

Banyak perkara penyokong terpaksa berkorban demi perubahan baru. Dari segi jarak, ianya lebih jauh daripada sebelum ini. Mereka terpaksa mengambil beberapa bas ‘shuttle’ untuk sampai ke Stadium London.

Kini giliran pengurusan pula menunaikan janji mereka. Namun, segalanya semakin tak kena, penuh penipuan dan mereka mulai menentang pemilik kelab dan mendesak mereka kembali semula ke Boleyn Ground.

The Guardian mendedahkan, pengurusan West Ham setuju membayar £2.5 juta setahun untuk sewaan stadium yang mereka sendiri tidak boleh selia banyak perkara.

West Ham membayar £15 juta tambahan untuk perubahan yang mereka lakukan ke atas Stadium London oleh LLDC (London Legacy Development Corporation).

Ini kerana stadium tersebut telah ditukar (conversion) kepada stadium bola sepak dengan nilai £272-£300 juta ditanggung LLDC berdasarkan acuan LLDC.

Slaven Bilic mengkritik hasil kerja LLDC. Saiz padang yang kecil dan tak menepati standard ditetapkan oleh EPL membuatkan beliau risau akan menggangu jadual awal musim mereka.

Seterusnya, menurut Bilic, trek yang dilapik dengan lapisan hijau agak mengganggu pemain ketika bermain.

(Photo by Owen Humphreys/PA Images via Getty Images)

Ini adalah hasil conversion tersebut yang pihak pengurusan West Ham cuma diminta membayar bahagian tertentu tetapi tidak ada kuasa.

Mujurlah mereka dibenarkan mewarnakan seksyen ini seperti apa yang mereka miliki di Boleyn Ground.

West Ham pernah meminta untuk menggunakan kerusi mudah alih  di trek tersebut untuk menghidupkan suasana bola sepak seperti di Upton Park, namun dilarang pihak pengurusan stadium.

(Photo credit should read GLYN KIRK/AFP/Getty Images)

LLDC akan menguruskan semua perbelanjaan seperti peralatan dan petugas keselamatan. West Ham hanya perlu membayar £100,000 untuk setiap perlawanan. West Ham perlu membayar £100,000 untuk setiap pencapaian berikut:

  • Menamatkan EPL di 10 teratas
  • Memenangi mana-mana piala domestik atau mara ke UEL
  • Sewa hanya akan dikurangkan kepada £1.25 juta jika West Ham tidak bermain di EPL atau tersingkir ke divisyen lebih rendah
  • West Ham perlu membayar £1 juta jika mara ke UCL.

Mark Walker, wakil daripada Persatuan Penyokong Bebas West Ham United pernah menghantar surat aduan tentang beberapa perkara walaupun bayar sewa dah mahal. Antaranya:

  • Pengangkutan untuk penyokong West Ham ke stadium tidak efisien
  • Tiada tandas untuk penyokong yang duduk di teres paling atas. Mereka kena turun ke teres lain untuk ke tandas
  • Penyokong di teres atas juga tidak ada kemudahan untuk berehat menikmati minuman teh
  • Jarak padang dengan penyokong terlalu jauh, dipisahkan trek

Perkara-perkara di atas dikhuatiri akan membuatkan kurang kehadiran penyokong ke stadium. Manakala kos pentadbiran naik mendadak. Ia pasti memberikan impak kepada pendapatan kelab.

Perkara itu jelas berlaku pada awal musim. Ramai penyokong sukar memperolehi akses ke Stadium London seperti jadual mereka sebelum ini.

Mereka terpaksa menukar rutin. Pihak stadium London pernah terpaksa menggunakan ‘minus one’ untuk menambahkan bunyi sorakan penyokong.

Pihak pengurusan stadium kemudian menafikan tandas dan kurang kemudahan kafe. Ini kerana ada 955 tandas di Stadium London dan banyak sekali kafe ada di sana. Mungkin sebelum ini, ianya tak dibuka habis.

Roh Boleyn Ground menghantui

Bukan sesuatu yang mudah untuk peminat berpindah ke rumah baru selepas 112 tahun di Boleyn Ground.

Bagi mereka, itu adalah gelanggang keramat mereka. Mereka jual jiwa mereka demi untuk membeli mimpi palsu dijanjikan pihak Gold dan Sullivan.

Jika pemilik Liverpool tunduk dan memahami nilai istimewa Anfield kepada penyokong, dan menggunakan wang yang ada untuk melabur untuk renovasi, kenapa tidak David Gold dan Sullivan?

Boleyn Ground lebih daripada sekadar padang bola sepak. Ia adalah pusat budaya bola sepak West Ham United. Banyak sekali bangunan dan budaya di sekitar Boleyn Ground adalah merujuk kepada West Ham United.

Daripada bar, pub, jalan raya, lorong yang menjadi tempat di mana penyokong mereka berkumpul, berarak dan bersantai sama ada sebelum atau selepas perlawanan.

Tiupan buih di Stadium London tidak akan sama nilainya dengan apa yang ada di Boleyn Ground. Di London mereka terasa seperti tetamu biasa dan bukan penghuni.

Pemilik West Ham melakukan transaksi perpindahan yang menarik pada musim 2017/18 untuk menunjukkan cita-cita serius mereka.

Joe Hart, Arnautovic, Zabaleta dan Javier Hernandez antara nama besar yang mereka bawa. Mereka turut menghebohkan cerita mereka bersaing untuk mendapatkan ramai lagi bintang.

Marko Arnautovic. Foto: West Ham United FC.

Sebelum itu, penyokong bengang dengan cara West Ham mengendalikan Dmitri Payet yang menyusahkan Slaven Bilic. Sedangkan pengurus itu dengan terang memberitahu pemain itu sudah tiada hati untuk bermain untuk West Ham lagi.

Lebih pedih, David Sullivan dituduh penipu oleh Pengarah Sukan Sporting Lisbon selepas Sullivan mengeluarkan satu lampiran surat menyatakan bidaan ke atas William Carvalho sudah diterima. Reputasi Sullivan calar dengan maklum balas daripada Nuno Saraiva.

Pemecatan Slaven Bilic digantikan dengan David Moyes menjadikan penyokong lebih panas. Di mana janji mereka untuk menjadikan West Ham sebagai projek besar?

Jangan lupa pada Januari 2015, Sullivan menyatakan projek baru West Ham ini akan membolehkan West Ham bersaing untuk memenangi EPL dan UCL dalam 5 tahun lagi.

Beliau juga yakin dengan skuad yang ada akan memenangi 1 trofi musim ini. Segalanya bermula sukar. Mereka disingkirkan daripada UEL dalam pusingan kelayakan.

Kebangkitan Green Street

Jiwa dan darah Green Street mengalir pada penyokong West Ham United. Mereka adalah kelompok yang sangat fanatik. Tetapi mereka sentiasa meletakkan pasukan di tingkat atas.

Sebelum ini, beberapa kumpulan hooligan, inter city firms telah mengutuk dasar David Gold dan David Sullivan.

Penyokong-penyokong menuntut janji David Gold dan David Sullivan yang berjanji akan membantu Slaven Bilic dalam membentuk pasukan terbaik.

Ini selepas pengurus itu membawa West Ham menamatkan liga di tangga ke-7. Sebaliknya, pemilik West Ham hanya membeli pemain yang sudah mahu bersara untuk Bilic.

Kumpulan Hooligans sebenarnya dari awal lagi memberitahu pendirian mereka yang tidak mahu menggunakan Stadium London kerana ia tak sesuai untuk bola sepak secara khusus walaupun ramai juga yang menyokong idea itu kerana termakan pujukan Karren Brady dan bos-bosnya.

Mereka sudah ada stadium di Boleyn Ground. Walaupun kecil tetapi praktikal. Ini kerana, West Ham tidak memerlukan stadium terlalu besar untuk menampung jumlah penyokong mereka yang ada.

Kumpulan fanatik ini sudah menghantar mesej amaran kepada penyokong yang ada anak supaya tidak membawa anak mereka ke perlawanan menentang Burnley tempoh hari kerana mereka khuatir ada perkara buruk akan berlaku.

Mereka sudah merancang mengadakan perhimpunan demonstrasi dari Upton Park ke Stratford hujung minggu lalu. Namun ianya berjaya dihalang pihak berkuasa.

Pihak pengurusan telah memanggil wakil penyokong termasuk Inter City Firm, persatuan-persatuan penyokong West Ham yang berdaftar atau bebas, serta beberapa wakil hooligan dari era 70-an dan 80-an untuk duduk semeja. Mereka antara kumpulan casual terawal di England.

Karren Brady menawarkan beberapa pampasan kepada penyokong. Antaranya, bayaran pampasan untuk kos perjalanan penyokong yang meningkat termasuk beberapa tiket yang ditaja oleh kelab.

Tindakan Brady ini dikatakan hasil cadangan rakan beliau di Argentina yang menawarkan pakej sama kepada kumpulan fanatik yang sedang marah.

Ini kerana, dikhuatiri mereka akan menjadi terlalu marah dan mencetuskan perkara yang paling teruk (worst case scenario).

Namun, ianya ditolak, mereka hanya mahukan pemilik kelab dan lembaga pengarah yang gagal untuk berambus.

Pada hari perlawanan, mereka melaungkan semangat Green Street dengan logo pada mafla serta bunga, menuntuk ‘board’ untuk ‘turun’.

Bagi mereka, pemilik dan lembaga pengarah yang ada telah menghancurkan segalanya, termasuk tradisi pasukan mereka yang sudah wujud sejak sekian lama.

Adakah penyokong West Ham akan berjaya membawa pulang pasukan mereka ke Boleyn Ground, tempat yang menjadi pusat budaya bola sepak gaya West Ham yang penuh tradisi serta antara sub-culture di Timur London?

Mungkin agak sukar, dan ramai orang hanya melihat perkara ini sia-sia dalam bola sepak moden. Tetapi bagi penyokong West Ham, mereka sahaja yang tahu akan nilai semua itu.

Mereka pun tahu bukanlah realistik untuk pulang semula ke Boleyn Ground dengan begitu sahaja kerana perjanjian sudah dimeterai.

Air mata gadis ini menceritakan betapa mereka sudah hilang jiwa Boleyn Ground yang menjadi darah kepada West Ham serta semangat Green Street. Ianya telah mereka gadai kepada Gold dan Sullivan demi membeli mimpi yang rupa-rupanya palsu.

Kini mereka berharap sekurang-kurangnya Sullivan dan kuncu-kuncunya membayar sedikit penipuan mereka dengan berambus daripada kelab yang telah dibina oleh golongan kelas pekerja.

Dalam suasana tegang di stadium minggu lalu, sekumpulan penyokong menjerit ke arah David Sullivan dan barisan pengurusan beliau:

“Formed by the working class. Ruined by the rich. Sold a dream built on lies. Brady, Sullivan, Gold and Co, Enough is Enough. Time To go.”

Atapun;

“Dibina Oleh Kelas Pekerja. Dihancurkan si kaya. Menjual Mimpi Yang Dibina Dengan Pembohongan. Brady, Sullivan, Gold dan kuncunya, Sudah Sudahlah, Masa Untuk Berambus.”

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!