Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Sanggupkah 5 Pemain Ini Tukar Warganegara Demi Piala Dunia?

Kejohanan Piala Dunia 2018 akan membuka tirai tidak lama lagi. Beraksi dalam kejohanan berpretij itu merupakan satu impian dan harapan bagi setiap pemain bola sepak.

Prestasi semasa yang cemerlang mampu membuatkan nama mereka berpeluang untuk dipanggil bagi memperkuatkan jentera pasukan negara.

Selain daripada itu, pemain turut perlu membantu negara masing-masing melepasi pusingan kelayakkan sebelum disahkan beraksi di kejohanan tersebut.

Namun, masih ada pemain yang berpeluang untuk beraksi di Piala Dunia dengan cara menukar kewarganegaraan. Siapakah pemain tersebut ?

1. Leon Bailey ( Jamaica-England )

Berita mengenai pemain sayap Bayern Leverkusen, Leon Bailey mengenai statusnya sebagai warganegara England tersebar luas di media sosial.

Berita bermula selepas Bundesliga mengeluarkan satu kenyataan rasmi di laman web mereka yang memaklumkan bahawa Bailey memiliki keturunan Inggeris.

Menurut The Mirror, pengurus England, Gareth Southgate mengakui bahawa Bailey layak untuk beraksi bersama skuad Three Lions itu memandangkan datuk dan nenek beliau berketurunan Inggeris.

Kenyataan dari Southgate itu menguatkan lagi andaian bahawa Bailey bakal menyertai England untuk kejohanan ini.

Pemain berusia 20 tahun itu dilahirkan di Kingston, Jamaica pada 9 Ogos 1997. Untuk rekod, Bailey pernah dipanggil untuk beraksi bersama skuad negara Jamaika B-23 dalam satu perlawanan persahabatan.

Pada Mac 2017, Bailey telah menolak panggilan skuad Jamaica atas sebab beberapa faktor.

Dalam satu temubual bersama majalah Kicker, Bailey memberitahu bahawa dirinya belum bersedia untuk bersama skuad senior Jamaica dan terpaksa menolak panggilan tersebut buat masa ini.

2. Aymeric Laporte ( Perancis-Sepanyol )

Meskipun sah sebagai warganegara Perancis, Aymeric Laporte masih berpeluang untuk beraksi bersama Sepanyol.

Hal ini kerana, Laporte sudah menetap selama hampir 8 tahun di Sepanyol (2010-2018) ketika beliau bersama Athletic Bilbao sebelum berhijrah ke England untuk menyertai Manchester City.

Selama 8 tahun di Sepanyol, ia sudah cukup untuk memenuhi syarat menukar kewarganegaraan sebagai penduduk tetap di Sepanyol.

Laporte sebelum ini pernah mewakili Perancis B-17 (2011), Perancis B-18 (2011-2012), Perancis B-19 (2012-2013) dan Perancis B-21 (2013-2016).


Pada Oktober tahun lepas, Laporte dipanggil ke skuad senior Perancis untuk memperkuatkan pasukan dibawah kendalian Didier Deschamps dalam dua pertemuan dengan Bulgaria dan Belanda bagi saingan kelayakan Piala Dunia FIFA 2018.

Namun sehingga kini, Laporte belum pernah tampil untuk Perancis, menjadikan beliau masih layak beraksi bersama Sepanyol.

3. Willian Jose ( Sepanyol-Brazil )

Penyerang Real Sociedad, Willian Jose memang mempunyai hak kerakyatan Brazil. Beliau dilahirkan di Porto Calvo, Brazil.

Pemain yang bermastautin di Sepanyol sejak 2014 itu berpeluang untuk menukar hak sebagai penduduk tetap disana setelah memenuhi syarat tempoh selama 5 tahun tinggal di Sepanyol.

Willian semestinya sedang buntu untuk memilih sama ada kekal bersama Brazil ataupun Sepanyol.

Ramai yang berpendapat jika willian memilih untuk menyertai Brazil, kemungkinan peluang beliau untuk beraksi bersama skuad Samba itu dalam kempen Piala Dunia amat tipis


Ini kerana, pasukan Samba itu kini sudah diperkuatkan dengan ramai penyerang antaranya, Diego Tardelli, Gabriel Jesus, Roberto Firmino, Douglas Costa dan Taison.

Untuk rekod, Willian pernah beraksi untuk skuad B-20 Brazil.

4. Brahim Diaz ( Sepanyol-Maghribi )

Penyerang muda yang beraksi bersama Manchester City saat ini, Brahim Diaz, berpeluang untuk menyarung jersi kebangsaan Maghribi bagi saingan Piala Dunia di Russia nanti.

Diaz berketurunan Maghribi kerana ayahnya berasal dari negara tersebut. Bagi peringkat karier antarabangsa, pemain ini pernah beraksi bersama pasukan Sepanyol B-17, Sepanyol B-19 dan Sepanyol B-21.

(Photo by Xavier Bonilla/NurPhoto via Getty Images)

Tetapi tahukah anda, sehingga saat ini, Diaz masih belum dipanggil untuk bersama skuad senior Sepanyol. Salah satu faktornya adalah kerana persaingan yang hebat untuk merebut tempat dalam pasukan tersebut.

Walaupun demikian, Diaz dilaporkan telah menolak untuk bersama Maghribi dan menegaskan kesetiannya untuk bersama Sepanyol.

5. Allan Marques ( Brazil-Portugal )

Pemain Napoli, Allan sudah lama tidak menyertai skuad kebangsaan Brazil sejak kali terakhir bermain untuk skuad B-20 pada tahun 2011.

Namun demikian, Allan berpeluang beraksi bersama Portugal kerana turut memiliki kewarganegaraan negara berkenaan.


Dilema yang sama sedang dialami oleh Allan, beliau harus memilih jalan yang terbaik demi karier antarabangsanya. Jika Allan memilih untuk menunggu panggilan daripada Brazil, kemungkinan untuk tidak mendapat panggilan itu agak tinggi.

Brazil sudah diperkuatkan dengan ramai pemain hebat, jadi eloklah bagi Allan untuk memilih Portugal. Sudah pasti, persaingan untuk merebut tempat dalam skuad Portugal lebih terbuka buat Allan..

Penutup

Pemain-pemain ini harus membuat pilihan yang tepat bagi karier mereka. Masa semakin hampir menjelang sepak mula Piala Dunia 2018.

Tetapi, apakah mereka sanggup untuk mengkhianati negara asal mereka kerana hanya mahu bermain di pentas Piala Dunia ? Apa pendapat anda ?

  • SUMBER
KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!